1 SAMUEL 13:1-15
1 SAMUEL 13:1-15 Alkitab Berita Baik (BM)
Pada suatu hari, ketika Raja Saul sudah menjadi raja, baginda memilih tiga ribu orang Israel; daripada jumlah ini, dua ribu orang tinggal bersama-samanya di Mikhmas dan di kawasan perbukitan Betel. Sebanyak seribu orang lain pergi bersama dengan Yonatan, puteranya ke Gibea, di wilayah suku Benyamin. Orang selebihnya disuruh oleh Raja Saul pulang ke rumah masing-masing. Kemudian Yonatan membunuh panglima Filistin di Geba, dan orang Filistin mendengar tentang pembunuhan itu. Lalu Raja Saul menyuruh orang meniup trompet di seluruh negeri untuk memanggil orang Ibrani supaya maju berperang. Segenap umat Israel diberitahu bahawa Raja Saul telah membunuh panglima Filistin itu, dan bahawa orang Filistin sangat benci akan umat Israel. Oleh itu rakyat menyahut panggilan untuk bergabung dengan Raja Saul di Gilgal. Sementara itu orang Filistin juga berkumpul untuk menyerang orang Israel. Orang Filistin mempunyai tiga puluh ribu buah kereta kuda, enam ribu orang berkuda dan askar sebanyak pasir di pantai. Mereka berkhemah di Mikhmas di sebelah timur Bet-Awen. Kemudian mereka melancarkan serangan sengit terhadap orang Israel, sehingga orang Israel berada dalam keadaan genting. Beberapa orang Israel bersembunyi di dalam gua dan lubang gunung, atau di dalam celah-celah batu besar, atau di dalam perigi dan lubang di tanah. Ada juga beberapa orang yang menyeberangi Sungai Yordan, lalu pergi ke wilayah Gad dan Gilead. Raja Saul masih berada di Gilgal, dan orang yang mengikuti baginda gementar ketakutan. Raja Saul menunggu Samuel selama tujuh hari, sebagaimana pesan Samuel kepada baginda, tetapi Samuel belum juga tiba di Gilgal. Kemudian orang Israel mula meninggalkan Raja Saul. Oleh itu Raja Saul bertitah kepada mereka, “Bawalah ke mari korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN.” Kemudian Raja Saul sendiri mempersembahkan korban itu, tetapi sebaik sahaja Raja Saul selesai mempersembahkannya, Samuel tiba. Raja Saul menemui Samuel untuk menyambutnya, tetapi Samuel bertanya, “Apakah yang sudah tuanku lakukan?” Raja Saul menjawab, “Beta melihat bahawa rakyat sudah mula meninggalkan beta, sedangkan tuan tidak datang pada waktu yang tuan tetapkan. Lagipun, orang Filistin sudah berkumpul di Mikhmas. Oleh itu beta berfikir, ‘Jangan-jangan tentera Filistin akan segera menyerang beta di sini, di Gilgal, padahal beta belum mohon belas kasihan TUHAN.’ Itulah sebabnya beta mengambil keputusan untuk mempersembahkan korban.” Samuel menjawab, “Perbuatan tuanku itu tindakan yang bodoh. Tuanku tidak mentaati perintah TUHAN, Allah tuanku, kepada tuanku. Jika tuanku taat, TUHAN pasti membenarkan tuanku dan keturunan tuanku memerintah Israel sampai selama-lamanya. Tetapi sekarang kerajaan tuanku tidak akan tahan lama. Oleh sebab tuanku tidak taat kepada-Nya, TUHAN akan mencari orang lain yang dikehendaki-Nya untuk dilantik menjadi raja umat-Nya.” Kemudian Samuel meninggalkan Gilgal dan meneruskan perjalanannya. Orang yang lain mengikut Raja Saul untuk bergabung dengan tentera baginda. Kemudian dari Gilgal mereka pergi ke Gibea di wilayah Benyamin. Raja Saul memeriksa pasukan baginda dan mendapati jumlahnya kira-kira enam ratus orang.
1 SAMUEL 13:1-15 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Saul sudah berumur sedemikian tahun ketika dia menaiki takhta. Setelah bertakhta selama dua tahun atas Israel, Saul memilih tiga ribu orang Israel iaitu dua ribu orang menyertai Saul di Mikhmas dan di Gunung Betel manakala seribu orang menyertai Yonatan di Gibea-Benyamin. Rakyat yang selebihnya disuruhnya pulang ke khemah masing-masing. Yonatan menumpaskan pasukan orang Filistin di Geba, dan orang Filistin terdengar hal itu. Lalu Saul memerintahkan agar sangkakala ditiup di seluruh negeri, fikirnya, “Biarlah orang Ibrani mendengar.” Semua orang Israel mendengar khabar yang mengatakan, “Saul telah menumpaskan pasukan orang Filistin sehingga orang Filistin sangat membenci orang Israel.” Maka rakyat pun dikerahkan untuk bergabung dengan Saul di Gilgal. Maka berkumpullah orang Filistin untuk memerangi orang Israel dengan tiga ribu buah rata, enam ribu orang anggota tentera berkuda dan pasukan berjalan kaki tidak terkira ramainya bak pasir di tepi laut. Mereka bergerak maju dan berkhemah di Mikhmas, di sebelah timur Bet-Awen. Apabila orang Israel melihat bahawa mereka tersepit dan pasukan mereka memang telah terdesak, maka larilah mereka lalu bersembunyi di gua, di semak, di bukit batu, di ruang bawah tanah, dan di perigi. Bahkan ada beberapa orang Ibrani menyeberangi Sungai Yordan ke Tanah Gad dan Gilead, tetapi Saul tetap bertahan di Gilgal dan seluruh pasukan mengikutinya dengan begitu gementar. Dia menanti selama tujuh hari seperti yang ditentukan oleh Samuel, tetapi Samuel tidak juga datang ke Gilgal sehingga pasukan itu bercerai-berai meninggalkan Saul. Maka Saul berkata, “Bawalah kepadaku segala korban bakaran dan korban kedamaian itu.” Lalu dia mempersembahkan korban bakaran. Sebaik sahaja dia selesai mempersembahkan korban bakaran, tiba-tiba datanglah Samuel. Saul keluar menyambutnya untuk mengucapkan salam kepadanya. Samuel bertanya, “Apakah yang kaulakukan?” Jawab Saul, “Apabila kulihat bahawa pasukan itu bercerai-berai meninggalkan aku, sedangkan engkau tidak juga datang pada waktu yang telah ditetapkan dan orang Filistin telah berkumpul di Mikhmas, maka aku berfikir, ‘Sekarang orang Filistin akan datang menyerang aku di Gilgal, padahal aku belum memohon belas ihsan TUHAN.’ Itulah sebabnya aku memberanikan diri untuk mempersembahkan korban bakaran.” Kata Samuel kepada Saul, “Perbuatanmu itu bodoh. Engkau tidak mengikuti perintah TUHAN, Allahmu, yang diperintahkan-Nya kepadamu. Andainya kamu patuh, memang TUHAN tetap akan mengukuhkan kerajaanmu atas orang Israel buat selama-lamanya. Tetapi sekarang pemerintahan dan kerajaanmu tidak akan tetap. TUHAN telah memilih seorang yang berkenan dalam hati-Nya dan TUHAN telah menunjuk dia untuk menjadi raja atas umat-Nya, kerana engkau tidak mengikuti apa yang diperintahkan TUHAN kepadamu.” Kemudian berangkatlah Samuel meninggalkan Gilgal lalu pergi ke Gibea-Benyamin. Saul memeriksa barisan umat yang ada bersama-samanya itu dan ada seramai kira-kira enam ratus orang.