Lalu kata Elia kepada seluruh rakyat, “Datanglah dekat kepadaku!” Maka seluruh rakyat pun mendekatinya. Kemudian Elia memperbaik mazbah TUHAN yang telah diruntuhkan itu. Seterusnya Elia mengambil dua belas buah batu selaras dengan jumlah suku bani Yakub — kepada Yakub ini pernah datang firman TUHAN demikian, “Namamu akan menjadi Israel.” Dengan batu-batu itu dibinanya suatu mazbah demi nama TUHAN dan dibuatnya parit di sekeliling mazbah itu, yang dapat memuat benih sebanyak dua sukatan. Diaturnya kayu api, lalu dipotong-potongnya lembu itu, dan diletakkannya di atas kayu api. Kemudian dia berkata, “Isilah empat buah tempayan dengan air, lalu curahkanlah air itu ke atas korban bakaran dan juga kayu api itu.” Katanya, “Buatlah begitu untuk kali kedua.” Lalu mereka melakukan hal itu untuk kali keduanya. Katanya lagi, “Buatlah begitu untuk kali ketiga.” Maka mereka melakukannya lagi untuk kali ketiga. Air pun mengalir daripada mazbah itu, memenuhi parit di sekelilingnya.
Ketika tiba waktu mempersembahkan persembahan petang, majulah Nabi Elia dan berkata, “Ya TUHAN, Allah Abraham, Ishak, dan Israel, biarlah pada hari ini mereka tahu bahawa Engkaulah Allah di Israel, bahawa aku ini hamba-Mu, dan bahawa aku melakukan segala hal ini berdasarkan firman-Mu. Jawablah aku, ya TUHAN, jawablah aku, supaya umat ini tahu bahawa Engkau, ya TUHAN, sememangnya Allah, dan bahawa Engkaulah yang membuat hati mereka berbalik kembali.”
Maka turunlah api TUHAN melahap korban bakaran, kayu api, batu-batu, dan debu tanah, serta menjilat air yang ada di dalam parit itu.