1 PETRUS 5:1-11
1 PETRUS 5:1-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Aku meminta perhatian pemimpin-pemimpin jemaah di kalangan kamu. Aku juga pemimpin jemaah dan aku sudah menyaksikan penderitaan Kristus. Aku akan turut dimuliakan apabila kemuliaan Kristus dinyatakan kepada manusia. Aku menggesa kamu supaya kamu menjaga jemaah yang diberikan oleh Allah kepada kamu, seperti gembala menjaga kawanan domba. Jagalah jemaah dengan senang hati sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah. Janganlah lakukan tugas itu dengan berat hati. Jangan lakukan pekerjaan kamu hanya untuk mendapat upah, tetapi lakukannya kerana kamu sungguh-sungguh ingin melakukannya. Janganlah bertindak sebagai penguasa terhadap orang yang dipercayakan kepada kamu, tetapi jadilah teladan kepada mereka. Apabila Gembala Agung itu datang kelak, kamu akan menerima mahkota yang mulia dan kekal. Demikian juga kamu, orang muda, hendaklah kamu taat kepada orang yang lebih tua. Hendaklah kamu semua merendahkan diri dan saling melayani, kerana di dalam Alkitab tertulis, “Allah menentang orang yang sombong, tetapi Dia merahmati orang yang rendah hati.” Oleh itu, rendahkanlah diri kamu ke bawah tangan Allah yang berkuasa, supaya Dia meninggikan kamu pada masa yang ditetapkan-Nya. Serahkanlah segala kekhuatiran kamu kepada Allah, kerana Dia mengambil berat tentang kamu. Berjaga-jagalah dan berwaspadalah, kerana Iblis, musuh kamu merayau-rayau seperti singa yang mengaum sambil mencari mangsa. Teguhkanlah iman dan lawanlah Iblis, kerana kamu tahu bahawa saudara-saudara sesama Kristian lainnya di seluruh dunia, juga mengalami penderitaan yang sama. Tetapi setelah kamu menanggung penderitaan untuk sementara waktu, Allah sendiri akan menyempurnakan kamu. Dia akan menegakkan, menguatkan, dan mengukuhkan kamu, kerana Dia Allah yang sangat baik hati dan yang sudah memanggil kamu untuk turut menikmati kemuliaan-Nya yang kekal, kerana kamu hidup bersatu dengan Kristus. Dialah yang berkuasa selama-lamanya! Amin.
1 PETRUS 5:1-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
MAKA orang tua tua yang ada diantara kamu, aku bri nasihat, maka aku inipun sa’orang tua juga adanya, dan sa’orang saksi deri hal sŭngsara Almasih, dan lagipun sa’orang yang mŭmpunyai bahgian bagie kamuliaan yang kŭlak akan dinyatakan: Brilah makan akan kawan domba Allah yang ada diantara kamu, sŭrta buang buang mata kapadanya, janganlah dŭngan paksa, mŭlainkan dŭngan kŭrelaan; bukannya deri sŭbab laba yang kŭji, mŭlainkan dŭngan suka hati. Atau jangan spŭrti tuan tuan atas pusaka Allah, mŭlainkan mŭnjadi tauladanlah kapada kawan domba itu. Maka apabila pŭnghulu gombala itu kŭlak klihatan, maka kamu akan bŭrulih mahakota kamuliaan yang tiada binasa. Dan dŭmkian lagi kamu orang muda muda, ta’lokkanlah dirimu kapada orang tua tua, bahkan, handaklah skalian kamu ta’lok sa’orang akan sa’orang dŭngan bŭrpakiean karŭndahan hati, kŭrna Allah itu mŭlawan akan orang yang chongkak, dan dibrinya nihmat kapada orang yang mŭrŭndahkan dirinya. Sŭbab itu rŭndahkanlah dirimu kabawah tangan kudrat Allah, supaya ditinggikannya dikau pada waktu yang tŭrtŭntu. Pulangkanlah sagala kabratanmu itu kapada Tuhan, kŭrna iyalah mŭnaroh ingatan atas kamu. Maka handaklah kamu suman dan jaga, kŭrna musohmu iblis itu ada spŭrti singa mŭnglilingi kami, mŭngaum mŭnchari siapakah handak ditŭlannya. Lawanlah akan dia dŭngan iman yang tŭgoh, kŭrna kami kŭtahui, bahwa sŭngsara yang dŭmkianlah dilakukan kapada saudara saudara kamu yang ada dalam dunia. Adapun Allah pohon sagala nihmat itu, yang tŭlah mŭnjŭmpot kami kapada kamuliaannya yang kŭkal itu dŭngan bŭrkat Isa Almasih, sŭtlah sudah kamu mŭrasai sŭngsara sŭdikit waktu, jadikanlah kiranya kamu samporna, dan tŭgoh, dan tŭtap, dan tŭntu. Maka bagie Tuhanlah juga kiranya kamuliaan, dan pŭngwasaan sampie slama lamanya, Amin.
1 PETRUS 5:1-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Kepada tua-tua jemaah dalam kalanganmu, kutujukan pesanan ini. Aku, sebagai seorang tua-tua juga yang telah menyaksikan penderitaan Kristus dan yang akan turut dimuliakan apabila kemuliaan-Nya ternyata, menyerumu: Jagalah jemaah Allah sekitarmu seperti gembala menjaga kawanan domba. Awasi mereka — bukan secara terpaksa tetapi dengan rela; bukan untuk mendapat keuntungan yang tidak wajar, tetapi dengan sepenuh hati; bukan sebagai tuan bagi mereka yang diamanahkan kepadamu, tetapi sebagai teladan untuk mereka. Apabila Gembala Agung datang kelak, kamu akan menerima mahkota kemuliaan yang kekal. Demikian juga kamu, orang muda, tunduklah kepada orang tua yang memimpinmu. Ya, kamu semua hendaklah saling menghormati dan merendah diri, kerana, “Allah menentang orang yang angkuh tetapi memberikan anugerah kepada orang yang rendah hati.” Oleh itu, rendahkan dirimu di bawah kuasa Allah, supaya kamu ditinggikan-Nya pada waktu yang telah ditetapkan. Serahkan segala kerunsinganmu kepada Allah, kerana Dia mengambil berat tentangmu. Kawallah dirimu dan berwaspadalah, kerana musuhmu Iblis merayau seperti singa yang mengaum mencari mangsa. Lawanlah Iblis dengan iman yang teguh. Kamu tahu bahawa penderitaan yang sama sedang ditanggung oleh saudara-saudara seimanmu serata dunia. Tetapi setelah kamu menderita beberapa waktu, Allah, sumber segala kasih kurnia, yang telah memanggil kamu dalam Kristus untuk turut menikmati kemuliaan-Nya yang kekal, akan menyempurnakan, menegakkan, mengukuhkan dan menenteramkan kamu. Bagi Allah segala kemuliaan dan kekuasaan selama-lamanya. Amin.