1 RAJA-RAJA 9
9
Allah Menampakkan Diri Lagi kepada Raja Salomo
(2 Taw 7.11-22)
1Selepas Raja Salomo selesai membina Rumah TUHAN dan istana, serta segala yang dirancangkannya, 2 TUHAN menampakkan diri lagi kepada Raja Salomo seperti di Gibeon dahulu. 3TUHAN berfirman kepadanya, “Aku telah mendengar doamu. Aku mengekhaskan Rumah yang telah engkau bina ini sebagai tempat beribadat kepada-Ku selama-lamanya. Aku akan sentiasa menjaga dan melindunginya. 4Jika engkau mengabdi kepada-Ku dengan jujur dan tulus hati seperti bapamu Daud, dan jika engkau taat kepada hukum-hukum-Ku serta melakukan segala yang telah Aku perintahkan kepadamu, 5 Aku akan menepati janji-Ku kepada bapamu Daud, ketika Aku berfirman kepadanya bahawa Israel akan sentiasa diperintah oleh keturunannya. 6Tetapi jika engkau atau keturunanmu tidak lagi mengikut Aku, dan tidak taat kepada hukum dan perintah yang Aku berikan kepadamu, dan engkau menyembah tuhan-tuhan lain, 7maka Aku akan membuang umat-Ku Israel dari negeri yang telah Aku berikan kepada mereka. Aku juga akan meninggalkan Rumah ini yang telah Kukhaskan sebagai tempat beribadat kepada-Ku. Orang di merata tempat akan mengolok-olok dan menghina umat Israel. 8 Rumah ini akan menjadi timbunan puing sehingga setiap orang yang lalu di sini akan terperanjat dan tertegun. Mereka akan bertanya, ‘Mengapakah TUHAN berbuat demikian terhadap negeri dan Rumah ini?’ 9Orang akan menjawab, ‘Kerana mereka telah meninggalkan TUHAN, Allah mereka yang telah membawa nenek moyang mereka keluar dari Mesir. Mereka menyembah dan mengabdi kepada tuhan-tuhan lain. Itulah sebabnya TUHAN mendatangkan bencana ini kepada mereka.’ ”
Persetujuan antara Raja Salomo dan Raja Hiram
(2 Taw 8.1-2)
10Raja Salomo mengambil masa dua puluh tahun untuk membina Rumah TUHAN dan istananya. 11Raja Hiram dari Tirus, memberi baginda semua kayu sedar Lebanon, kayu sipres, emas, dan semua yang diperlukan Raja Salomo untuk pembinaan itu. Selepas pembinaan itu selesai, Raja Salomo memberikan dua puluh buah kota di daerah Galilea kepada Raja Hiram. 12Raja Hiram pergi melihat kota-kota itu, tetapi baginda tidak suka kepada kota-kota itu. 13Oleh itu Raja Hiram berkata kepada Raja Salomo, “Hai saudara, ini rupanya kota-kota yang saudara berikan kepada saya!” Itulah sebabnya daerah itu masih disebut Kabul sampai sekarang. 14Raja Hiram telah memberi Raja Salomo lebih daripada 4,000 kilogram emas.
Hal-Hal Lain yang Dilakukan oleh Raja Salomo
(2 Taw 8.3-18)
15Raja Salomo menggunakan tenaga buruh paksa untuk membina Rumah TUHAN dan istana raja, dan untuk menambak tanah di bahagian timur kota, serta membina tembok kota. Dia juga menggunakan tenaga buruh paksa untuk membina semula kota Hazor, Megido, dan Gezer. ( 16Raja Mesir pernah menyerang dan merebut kota Gezer, membunuh penduduknya, serta membakar kota itu. Kemudian raja Mesir memberikan kota itu kepada puterinya sebagai hadiah perkahwinan, ketika puterinya itu berkahwin dengan Raja Salomo. 17Kemudian Raja Salomo membina semula kota itu.) Dengan tenaga buruh paksa, Raja Salomo juga membina semula Bet-Horon-Hilir, 18Baalat, Tamar di padang gurun Yehuda, 19kota-kota tempat penyimpanan perbekalan, serta kota-kota tempat penyimpanan semua kuda dan kereta kuda. Semua rancangan pembinaan di Yerusalem, di Lebanon, dan di merata tempat di seluruh kerajaannya telah dilaksanakan. 20-21Buruh paksa yang dikerahkan oleh Raja Salomo ialah keturunan orang Kanaan, yang tidak dibunuh oleh umat Israel ketika mereka merampas negeri itu. Ini termasuk orang Amori, Het, Feris, Hewi, dan Yebusi, yang keturunan mereka terus menjadi abdi hingga sekarang. 22Raja Salomo tidak menjadikan sesiapa pun orang Israel sebagai abdi. Mereka dijadikan askar, pegawai, panglima, ketua pasukan berkereta kuda, dan anggota pasukan berkuda.
23Sebanyak 550 orang pegawai ditugaskan untuk mengawasi pekerjaan buruh paksa yang bekerja dalam berbagai-bagai projek pembinaan milik Raja Salomo.
24Raja Salomo menambak tanah di bahagian timur kota itu, selepas isterinya, puteri raja Mesir, pindah dari Kota Daud ke istana yang dibina oleh Raja Salomo untuknya.
25 Tiga kali setahun Raja Salomo mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN di atas mazbah yang dibinanya untuk TUHAN. Raja Salomo juga membakar kemenyan untuk TUHAN. Demikianlah Raja Salomo menyelesaikan pembinaan Rumah TUHAN.
26Raja Salomo juga membina kapal-kapal di Ezion-Geber, dekat Elot, di pantai Teluk Akaba, di tanah Edom. 27Raja Hiram mengirim beberapa orang anak kapalnya yang berpengalaman untuk bertugas bersama-sama anak kapal Raja Salomo. 28Mereka belayar ke tanah Ofir, dan membawa lebih daripada 14,000 kilogram emas bagi Raja Salomo.
Terpilih Sekarang Ini:
1 RAJA-RAJA 9: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.