1 RAJA-RAJA 22:17-28

1 RAJA-RAJA 22:17-28 Alkitab Berita Baik (BM)

Mikha menjawab, “Hamba nampak tentera Israel tercerai-cerai di bukit-bukit seperti kawanan domba yang tidak mempunyai gembala. TUHAN berfirman, ‘Semua orang ini tidak mempunyai pemimpin; biarlah mereka pulang dengan selamat.’ ” Raja Ahab bertitah kepada Raja Yosafat, “Beta telah memberitahu tuanku bahawa dia tidak pernah bernubuat tentang perkara yang baik bagi beta! Dia selalu bernubuat tentang perkara yang buruk!” Mikha berkata lagi, “Dengarlah firman TUHAN! Hamba nampak TUHAN bersemayam di takhta-Nya di syurga, dan semua malaikat-Nya berdiri di sekeliling-Nya. TUHAN bertanya, ‘Siapakah yang akan memperdaya Ahab supaya dia pergi ke Ramot lalu terbunuh di sana?’ Jawapan malaikat-malaikat itu berbeza-beza. Kemudian satu roh tampil dan menghadap TUHAN. Roh itu berkata, ‘Aku akan memperdaya Ahab.’ Lalu TUHAN bertanya, ‘Bagaimana?’ Roh itu menjawab, ‘Aku akan menyebabkan semua nabi Ahab berdusta.’ TUHAN berfirman, ‘Pergilah perdayakan dia. Engkau akan berjaya.’ ” Mikha berkata lagi, “Inilah yang telah berlaku. TUHAN telah membuat nabi-nabi tuanku berdusta kepada tuanku. Tetapi TUHAN sendiri telah menentukan bahawa tuanku akan ditimpa malapetaka!” Nabi Zedekia menghampiri Mikha, menampar pipinya, lalu bertanya, “Sejak bilakah Roh TUHAN meninggalkan aku dan berfirman kepadamu?” Mikha menjawab, “Engkau akan mengetahui hal ini apabila engkau bersembunyi di salah sebuah bilik belakang.” Kemudian Raja Ahab bertitah kepada salah seorang pegawainya, “Tangkaplah Mikha dan bawalah dia kepada Amon, gabenor kota itu, dan kepada Putera Yoas. Suruh mereka memasukkan dia ke dalam penjara, dan memberi dia roti dan air sahaja sehingga beta kembali dengan selamat.” Mikha berkata, “Jika tuanku kembali dengan selamat, nyatalah bahawa TUHAN tidak berfirman melalui hamba!” Mikha berkata lagi, “Dengarlah, hai semua orang, akan apa yang telah saya katakan ini.”

1 RAJA-RAJA 22:17-28 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kata Mikha, “Aku melihat semua orang Israel tercerai-berai di gunung-gunung seperti domba yang tidak bergembala. Lalu TUHAN berfirman, ‘Mereka ini tidak bertuan. Biarlah mereka pulang ke rumah masing-masing dengan selamat.’ ” Kemudian Raja Israel berkata kepada Yosafat, “Bukankah sudah kukatakan kepadamu bahawa dia tidak pernah menubuatkan hal yang baik tentang aku, melainkan hal yang buruk belaka?” Mikha berkata lagi, “Oleh sebab itu dengarlah firman TUHAN. Aku telah melihat TUHAN duduk di atas takhta-Nya, sementara seluruh angkatan syurga berdiri di sebelah kanan dan kiri-Nya. Lalu TUHAN berfirman, ‘Siapakah yang mahu memujuk Ahab supaya dia maju dan tewas di Ramot-Gilead?’ Maka yang satu berkata begini dan yang lain berkata begitu. Kemudian tampillah suatu roh, lalu berdiri di hadapan TUHAN. Katanya, ‘Aku akan memujuk dia.’ Firman TUHAN kepadanya, ‘Dengan apa?’ Jawabnya, ‘Aku akan keluar dan menjadi roh dusta di dalam mulut semua nabinya.’ Firman-Nya, ‘Engkau akan memujuk dia dan berjaya. Pergilah dan berbuatlah demikian!’ Sekarang ketahuilah, TUHAN telah mengizinkan roh dusta ditaruh di dalam mulut semua nabi tuanku itu. TUHAN telah menetapkan malapetaka terhadap tuanku.” Kemudian Zedekia anak Kenaana mendekati lantas menampar pipi Mikha. Katanya, “Bagaimanakah mungkin roh daripada TUHAN itu berpindah daripadaku untuk berbicara kepadamu?” Jawab Mikha, “Sesungguhnya, engkau akan mengetahuinya pada hari itu, ketika engkau masuk ke suatu bilik yang terdalam untuk bersembunyi.” Maka Raja Israel memerintahkan, “Tangkap Mikha dan bawa dia kembali kepada Amon, pembesar kota itu, dan kepada Yoas, anak raja. Katakanlah, ‘Beginilah perintah raja: Masukkan orang ini ke dalam penjara. Beri dia roti dan air serba sedikit sampai aku pulang dengan selamat.’ ” Kata Mikha, “Jika tuanku betul-betul kembali dengan selamat, bererti TUHAN tidak berfirman melalui aku.” Lalu dia berkata, “Dengarlah, wahai bangsa sekalian!”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami