1 RAJA-RAJA 9:10-14
1 RAJA-RAJA 9:10-14 Alkitab Berita Baik (BM)
Raja Salomo mengambil masa dua puluh tahun untuk membina Rumah TUHAN dan istananya. Raja Hiram dari Tirus, memberi baginda semua kayu sedar Lebanon, kayu sipres, emas, dan semua yang diperlukan Raja Salomo untuk pembinaan itu. Selepas pembinaan itu selesai, Raja Salomo memberikan dua puluh buah kota di daerah Galilea kepada Raja Hiram. Raja Hiram pergi melihat kota-kota itu, tetapi baginda tidak suka kepada kota-kota itu. Oleh itu Raja Hiram berkata kepada Raja Salomo, “Hai saudara, ini rupanya kota-kota yang saudara berikan kepada saya!” Itulah sebabnya daerah itu masih disebut Kabul sampai sekarang. Raja Hiram telah memberi Raja Salomo lebih daripada 4,000 kilogram emas.
1 RAJA-RAJA 9:10-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Setelah berakhir tempoh dua puluh tahun Salomo membina dua gedung itu, iaitu Bait TUHAN dan istana raja, Raja Salomo memberi Hiram dua puluh kota di Tanah Galilea, kerana Hiram, raja Tirus itu, telah membekalkan kayu araz, kayu sanubar, dan emas kepada Salomo, sebanyak mana yang dikehendakinya. Lalu Hiram pergi dari Tirus untuk melihat kota-kota yang diberikan Salomo kepadanya, tetapi semua kota itu tidak menyenangkan hatinya. Maka katanya, “Kota-kota macam apakah yang kauberikan kepadaku ini, saudaraku?” Oleh sebab itu orang menamainya Tanah Kabul sampai hari ini. Hiram telah mengirimi raja seratus dua puluh talenta emas.