1 Raja-Raja 22:17-28

1 Raja-Raja 22:17-28 AVB

Kata Mikha, “Aku melihat semua orang Israel tercerai-berai di gunung-gunung seperti domba yang tidak bergembala. Lalu TUHAN berfirman, ‘Mereka ini tidak bertuan. Biarlah mereka pulang ke rumah masing-masing dengan selamat.’ ” Kemudian Raja Israel berkata kepada Yosafat, “Bukankah sudah kukatakan kepadamu bahawa dia tidak pernah menubuatkan hal yang baik tentang aku, melainkan hal yang buruk belaka?” Mikha berkata lagi, “Oleh sebab itu dengarlah firman TUHAN. Aku telah melihat TUHAN duduk di atas takhta-Nya, sementara seluruh angkatan syurga berdiri di sebelah kanan dan kiri-Nya. Lalu TUHAN berfirman, ‘Siapakah yang mahu memujuk Ahab supaya dia maju dan tewas di Ramot-Gilead?’ Maka yang satu berkata begini dan yang lain berkata begitu. Kemudian tampillah suatu roh, lalu berdiri di hadapan TUHAN. Katanya, ‘Aku akan memujuk dia.’ Firman TUHAN kepadanya, ‘Dengan apa?’ Jawabnya, ‘Aku akan keluar dan menjadi roh dusta di dalam mulut semua nabinya.’ Firman-Nya, ‘Engkau akan memujuk dia dan berjaya. Pergilah dan berbuatlah demikian!’ Sekarang ketahuilah, TUHAN telah mengizinkan roh dusta ditaruh di dalam mulut semua nabi tuanku itu. TUHAN telah menetapkan malapetaka terhadap tuanku.” Kemudian Zedekia anak Kenaana mendekati lantas menampar pipi Mikha. Katanya, “Bagaimanakah mungkin roh daripada TUHAN itu berpindah daripadaku untuk berbicara kepadamu?” Jawab Mikha, “Sesungguhnya, engkau akan mengetahuinya pada hari itu, ketika engkau masuk ke suatu bilik yang terdalam untuk bersembunyi.” Maka Raja Israel memerintahkan, “Tangkap Mikha dan bawa dia kembali kepada Amon, pembesar kota itu, dan kepada Yoas, anak raja. Katakanlah, ‘Beginilah perintah raja: Masukkan orang ini ke dalam penjara. Beri dia roti dan air serba sedikit sampai aku pulang dengan selamat.’ ” Kata Mikha, “Jika tuanku betul-betul kembali dengan selamat, bererti TUHAN tidak berfirman melalui aku.” Lalu dia berkata, “Dengarlah, wahai bangsa sekalian!”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami