1 SAMUEL 17:1-58

1 SAMUEL 17:1-58 Alkitab Berita Baik (BM)

Pada suatu masa orang Filistin mengerahkan tentera mereka untuk maju berperang, dan berkumpul di kota Sokho, di wilayah Yehuda. Mereka memasang perkhemahan di antara Sokho dan Azeka, dekat Efes-Damim. Raja Saul dan orang Israel berkumpul juga dan berkhemah di Lembah Ela; mereka bersiap-siap untuk menghadapi serangan orang Filistin. Orang Filistin berbaris di sebuah bukit, dan orang Israel berbaris di sebuah bukit yang lain, dan di antaranya ada lembah. Seorang lelaki yang bernama Goliat, dari kota Gat, keluar dari perkhemahan Filistin untuk mencabar orang Israel. Tinggi orang itu kira-kira tiga meter. Dia memakai baju gangsa seberat kira-kira 57 kilogram, dan topi gangsa. Kakinya dilindungi oleh penutup daripada gangsa dan di bahunya dia menyangkutkan sebatang lembing gangsa. Gagang tombaknya sebesar kayu pada alat tenun dan mata tombaknya seberat kira-kira tujuh kilogram. Seorang askar pembawa perisai berjalan di hadapannya. Goliat berdiri dan berteriak kepada orang Israel, “Apakah yang sedang kamu lakukan di situ? Hendak berperangkah kamu? Aku orang Filistin, hai hamba-hamba Raja Saul! Pilihlah seorang di kalangan kamu untuk melawan aku. Jika dia menang dan membunuh aku, kami akan menjadi hamba kamu. Tetapi jika aku menang dan membunuh dia, kamu akan menjadi hamba kami. Sekarang juga, aku mencabar tentera Israel; pilihlah seorang di kalangan kamu untuk melawan aku!” Apabila Raja Saul dan tenteranya mendengar cabaran itu, mereka cemas dan sangat ketakutan. Daud ialah anak Isai, orang Efrata dari Betlehem di Yehuda. Isai mempunyai lapan orang anak lelaki, dan pada masa pemerintahan Raja Saul, Isai sudah sangat tua. Ketiga-tiga orang anak lelaki Isai yang tertua sudah mengikut Raja Saul pergi berperang. Anak Isai yang sulung bernama Eliab, yang kedua Abinadab, dan yang ketiga Syama. Daud ialah anak bongsu Isai. Semasa ketiga-tiga abangnya tinggal bersama-sama Raja Saul, Daud sering meninggalkan Raja Saul, lalu pulang ke Betlehem untuk menggembalakan domba bapanya. Selama empat puluh hari, tiap-tiap pagi dan petang, Goliat menghampiri barisan tentera Israel dan mencabar mereka. Pada suatu hari Isai berkata kepada Daud, “Bawalah sepuluh kilogram biji-bijian yang dipanggang dan sepuluh buku roti, lalu hantarlah semuanya kepada abang-abangmu di perkhemahan tentera. Bawalah juga sepuluh buah keju bagi komandan pasukan. Tanyakanlah bagaimana keadaan abang-abangmu. Bawalah sesuatu untuk membuktikan bahawa engkau sudah berjumpa dengan mereka, dan mereka dalam keadaan selamat. Mereka berada di Lembah Ela bersama dengan Raja Saul dan semua orang Israel lain, yang sedang bertempur dengan orang Filistin.” Keesokan harinya, awal pagi, Daud bangun dan berkemas. Dia menyuruh orang lain menjaga domba. Kemudian dia membawa makanan itu lalu berangkat sebagaimana yang disuruh oleh Isai. Dia tiba di perkhemahan tepat ketika orang Israel sedang mengatur barisan sambil meneriakkan isyarat perang. Tentera Filistin dan tentera Israel saling berhadapan dan bersiap-siap untuk bertempur. Daud menitipkan makanan itu kepada penjaga perlengkapan tentera, lalu lari ke medan perang untuk berjumpa dengan abang-abangnya, dan menanyakan khabar mereka. Tetapi ketika dia sedang bercakap dengan mereka, Goliat tampil lalu mencabar tentera Israel seperti yang biasa dilakukannya; Daud mendengar kata-kata cabarannya itu. Apabila tentera Israel melihat Goliat, mereka lari ketakutan. “Lihatlah dia!” kata mereka sesama sendiri. “Dengarlah cabarannya! Raja Saul sudah berjanji bahawa orang yang berjaya membunuh Goliat akan diberikan hadiah yang besar. Raja juga akan mengahwinkan puterinya kepada orang itu, dan keluarga orang itu tidak perlu membayar cukai lagi.” Daud bertanya kepada askar yang berada dekatnya, “Apakah yang akan diberikan kepada orang yang dapat membunuh orang Filistin itu dan membebaskan Israel daripada penghinaan? Berani betul orang Filistin itu, orang yang tidak mengenal Allah, mencabar tentera Allah yang hidup!” Mereka memberitahu Daud akan hadiah yang diberikan kepada orang yang dapat membunuh Goliat. Eliab, abang sulung Daud, mendengar percakapan Daud dengan askar-askar itu. Dia memarahi Daud, dan berkata, “Mengapa engkau datang ke mari? Siapa yang kausuruh menjaga domba-dombamu di padang gurun itu? Aku tahu, engkau budak jahat, dan berlagak berani; kaudatang ke mari hanya untuk melihat pertempuran, bukan?” “Apakah salahku? Aku hanya bertanya,” jawab Daud. Kemudian dia pergi dan menanyakan hal yang sama kepada askar-askar lain, dan dia mendapat jawapan yang sama. Tetapi beberapa orang yang mendengar kata-kata Daud, menyampaikannya kepada Raja Saul, lalu Raja Saul memanggil Daud menghadap. Daud berkata kepada Raja Saul, “Tuanku, tidak perlu sesiapa pun takut kepada orang Filistin itu. Hamba bersedia melawan dia.” “Jangan,” jawab Raja Saul. “Bagaimana mungkin engkau dapat melawan dia? Engkau masih sangat muda, sedangkan dia telah biasa berperang sejak masa mudanya.” Tetapi Daud berkata, “Tuanku, hamba biasa menggembalakan domba bapa hamba. Apabila ada singa atau beruang datang menerkam domba, hamba mengejar dan menyerang binatang buas itu, lalu domba itu hamba selamatkan. Jika singa atau beruang itu melawan, hamba memegang lehernya, lalu memukulnya sampai mati. Hamba sudah membunuh singa mahupun beruang, dan orang Filistin yang tidak mengenal Allah itu, juga akan hamba perlakukan seperti binatang itu, kerana dia berani mencabar tentera Allah yang hidup. TUHAN sudah menyelamatkan hamba daripada singa dan beruang; Dia juga akan menyelamatkan hamba daripada orang Filistin itu.” “Baiklah,” titah Raja Saul. “Pergilah, semoga TUHAN menyertai engkau.” Raja Saul memberikan pakaian perangnya kepada Daud untuk dipakainya: sebuah topi gangsa yang dikenakannya pada kepala Daud, dan sepasang baju besi. Kemudian Daud mengikatkan pedang Raja Saul pada baju besi itu lalu cuba berjalan. Tetapi Daud tidak dapat berjalan, kerana dia tidak biasa memakai pakaian perang. “Hamba tidak dapat berjalan dengan pakaian ini,” katanya kepada Raja Saul. “Hamba tidak biasa memakainya.” Lalu Daud menanggalkan seluruh pakaian perang itu. Kemudian dia membawa tongkat gembalanya, dan mengambil lima biji batu yang bulat dari sungai, lalu menyimpan batu itu di dalam kantongnya. Dengan ali-ali siap di tangannya dia pergi menghadapi Goliat. Kemudian Goliat mula berjalan ke arah Daud, didahului oleh pembawa perisainya. Dia terus mendekati Daud, tetapi ketika dia nampak Daud dan memperhatikannya, Goliat tertawa mengejek kerana Daud masih sangat muda dan kacak. Goliat berkata kepada Daud, “Untuk apakah tongkat itu? Adakah engkau fikir aku ini anjing?” Goliat mengutuk Daud demi dewanya. “Mari,” katanya lagi untuk mencabar Daud, “Aku akan memberikan tubuhmu kepada burung dan binatang supaya dimakan!” Daud berkata, “Engkau datang melawan aku dengan pedang, tombak, dan lembing. Tetapi aku datang melawan engkau demi nama TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah tentera Israel, yang engkau hina itu. Hari ini juga TUHAN akan menyerahkan engkau ke dalam tanganku. Aku akan mengalahkan engkau dan memenggal kepalamu. Aku akan memberikan tubuh tentera Filistin kepada burung dan binatang supaya dimakan. Dengan demikian seluruh dunia akan tahu bahawa kami, bangsa Israel mempunyai Allah. Semua orang di sini akan melihat bahawa TUHAN tidak memerlukan pedang ataupun tombak untuk menyelamatkan umat-Nya. Dia sentiasa menang dalam peperangan, dan Dia akan menyerahkan kamu semua ke dalam tangan kami.” Goliat mula maju mendekati Daud, lalu Daud berlari dengan cepat ke arah barisan orang Filistin untuk melawan dia. Daud memasukkan tangan ke dalam kantongnya, lalu mengambil sebiji batu dan mengumban batu itu dengan ali-ali ke arah Goliat. Batu itu kena pada dahi Goliat sehingga pecah tengkoraknya. Ketika itu juga Goliat rebah dengan mukanya ke tanah. Demikianlah tanpa pedang, Daud mengalahkan Goliat dan membunuhnya dengan ali-ali dan batu. Daud berlari kepada Goliat dan berdiri di sisi tubuhnya. Dia menghunus pedang Goliat dari sarung lalu memancung kepala Goliat; begitulah Daud membunuh Goliat. Apabila orang Filistin nampak bahawa pahlawan mereka sudah mati, mereka lari. Orang Israel dan Yehuda bersorak, lalu mengejar mereka sampai ke Gat dan pintu gerbang Ekron. Orang Filistin yang terluka bergelimpangan sepanjang jalan ke Saaraim, sampai ke Gat dan Ekron. Setelah kembali daripada mengejar orang Filistin, orang Israel menjarah perkhemahan orang Filistin. Daud mengambil kepala Goliat dan membawanya ke Yerusalem, tetapi dia menyimpan senjata Goliat di khemahnya. Apabila Raja Saul nampak Daud pergi melawan Goliat, baginda bertanya kepada Abner, panglima tenteranya, “Abner, anak siapakah pemuda itu?” “Hamba tidak tahu, tuanku,” jawab Abner. “Pergilah dan tanyakanlah hal itu,” perintah Raja Saul. Oleh itu ketika Daud balik ke perkhemahan setelah membunuh Goliat, Abner membawanya menghadap Raja Saul. Daud masih menjinjing kepala Goliat. Raja Saul bertanya kepadanya, “Hai pemuda, anak siapakah kamu?” Daud menjawab, “Hamba anak Isai, dari Betlehem.”

1 SAMUEL 17:1-58 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Orang Filistin mengumpulkan tentera mereka untuk berperang; mereka berkumpul di Sokho iaitu di bumi Yehuda dan berkhemah di antara Sokho dengan Azeka di Efes-Damim. Saul serta orang Israel juga berkumpul dan berkhemah di Lembah Elah. Mereka mengatur barisan perang untuk berhadapan dengan orang Filistin. Orang Filistin berdiri di gunung sebelah sana, sedangkan orang Israel berdiri di gunung sebelah sini iaitu dengan sebuah lembah yang terbentang di antara mereka. Kemudian tampillah seorang kesateria dari perkhemahan orang Filistin. Namanya Goliat dari Gat. Tingginya enam hasta lebih sejengkal. Dia memakai ketopong gangsa di kepalanya serta baju zirah yang bersisik seberat lima ribu syikal gangsa. Pelindung kakinya juga daripada gangsa, dan sebuah lembing gangsa tersandang di antara bahunya. Batang tombaknya seperti kayu penggulung tukang tenun, berat mata tombaknya enam ratus syikal besi. Seorang pembawa perisai berjalan di depannya. Dia berdiri dan berseru kepada barisan orang Israel. Katanya kepada mereka “Mengapakah kamu keluar mengatur barisan perang? Aku seorang Filistin dan bukankah kamu para hamba Saul? Pilihlah seorang untuk mewakilimu dan turun menghadapi aku. Jika dia sanggup bertarung dengan aku dan membunuh aku, maka kami akan menjadi hamba-hambamu. Tetapi jika aku menang melawan dia dan membunuh dia, maka kamu harus menjadi hamba-hamba kami dan takluk kepada kami.” Kata orang Filistin itu lagi, “Aku mencemuh barisan orang Israel hari ini. Hadapkanlah seorang kepadaku untuk bertarung satu lawan satu.” Ketika Saul dan kesemua orang Israel mendengar kata-kata orang Filistin itu, kecut perutlah mereka, dan mereka sangat ketakutan. Daud ialah anak Isai, orang Efrata dari Betlehem-Yehuda. Isai mempunyai lapan orang anak. Pada zaman Saul, dia termasuk orang yang sudah sangat tua dalam kalangan umat yang sebangsa dengannya. Ketiga-tiga anak Isai yang tertua pergi berperang mengikut Saul. Mereka ialah Eliab, yang sulung; Abinadab, yang kedua; dan Syama, yang ketiga. Daud pula anak bongsunya. Ketiga-tiga orang anak yang tertua itu mengikut Saul, tetapi Daud selalu berulang-alik daripada Saul kepada tugas menggembala kawanan domba ayahnya di Betlehem. Selama empat puluh hari lamanya orang Filistin itu tampil lalu mencabar dan mencemuh orang Israel pada pagi dan petang hari. Sementara itu Isai berkata kepada Daud, anaknya, “Cepat bawakan satu efa bertih padi-padian dan sepuluh ketul roti ini untuk abang-abangmu di perkhemahan. Bawakan juga sepuluh potong keju ini untuk pemimpin pasukan seribu. Tengoklah sama ada abang-abangmu selamat, lalu bawalah pulang suatu tanda daripada mereka.” Pada waktu itu, Saul berserta ketiga-tiga abangnya dan seluruh orang Israel berada di Lembah Elah, sedang berperang melawan orang Filistin. Daud pun bangun pagi-pagi lalu mengamanahkan kawanan dombanya kepada seorang gembala. Setelah itu, diangkatnyalah muatannya lalu pergi, sebagaimana yang diperintahkan Isai kepadanya. Dia sampai di parit perlindungan pada waktu pasukan sedang keluar menuju barisan perang sambil memekikkan sorakan perang. Orang Israel dan orang Filistin mengatur barisan masing-masing, barisan perang berhadapan dengan barisan perang. Daud mengamanahkan barang-barangnya kepada penjaga barang lalu berlari ke tempat barisan perang dan bertanyakan khabar abang-abangnya. Ketika dia bercakap dengan mereka, tiba-tiba kesateria bangsa Filistin dari Gat yang bernama Goliat itu maju dari barisan tentera Filistin. Dia mengucapkan kata-kata cemuhan yang sama seperti sebelumnya dan Daud mendengarnya. Semua orang Israel lari menjauhkan diri sebaik sahaja mereka melihat orang itu. Mereka dalam ketakutan yang amat sangat. Kata orang Israel, “Adakah kamu lihat orang yang sedang mara itu? Sememangnya dia mara untuk mencemuh orang Israel. Raja akan menganugerahi orang yang dapat membunuhnya dengan kekayaan yang besar. Kepadanya akan dikurniakan puteri baginda, dan keluarganya akan dibebaskan daripada membayar cukai di Israel.” Daud pun bertanya kepada kalangan yang berdiri bersamanya, “Apakah yang akan dilakukan terhadap orang yang dapat membunuh orang Filistin ini dan yang dapat menghapus cela ini daripada Israel? Siapakah orang Filistin yang tidak bersunat itu sehingga dia mencemuh barisan perang daripada Allah yang hidup?” Rakyat menjawabnya seperti tadi, “Begitulah yang akan dilakukan terhadap orang yang membunuh dia.” Eliab, abangnya yang tertua, mendengar percakapannya dengan orang itu. Maka menyalalah amarah Eliab terhadap Daud, katanya, “Mengapakah engkau datang ke mari? Kepada siapa kauamanahkan kawanan domba yang sedikit itu di gurun? Aku mengenal keangkuhan dan kejahatan hatimu. Engkau datang hanya untuk menonton peperangan ini, bukan?” Kata Daud, “Apakah yang telah kulakukan? Hanya berbincang-bincang, bukan?” Dia pun menjauhi abangnya lalu beralih kepada orang lain dan menanyakan hal serupa. Lagi-lagi rakyat memberikan jawapan yang sama seperti sebelumnya. Rupanya, kata-kata yang diucapkan Daud itu didengar orang lalu dilaporkan kepada Saul. Saul pun menyuruh orang untuk menjemputnya datang menghadap. Kemudian Daud berkata kepada Saul, “Janganlah ada seorang pun yang tawar hati kerana orang itu. Hambamu ini akan pergi bertarung menghadapi orang Filistin itu.” Kata Saul kepada Daud, “Engkau tidak akan sanggup menghadapi orang Filistin itu dan bertarung dengannya. Engkau masih muda, sedangkan dia seorang pejuang sejak mudanya.” Tetapi kata Daud kepada Saul, “Hambamu ini biasa menggembala domba-domba ayahnya. Jika singa atau beruang datang melarikan seekor anak domba daripada kawanannya, maka hamba akan pergi mengejarnya, lalu menyerangnya dan melepaskan domba itu daripada mulutnya. Jika dia bangkit melawan hamba, maka hamba akan merenggut janggutnya, lalu menyerang dan membunuhnya. Singa ataupun beruang sudah pernah hamba bunuh. Maka orang Filistin yang tidak bersunat ini pun akan menjadi seperti seekor daripada haiwan-haiwan itu, kerana dia telah mencemuh barisan perang daripada Allah yang hidup.” Kata Daud lagi, “TUHAN, yang telah melepaskan hamba daripada cakar singa serta cakar beruang, akan melepaskan hamba daripada tangan orang Filistin ini.” Kata Saul kepada Daud, “Pergilah, semoga TUHAN menyertai engkau.” Kemudian Saul memasangkan pakaian perang pada Daud. Dipakainya ketopong tembaga di kepalanya, dan dikenakannya baju zirah padanya. Daud mengikatkan pedangnya pada pakaian perangnya lalu cuba untuk berjalan kerana dia belum pernah memakainya. Kata Daud kepada Saul, “Hamba tidak dapat berjalan dengan pakaian ini, kerana hamba belum pernah memakainya.” Lalu Daud menanggalkan semua itu. Daud mengambil tongkatnya lalu memilih lima butir anak batu yang licin dari sungai. Dia memasukkan batu-batu itu ke dalam kantung gembala miliknya, dan membawa tarbilnya. Setelah itu, dia pun maju mendekati orang Filistin itu. Orang Filistin itu pun datang mendekati Daud, sementara orang yang membawa perisainya ada di hadapannya. Ketika orang Filistin itu melihat dan mengamati Daud, dia memandang remeh terhadap Daud yang masih muda, kemerah-merahan, dan elok rupanya. Kata orang Filistin itu kepada Daud, “Apakah aku ini anjing sehingga engkau datang kepadaku dengan membawa tongkat?” Dia mengutuk Daud demi tuhan-tuhannya. Kata orang Filistin itu lagi kepada Daud, “Ke marilah, akan kuberikan dagingmu kepada burung-burung di udara dan kepada binatang-binatang di padang!” Kata Daud kepada orang Filistin itu, “Engkau datang kepadaku dengan pedang, tombak, dan lembing, tetapi aku datang kepadamu dengan nama TUHAN alam semesta, iaitu Allah barisan perang orang Israel yang kaucemuh itu. Pada hari ini juga TUHAN akan menyerahkan engkau ke dalam tanganku. Aku akan menumpaskanmu dan memenggal kepalamu. Pada hari ini juga akan kuberikan bangkai pasukan Filistin kepada burung-burung di udara dan kepada binatang-binatang di bumi. Dengan demikian seluruh bumi akan tahu bahawa ada Allah di Israel, dan seluruh jemaah ini akan tahu bahawa TUHAN tidak menyelamatkan dengan pedang dan tombak, kerana peperangan ini sememangnya milik TUHAN dan Dia akan menyerahkan kamu ke dalam tangan kami.” Pada waktu orang Filistin itu maju mendekat untuk menghadapi Daud, berlarilah Daud dengan cepat ke arah barisan perang musuh untuk menghadapi orang Filistin itu. Daud menyusupkan tangan ke dalam kantungnya dan mengambil sebutir anak batu dari dalamnya lalu melontarkannya dengan tarbilnya. Batu itu tepat mengenai dahi orang Filistin itu dan terbenam di dalam dahinya, sehingga orang itu jatuh menyembam tanah. Demikianlah Daud menyerang orang Filistin itu dengan tarbil dan batu. Dihentam dan dibunuhnya orang Filistin itu tanpa sebilah pedang di tangannya. Daud pun berlari lalu berdiri di atas tubuh orang Filistin itu. Diambilnya pedangnya, dihunusnya daripada sarungnya, lalu dibunuhnya orang itu. Dan dengan pedang itu dipenggalnya pula kepalanya. Larilah orang Filistin apabila mereka lihat betapa kesateria mereka telah ditumpaskan. Maka bersorak rianglah orang Israel dan Yehuda sambil mara untuk mengejar orang Filistin sampai jalan masuk Gat dan ke pintu gerbang Ekron. Mayat orang Filistin yang terbunuh bergelimpangan di jalan menuju Saaraim, sampai Gat dan Ekron. Setelah mengejar orang Filistin, orang Israel kembali dan menjarah perkhemahan musuh mereka itu. Daud mengambil kepala orang Filistin itu dan membawanya ke Yerusalem, tetapi dia menaruh senjata orang Filistin di dalam khemahnya. Pada waktu Saul melihat Daud maju menghadapi orang Filistin itu, dia bertanya kepada Abner, panglima tenteranya, “Anak siapakah orang muda itu, Abner?” Jawab Abner, “Demi hidupmu, ya Raja, hamba tidak tahu.” Kata raja, “Tanyalah, anak siapa pemuda itu.” Sekembalinya Daud setelah menumpaskan orang Filistin itu, Abner menjemputnya lalu membawanya ke hadapan Saul. Kepala orang Filistin itu masih ada di tangannya. Tanya Saul kepadanya, “Anak siapakah engkau, anak muda?” Jawab Daud, “Anak Isai, hamba tuanku, orang Betlehem.”