1 SAMUEL 12:1,19-24
1 SAMUEL 12:1 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Berkatalah Samuel kepada seluruh orang Israel, “Telah kupenuhi segala permintaanmu yang kamu sampaikan kepadaku, dan aku sudah menobatkan seorang raja untuk memerintah kamu.
1 Samuel 12:19-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kata seluruh bangsa itu kepada Samuel, “Berdoalah kepada TUHAN, Allahmu, bagi hamba-hambamu ini supaya jangan kami mati. Kami telah menambah segala dosa kami dengan kejahatan ini, iaitu meminta seorang raja untuk menjadi pemerintah kami.” Kata Samuel kepada bangsa itu, “Jangan takut, memang kamu telah melakukan segala kejahatan ini, tetapi jangan berhenti mengikuti TUHAN. Beribadatlah kepada TUHAN dengan segenap hatimu. Jangan menyimpang, mengikuti kesia-siaan yang tidak memberikan faedah dan tidak menyelamatkan, kerana semua itu kesia-siaan belaka. TUHAN tidak akan menterlantarkan umat-Nya demi nama-Nya yang besar itu, kerana TUHAN telah berkenan menjadikan kamu umat-Nya. Bagiku, janganlah aku sekali-kali berdosa terhadap TUHAN dengan berhenti mendoakan kamu; aku akan mengajarmu jalan yang baik dan lurus. Hanya, takutlah kepada TUHAN dan setialah beribadat kepada-Nya dengan segenap hatimu, kerana ketahuilah, betapa besarnya hal-hal yang telah dilakukan-Nya bagimu.
1 SAMUEL 12:1 Alkitab Berita Baik (BM)
Selepas itu Samuel berkata kepada segenap umat Israel, “Aku sudah memenuhi segala permintaan kamu. Aku sudah melantik seorang raja untuk memerintah kamu.
1 SAMUEL 12:19-24 Alkitab Berita Baik (BM)
Mereka berkata kepada Samuel, “Tolonglah tuan, berdoalah kepada TUHAN Allah tuan untuk kami, supaya kami tidak mati. Sekarang kami sedar bahawa selain dosa kami yang banyak, kami sudah berdosa lagi apabila kami meminta seorang raja.” Samuel menjawab, “Jangan takut! Walaupun kamu sudah melakukan perkara yang jahat, jangan belakangi TUHAN. Tetaplah mengabdi kepada-Nya dengan sepenuh hati kamu. Jangan ikut dewa-dewa yang tidak dapat menolong ataupun menyelamatkan kamu, kerana dewa-dewa itu sebenarnya tidak wujud. TUHAN sudah bersumpah bahawa Dia tidak akan meninggalkan kamu, kerana Dia sudah mengambil keputusan untuk menjadikan kamu umat-Nya sendiri. Bagi diriku, berdosalah aku terhadap TUHAN jika aku tidak lagi berdoa untuk kamu; semoga TUHAN menghindarkan dosa itu daripadaku. Sebaliknya aku akan terus mengajar kamu hal-hal yang baik dan yang benar. Taatilah TUHAN dan abdikan diri kepada-Nya dengan setia dan dengan sepenuh hati. Ingatlah akan perbuatan besar yang sudah dilakukan-Nya untuk kamu.