Pada suatu masa orang Filistin mengerahkan tentera mereka untuk maju berperang, dan berkumpul di kota Sokho, di wilayah Yehuda. Mereka memasang perkhemahan di antara Sokho dan Azeka, dekat Efes-Damim. Raja Saul dan orang Israel berkumpul juga dan berkhemah di Lembah Ela; mereka bersiap-siap untuk menghadapi serangan orang Filistin. Orang Filistin berbaris di sebuah bukit, dan orang Israel berbaris di sebuah bukit yang lain, dan di antaranya ada lembah.
Seorang lelaki yang bernama Goliat, dari kota Gat, keluar dari perkhemahan Filistin untuk mencabar orang Israel. Tinggi orang itu kira-kira tiga meter. Dia memakai baju gangsa seberat kira-kira 57 kilogram, dan topi gangsa. Kakinya dilindungi oleh penutup daripada gangsa dan di bahunya dia menyangkutkan sebatang lembing gangsa. Gagang tombaknya sebesar kayu pada alat tenun dan mata tombaknya seberat kira-kira tujuh kilogram. Seorang askar pembawa perisai berjalan di hadapannya. Goliat berdiri dan berteriak kepada orang Israel, “Apakah yang sedang kamu lakukan di situ? Hendak berperangkah kamu? Aku orang Filistin, hai hamba-hamba Raja Saul! Pilihlah seorang di kalangan kamu untuk melawan aku. Jika dia menang dan membunuh aku, kami akan menjadi hamba kamu. Tetapi jika aku menang dan membunuh dia, kamu akan menjadi hamba kami. Sekarang juga, aku mencabar tentera Israel; pilihlah seorang di kalangan kamu untuk melawan aku!” Apabila Raja Saul dan tenteranya mendengar cabaran itu, mereka cemas dan sangat ketakutan.
Daud ialah anak Isai, orang Efrata dari Betlehem di Yehuda. Isai mempunyai lapan orang anak lelaki, dan pada masa pemerintahan Raja Saul, Isai sudah sangat tua. Ketiga-tiga orang anak lelaki Isai yang tertua sudah mengikut Raja Saul pergi berperang. Anak Isai yang sulung bernama Eliab, yang kedua Abinadab, dan yang ketiga Syama. Daud ialah anak bongsu Isai. Semasa ketiga-tiga abangnya tinggal bersama-sama Raja Saul, Daud sering meninggalkan Raja Saul, lalu pulang ke Betlehem untuk menggembalakan domba bapanya.
Selama empat puluh hari, tiap-tiap pagi dan petang, Goliat menghampiri barisan tentera Israel dan mencabar mereka.
Pada suatu hari Isai berkata kepada Daud, “Bawalah sepuluh kilogram biji-bijian yang dipanggang dan sepuluh buku roti, lalu hantarlah semuanya kepada abang-abangmu di perkhemahan tentera. Bawalah juga sepuluh buah keju bagi komandan pasukan. Tanyakanlah bagaimana keadaan abang-abangmu. Bawalah sesuatu untuk membuktikan bahawa engkau sudah berjumpa dengan mereka, dan mereka dalam keadaan selamat. Mereka berada di Lembah Ela bersama dengan Raja Saul dan semua orang Israel lain, yang sedang bertempur dengan orang Filistin.”
Keesokan harinya, awal pagi, Daud bangun dan berkemas. Dia menyuruh orang lain menjaga domba. Kemudian dia membawa makanan itu lalu berangkat sebagaimana yang disuruh oleh Isai. Dia tiba di perkhemahan tepat ketika orang Israel sedang mengatur barisan sambil meneriakkan isyarat perang. Tentera Filistin dan tentera Israel saling berhadapan dan bersiap-siap untuk bertempur. Daud menitipkan makanan itu kepada penjaga perlengkapan tentera, lalu lari ke medan perang untuk berjumpa dengan abang-abangnya, dan menanyakan khabar mereka. Tetapi ketika dia sedang bercakap dengan mereka, Goliat tampil lalu mencabar tentera Israel seperti yang biasa dilakukannya; Daud mendengar kata-kata cabarannya itu. Apabila tentera Israel melihat Goliat, mereka lari ketakutan. “Lihatlah dia!” kata mereka sesama sendiri. “Dengarlah cabarannya! Raja Saul sudah berjanji bahawa orang yang berjaya membunuh Goliat akan diberikan hadiah yang besar. Raja juga akan mengahwinkan puterinya kepada orang itu, dan keluarga orang itu tidak perlu membayar cukai lagi.”
Daud bertanya kepada askar yang berada dekatnya, “Apakah yang akan diberikan kepada orang yang dapat membunuh orang Filistin itu dan membebaskan Israel daripada penghinaan? Berani betul orang Filistin itu, orang yang tidak mengenal Allah, mencabar tentera Allah yang hidup!” Mereka memberitahu Daud akan hadiah yang diberikan kepada orang yang dapat membunuh Goliat.
Eliab, abang sulung Daud, mendengar percakapan Daud dengan askar-askar itu. Dia memarahi Daud, dan berkata, “Mengapa engkau datang ke mari? Siapa yang kausuruh menjaga domba-dombamu di padang gurun itu? Aku tahu, engkau budak jahat, dan berlagak berani; kaudatang ke mari hanya untuk melihat pertempuran, bukan?”
“Apakah salahku? Aku hanya bertanya,” jawab Daud. Kemudian dia pergi dan menanyakan hal yang sama kepada askar-askar lain, dan dia mendapat jawapan yang sama.
Tetapi beberapa orang yang mendengar kata-kata Daud, menyampaikannya kepada Raja Saul, lalu Raja Saul memanggil Daud menghadap. Daud berkata kepada Raja Saul, “Tuanku, tidak perlu sesiapa pun takut kepada orang Filistin itu. Hamba bersedia melawan dia.”
“Jangan,” jawab Raja Saul. “Bagaimana mungkin engkau dapat melawan dia? Engkau masih sangat muda, sedangkan dia telah biasa berperang sejak masa mudanya.”
Tetapi Daud berkata, “Tuanku, hamba biasa menggembalakan domba bapa hamba. Apabila ada singa atau beruang datang menerkam domba, hamba mengejar dan menyerang binatang buas itu, lalu domba itu hamba selamatkan. Jika singa atau beruang itu melawan, hamba memegang lehernya, lalu memukulnya sampai mati. Hamba sudah membunuh singa mahupun beruang, dan orang Filistin yang tidak mengenal Allah itu, juga akan hamba perlakukan seperti binatang itu, kerana dia berani mencabar tentera Allah yang hidup. TUHAN sudah menyelamatkan hamba daripada singa dan beruang; Dia juga akan menyelamatkan hamba daripada orang Filistin itu.”
“Baiklah,” titah Raja Saul. “Pergilah, semoga TUHAN menyertai engkau.” Raja Saul memberikan pakaian perangnya kepada Daud untuk dipakainya: sebuah topi gangsa yang dikenakannya pada kepala Daud, dan sepasang baju besi. Kemudian Daud mengikatkan pedang Raja Saul pada baju besi itu lalu cuba berjalan. Tetapi Daud tidak dapat berjalan, kerana dia tidak biasa memakai pakaian perang. “Hamba tidak dapat berjalan dengan pakaian ini,” katanya kepada Raja Saul. “Hamba tidak biasa memakainya.” Lalu Daud menanggalkan seluruh pakaian perang itu. Kemudian dia membawa tongkat gembalanya, dan mengambil lima biji batu yang bulat dari sungai, lalu menyimpan batu itu di dalam kantongnya. Dengan ali-ali siap di tangannya dia pergi menghadapi Goliat.
Kemudian Goliat mula berjalan ke arah Daud, didahului oleh pembawa perisainya. Dia terus mendekati Daud, tetapi ketika dia nampak Daud dan memperhatikannya, Goliat tertawa mengejek kerana Daud masih sangat muda dan kacak. Goliat berkata kepada Daud, “Untuk apakah tongkat itu? Adakah engkau fikir aku ini anjing?” Goliat mengutuk Daud demi dewanya. “Mari,” katanya lagi untuk mencabar Daud, “Aku akan memberikan tubuhmu kepada burung dan binatang supaya dimakan!”
Daud berkata, “Engkau datang melawan aku dengan pedang, tombak, dan lembing. Tetapi aku datang melawan engkau demi nama TUHAN Yang Maha Kuasa, Allah tentera Israel, yang engkau hina itu. Hari ini juga TUHAN akan menyerahkan engkau ke dalam tanganku. Aku akan mengalahkan engkau dan memenggal kepalamu. Aku akan memberikan tubuh tentera Filistin kepada burung dan binatang supaya dimakan. Dengan demikian seluruh dunia akan tahu bahawa kami, bangsa Israel mempunyai Allah. Semua orang di sini akan melihat bahawa TUHAN tidak memerlukan pedang ataupun tombak untuk menyelamatkan umat-Nya. Dia sentiasa menang dalam peperangan, dan Dia akan menyerahkan kamu semua ke dalam tangan kami.”
Goliat mula maju mendekati Daud, lalu Daud berlari dengan cepat ke arah barisan orang Filistin untuk melawan dia. Daud memasukkan tangan ke dalam kantongnya, lalu mengambil sebiji batu dan mengumban batu itu dengan ali-ali ke arah Goliat. Batu itu kena pada dahi Goliat sehingga pecah tengkoraknya. Ketika itu juga Goliat rebah dengan mukanya ke tanah. Demikianlah tanpa pedang, Daud mengalahkan Goliat dan membunuhnya dengan ali-ali dan batu. Daud berlari kepada Goliat dan berdiri di sisi tubuhnya. Dia menghunus pedang Goliat dari sarung lalu memancung kepala Goliat; begitulah Daud membunuh Goliat.
Apabila orang Filistin nampak bahawa pahlawan mereka sudah mati, mereka lari. Orang Israel dan Yehuda bersorak, lalu mengejar mereka sampai ke Gat dan pintu gerbang Ekron. Orang Filistin yang terluka bergelimpangan sepanjang jalan ke Saaraim, sampai ke Gat dan Ekron. Setelah kembali daripada mengejar orang Filistin, orang Israel menjarah perkhemahan orang Filistin. Daud mengambil kepala Goliat dan membawanya ke Yerusalem, tetapi dia menyimpan senjata Goliat di khemahnya.
Apabila Raja Saul nampak Daud pergi melawan Goliat, baginda bertanya kepada Abner, panglima tenteranya, “Abner, anak siapakah pemuda itu?”
“Hamba tidak tahu, tuanku,” jawab Abner.
“Pergilah dan tanyakanlah hal itu,” perintah Raja Saul.
Oleh itu ketika Daud balik ke perkhemahan setelah membunuh Goliat, Abner membawanya menghadap Raja Saul. Daud masih menjinjing kepala Goliat. Raja Saul bertanya kepadanya, “Hai pemuda, anak siapakah kamu?”
Daud menjawab, “Hamba anak Isai, dari Betlehem.”