1 RAJA-RAJA 12:28-33
1 RAJA-RAJA 12:28-33 Alkitab Berita Baik (BM)
Setelah lama berfikir, Raja Yerobeam membuat dua patung lembu jantan daripada emas lalu bertitah kepada rakyatnya, “Telah cukup lama kamu beribadat di Yerusalem. Sekarang, hai Israel, inilah tuhan-tuhan kamu yang telah membawa kamu keluar dari Mesir!” Raja Yerobeam menempatkan satu patung lembu emas di Betel dan satu lagi di Dan. Demikianlah rakyat berdosa kerana mereka bersembahyang di Betel dan di Dan. Yerobeam juga membina tempat-tempat sembahyang di atas bukit-bukit, dan memilih imam-imam yang bukan daripada suku Lewi. Raja Yerobeam juga memulakan satu perayaan agama pada hari kelima belas bulan kelapan, seperti perayaan di Yehuda. Di atas mazbah di Betel, baginda mempersembahkan korban kepada patung-patung lembu emas yang telah dibuatnya. Raja Yerobeam menempatkan imam-imam di Betel, iaitu para imam yang bertugas di tempat-tempat sembahyang yang telah dibinanya. Pada hari kelima belas bulan kelapan, hari yang ditentukannya sendiri, baginda pergi ke Betel untuk mempersembahkan korban di atas mazbah, bagi merayakan perayaan yang telah ditentukannya bagi umat Israel.
1 RAJA-RAJA 12:28-33 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Oleh sebab itu berundinglah raja, lalu dibuatnya dua ekor anak lembu daripada emas. Katanya kepada orang ramai, “Terlalu menyusahkan kamu untuk pergi ke Yerusalem. Inilah tuhan-tuhanmu, wahai Israel, yang telah menuntun kamu keluar dari Tanah Mesir.” Kemudian ditempatkannya yang satu di Betel, sedangkan yang lain di Dan. Maka hal ini menyebabkan rakyat berdosa, kerana mereka pergi sampai ke Dan untuk menyembah patung yang satu itu. Dia juga membuat kuil di bukit-bukit pemujaan dan mengangkat imam daripada kalangan rakyat yang bukan daripada bani Lewi. Yerobeam menetapkan suatu hari raya, iaitu pada hari kelima belas dalam bulan kelapan, sama seperti hari raya di Yehuda, dan dia sendiri naik ke mazbah. Demikianlah yang dilakukannya di Betel. Dia mempersembahkan korban kepada anak-anak lembu yang dibuatnya itu. Di Betel dia juga menugaskan para imam di bukit-bukit pemujaan yang dibuatnya. Dia naik ke mazbah yang dibuatnya di Betel itu pada hari kelima belas dalam bulan kelapan, iaitu bulan yang telah direka-rekanya sendiri. Demikianlah dia menetapkan suatu hari perayaan bagi umat Israel dan naik ke mazbah untuk membakar dupa.