1 RAJA-RAJA 19:4-10,15-18
1 RAJA-RAJA 19:4-10 Alkitab Berita Baik (BM)
lalu berjalan sepanjang hari ke padang gurun. Kemudian dia berhenti dan duduk di bawah sebatang pokok; dia ingin mati. Dia berdoa, “Penderitaan ini terlalu berat bagiku, ya TUHAN. Ambillah nyawaku, lebih baik aku mati!” Dia berbaring di bawah pokok itu lalu tertidur. Tiba-tiba malaikat menyentuh dia dan berkata, “Bangunlah, dan makanlah.” Elia melihat di sekelilingnya dan nampak seketul roti bakar dan sebuah kendi berisi air dekat kepalanya. Dia makan dan minum, lalu berbaring semula. Malaikat TUHAN kembali dan membangunkannya sekali lagi. Katanya, “Bangunlah dan makanlah, supaya engkau tahan dalam perjalanan yang jauh.” Elia bangun dan makan; makanan itu memberi dia cukup tenaga untuk berjalan selama empat puluh hari ke Gunung Sinai, tempat Allah menyatakan diri. Di sana dia bermalam di dalam sebuah gua. Kemudian TUHAN berfirman kepadanya, “Elia, apakah yang engkau lakukan di sini?” Elia menjawab, “Ya TUHAN, Allah Yang Maha Kuasa, aku sentiasa mengabdi kepada-Mu dan kepada-Mu sahaja. Tetapi umat Israel telah melanggar perjanjian mereka dengan Engkau. Mereka merobohkan mazbah-Mu dan membunuh semua nabi-Mu. Hanya aku seorang yang masih hidup, dan kini mereka hendak membunuh aku pula!”
1 RAJA-RAJA 19:15-18 Alkitab Berita Baik (BM)
TUHAN berfirman kepadanya, “Kembalilah ke padang gurun dekat Damsyik. Masuklah ke kota dan lumurilah kepala Hazael dengan minyak sebagai tanda bahawa dia dipilih menjadi raja negeri Siria. Lakukanlah hal yang sama kepada Yehu anak Nimsi supaya dia menjadi raja Israel, dan juga kepada Elisa anak Safat dari Abel-Mehola supaya dia menjadi nabi menggantikan engkau. Sesiapa yang dapat melarikan diri daripada pedang Hazael akan dibunuh Yehu, dan sesiapa yang terlepas daripada pedang Yehu akan dibunuh Elisa. Namun Aku akan menyelamatkan tujuh ribu orang di Israel, iaitu mereka yang setia kepada-Ku dan belum pernah bersujud kepada Baal, ataupun menciumnya.”
1 RAJA-RAJA 19:4-10 Alkitab Versi Borneo (AVB)
sementara dia pergi seorang diri kira-kira sejauh sehari perjalanan ke gurun. Di sana duduklah dia di bawah sebuah pokok arar, dan memohon supaya dia mati sahaja, katanya, “Cukuplah! Sekarang, ya TUHAN, cabutlah nyawaku kerana aku ini tidak lebih baik daripada nenek moyangku.” Kemudian dia berbaring dan tidur di bawah pokok arar itu. Tiba-tiba seorang malaikat menjamahnya dan bersabda kepadanya, “Bangunlah, makanlah.” Ketika dia memandang sekelilingnya, tampaklah yang berdekatan dengan kepalanya ada sepotong roti bundar terpanggang di atas bara api dan sebuah buyung berisi air. Dia pun makan dan minum, lalu berbaring lagi. Lalu untuk kali keduanya malaikat TUHAN datang lagi dan menjamah dia serta bersabda, “Bangunlah, makanlah, kerana perjalanan kelak terlalu jauh bagimu.” Maka Elia bangun lalu makan dan minum. Kemudian dengan kekuatan daripada makanan itu, dia berjalan selama empat puluh hari empat puluh malam sampai ke gunung Allah, iaitu Gunung Horeb. Di sana dia masuk ke dalam sebuah gua lalu bermalam di situ. Tiba-tiba datanglah firman TUHAN kepadanya demikian, “Apakah yang kaukerjakan di sini, wahai Elia?” Jawabnya, “Aku telah berjuang penuh semangat bagi TUHAN, Allah alam semesta, kerana orang Israel telah mengabaikan perjanjian-Mu, meruntuhkan mazbah-mazbah-Mu, dan membunuh nabi-nabi-Mu dengan pedang. Hanya aku yang masih tinggal, dan mereka sedang berusaha untuk membunuhku.”
1 Raja-Raja 19:15-18 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Firman TUHAN kepadanya, “Pergilah, kembalilah ke jalanmu menuju Gurun Damsyik. Sesampainya di sana, lantiklah Hazael untuk menjadi raja atas Aram. Lantiklah juga Yehu, cucu Nimsi, menjadi raja atas Israel, dan Elisa anak Safat dari Abel-Mehola menjadi nabi untuk menggantikan engkau. Nanti, sesiapa yang terselamat daripada pedang Hazael akan dibunuh oleh Yehu, dan sesiapa yang terselamat daripada pedang Yehu akan dibunuh oleh Elisa. Namun demikian, Aku akan membiarkan terselamat tujuh ribu orang di Israel, iaitu semua orang yang tidak bertekuk lutut kepada Baal dan semua orang yang tidak menciumnya.”