1 RAJA-RAJA 9:15-23
1 RAJA-RAJA 9:15-23 Alkitab Berita Baik (BM)
Raja Salomo menggunakan tenaga buruh paksa untuk membina Rumah TUHAN dan istana raja, dan untuk menambak tanah di bahagian timur kota, serta membina tembok kota. Dia juga menggunakan tenaga buruh paksa untuk membina semula kota Hazor, Megido, dan Gezer. ( Raja Mesir pernah menyerang dan merebut kota Gezer, membunuh penduduknya, serta membakar kota itu. Kemudian raja Mesir memberikan kota itu kepada puterinya sebagai hadiah perkahwinan, ketika puterinya itu berkahwin dengan Raja Salomo. Kemudian Raja Salomo membina semula kota itu.) Dengan tenaga buruh paksa, Raja Salomo juga membina semula Bet-Horon-Hilir, Baalat, Tamar di padang gurun Yehuda, kota-kota tempat penyimpanan perbekalan, serta kota-kota tempat penyimpanan semua kuda dan kereta kuda. Semua rancangan pembinaan di Yerusalem, di Lebanon, dan di merata tempat di seluruh kerajaannya telah dilaksanakan. Buruh paksa yang dikerahkan oleh Raja Salomo ialah keturunan orang Kanaan, yang tidak dibunuh oleh umat Israel ketika mereka merampas negeri itu. Ini termasuk orang Amori, Het, Feris, Hewi, dan Yebusi, yang keturunan mereka terus menjadi abdi hingga sekarang. Raja Salomo tidak menjadikan sesiapa pun orang Israel sebagai abdi. Mereka dijadikan askar, pegawai, panglima, ketua pasukan berkereta kuda, dan anggota pasukan berkuda. Sebanyak 550 orang pegawai ditugaskan untuk mengawasi pekerjaan buruh paksa yang bekerja dalam berbagai-bagai projek pembinaan milik Raja Salomo.
1 RAJA-RAJA 9:15-23 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Inilah perihal buruh paksa yang dikerahkan oleh Raja Salomo untuk membina Bait TUHAN, istananya sendiri, Milo, tembok Yerusalem, Hazor, Megido, dan Gezer. (Dahulunya Firaun, raja Mesir, maju berperang merebut Gezer. Dia membakar habis kota itu dan membunuh warga Kanaan yang tinggal di situ. Kemudian dia memberikan kota itu kepada anaknya, isteri Salomo, sebagai hadiah pernikahan. Maka Salomo membina Kota Gezer kembali.) Dia juga membina Bet-Horon Hilir, Baalat, dan Tamar di gurun di negeri itu, semua kota perbekalan yang dimiliki Salomo, kota-kota tempat rata, kota-kota tempat pasukan berkuda, dan apa-apa pun yang ingin dibina Salomo di Yerusalem, di Lebanon, dan di seluruh negeri di bawah kekuasaannya. Semua orang yang tersisa daripada orang Amori, orang Het, orang Feris, orang Hewi, dan orang Yebus, yang tidak termasuk orang Israel, iaitu keturunan orang itu yang masih tinggal di negeri itu serta yang tidak dapat ditumpaskan oleh orang Israel, merekalah yang dikerahkan Salomo sebagai buruh paksa, dan demikianlah keadaan mereka sampai hari ini. Sebaliknya, daripada kalangan orang Israel tidak ada seorang pun yang dijadikan hamba oleh Salomo. Mereka dijadikan pejuang, pegawai, pembesar, ajutan, atau panglima kepada pasukan rata dan pasukan berkudanya. Inilah jumlah pegawai utama yang mengetuai pekerjaan Salomo: lima ratus lima puluh orang menyelia rakyat yang melakukan pekerjaan itu.