1 Samuel 13:1-15

1 Samuel 13:1-15 AVB

Saul sudah berumur sedemikian tahun ketika dia menaiki takhta. Setelah bertakhta selama dua tahun atas Israel, Saul memilih tiga ribu orang Israel iaitu dua ribu orang menyertai Saul di Mikhmas dan di Gunung Betel manakala seribu orang menyertai Yonatan di Gibea-Benyamin. Rakyat yang selebihnya disuruhnya pulang ke khemah masing-masing. Yonatan menumpaskan pasukan orang Filistin di Geba, dan orang Filistin terdengar hal itu. Lalu Saul memerintahkan agar sangkakala ditiup di seluruh negeri, fikirnya, “Biarlah orang Ibrani mendengar.” Semua orang Israel mendengar khabar yang mengatakan, “Saul telah menumpaskan pasukan orang Filistin sehingga orang Filistin sangat membenci orang Israel.” Maka rakyat pun dikerahkan untuk bergabung dengan Saul di Gilgal. Maka berkumpullah orang Filistin untuk memerangi orang Israel dengan tiga ribu buah rata, enam ribu orang anggota tentera berkuda dan pasukan berjalan kaki tidak terkira ramainya bak pasir di tepi laut. Mereka bergerak maju dan berkhemah di Mikhmas, di sebelah timur Bet-Awen. Apabila orang Israel melihat bahawa mereka tersepit dan pasukan mereka memang telah terdesak, maka larilah mereka lalu bersembunyi di gua, di semak, di bukit batu, di ruang bawah tanah, dan di perigi. Bahkan ada beberapa orang Ibrani menyeberangi Sungai Yordan ke Tanah Gad dan Gilead, tetapi Saul tetap bertahan di Gilgal dan seluruh pasukan mengikutinya dengan begitu gementar. Dia menanti selama tujuh hari seperti yang ditentukan oleh Samuel, tetapi Samuel tidak juga datang ke Gilgal sehingga pasukan itu bercerai-berai meninggalkan Saul. Maka Saul berkata, “Bawalah kepadaku segala korban bakaran dan korban kedamaian itu.” Lalu dia mempersembahkan korban bakaran. Sebaik sahaja dia selesai mempersembahkan korban bakaran, tiba-tiba datanglah Samuel. Saul keluar menyambutnya untuk mengucapkan salam kepadanya. Samuel bertanya, “Apakah yang kaulakukan?” Jawab Saul, “Apabila kulihat bahawa pasukan itu bercerai-berai meninggalkan aku, sedangkan engkau tidak juga datang pada waktu yang telah ditetapkan dan orang Filistin telah berkumpul di Mikhmas, maka aku berfikir, ‘Sekarang orang Filistin akan datang menyerang aku di Gilgal, padahal aku belum memohon belas ihsan TUHAN.’ Itulah sebabnya aku memberanikan diri untuk mempersembahkan korban bakaran.” Kata Samuel kepada Saul, “Perbuatanmu itu bodoh. Engkau tidak mengikuti perintah TUHAN, Allahmu, yang diperintahkan-Nya kepadamu. Andainya kamu patuh, memang TUHAN tetap akan mengukuhkan kerajaanmu atas orang Israel buat selama-lamanya. Tetapi sekarang pemerintahan dan kerajaanmu tidak akan tetap. TUHAN telah memilih seorang yang berkenan dalam hati-Nya dan TUHAN telah menunjuk dia untuk menjadi raja atas umat-Nya, kerana engkau tidak mengikuti apa yang diperintahkan TUHAN kepadamu.” Kemudian berangkatlah Samuel meninggalkan Gilgal lalu pergi ke Gibea-Benyamin. Saul memeriksa barisan umat yang ada bersama-samanya itu dan ada seramai kira-kira enam ratus orang.