1 Raja-Raja 19:4-10, 15-18

1 Raja-Raja 19:4-10 AVB

sementara dia pergi seorang diri kira-kira sejauh sehari perjalanan ke gurun. Di sana duduklah dia di bawah sebuah pokok arar, dan memohon supaya dia mati sahaja, katanya, “Cukuplah! Sekarang, ya TUHAN, cabutlah nyawaku kerana aku ini tidak lebih baik daripada nenek moyangku.” Kemudian dia berbaring dan tidur di bawah pokok arar itu. Tiba-tiba seorang malaikat menjamahnya dan bersabda kepadanya, “Bangunlah, makanlah.” Ketika dia memandang sekelilingnya, tampaklah yang berdekatan dengan kepalanya ada sepotong roti bundar terpanggang di atas bara api dan sebuah buyung berisi air. Dia pun makan dan minum, lalu berbaring lagi. Lalu untuk kali keduanya malaikat TUHAN datang lagi dan menjamah dia serta bersabda, “Bangunlah, makanlah, kerana perjalanan kelak terlalu jauh bagimu.” Maka Elia bangun lalu makan dan minum. Kemudian dengan kekuatan daripada makanan itu, dia berjalan selama empat puluh hari empat puluh malam sampai ke gunung Allah, iaitu Gunung Horeb. Di sana dia masuk ke dalam sebuah gua lalu bermalam di situ. Tiba-tiba datanglah firman TUHAN kepadanya demikian, “Apakah yang kaukerjakan di sini, wahai Elia?” Jawabnya, “Aku telah berjuang penuh semangat bagi TUHAN, Allah alam semesta, kerana orang Israel telah mengabaikan perjanjian-Mu, meruntuhkan mazbah-mazbah-Mu, dan membunuh nabi-nabi-Mu dengan pedang. Hanya aku yang masih tinggal, dan mereka sedang berusaha untuk membunuhku.”