1 RAJA-RAJA 18:25-27,30-38

1 RAJA-RAJA 18:30-38 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian Elia berkata kepada semua orang di situ, “Marilah dekat dengan saya.” Lalu mereka berkumpul di sekelilingnya. Elia mula memperbaiki mazbah TUHAN yang telah rosak itu. Dia mengambil dua belas buah batu, setiap batu mewakili salah satu daripada dua belas suku keturunan Yakub, iaitu orang yang diberikan nama Israel oleh TUHAN. Dengan batu-batu itu, Elia membina semula mazbah tempat beribadat kepada TUHAN. Di sekeliling mazbah itu Elia menggali parit yang boleh menampung air sebanyak kira-kira lima belas liter. Kemudian dia meletakkan kayu api di atas mazbah, memotong-motong lembu jantan itu dan meletakkannya di atas kayu api. Elia berkata, “Penuhilah empat buah buyung dengan air, lalu tuanglah air itu ke atas korban dan kayu ini.” Mereka melakukan suruhan itu. Elia berkata, “Buatlah lagi.” Mereka melakukannya lagi. “Buatlah sekali lagi,” kata Elia. Lalu mereka melakukannya sekali lagi, sehingga air mengalir di sekeliling mazbah itu dan paritnya dipenuhi air. Pada masa mempersembahkan korban petang, Nabi Elia menghampiri mazbah itu dan berdoa, “Ya TUHAN, Allah Abraham, Ishak, dan Yakub, sekarang buktikanlah bahawa Engkau Allah Israel dan bahawa aku hamba-Mu. Buktikanlah juga bahawa aku melakukan semua ini menurut perintah-Mu. Jawablah aku, ya TUHAN. Jawablah aku supaya umat ini tahu bahawa Engkau, TUHAN ialah Allah, dan bahawa Engkau sedang membawa mereka kembali kepada-Mu.” Kemudian TUHAN menurunkan api dari langit dan membakar korban itu bersama dengan kayu api, batu, dan tanah sehingga air di parit itu kering.

1 Raja-Raja 18:30-38 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Lalu kata Elia kepada seluruh rakyat, “Datanglah dekat kepadaku!” Maka seluruh rakyat pun mendekatinya. Kemudian Elia memperbaik mazbah TUHAN yang telah diruntuhkan itu. Seterusnya Elia mengambil dua belas buah batu selaras dengan jumlah suku bani Yakub — kepada Yakub ini pernah datang firman TUHAN demikian, “Namamu akan menjadi Israel.” Dengan batu-batu itu dibinanya suatu mazbah demi nama TUHAN dan dibuatnya parit di sekeliling mazbah itu, yang dapat memuat benih sebanyak dua sukatan. Diaturnya kayu api, lalu dipotong-potongnya lembu itu, dan diletakkannya di atas kayu api. Kemudian dia berkata, “Isilah empat buah tempayan dengan air, lalu curahkanlah air itu ke atas korban bakaran dan juga kayu api itu.” Katanya, “Buatlah begitu untuk kali kedua.” Lalu mereka melakukan hal itu untuk kali keduanya. Katanya lagi, “Buatlah begitu untuk kali ketiga.” Maka mereka melakukannya lagi untuk kali ketiga. Air pun mengalir daripada mazbah itu, memenuhi parit di sekelilingnya. Ketika tiba waktu mempersembahkan persembahan petang, majulah Nabi Elia dan berkata, “Ya TUHAN, Allah Abraham, Ishak, dan Israel, biarlah pada hari ini mereka tahu bahawa Engkaulah Allah di Israel, bahawa aku ini hamba-Mu, dan bahawa aku melakukan segala hal ini berdasarkan firman-Mu. Jawablah aku, ya TUHAN, jawablah aku, supaya umat ini tahu bahawa Engkau, ya TUHAN, sememangnya Allah, dan bahawa Engkaulah yang membuat hati mereka berbalik kembali.” Maka turunlah api TUHAN melahap korban bakaran, kayu api, batu-batu, dan debu tanah, serta menjilat air yang ada di dalam parit itu.