1 Raja-Raja 12

12
Berkecainya kerajaan Israel
1Pergilah Rehabeam ke Sikhem, kerana semua orang Israel telah datang ke Sikhem untuk menobatkannya sebagai raja. 2Pada waktu itu Yerobeam anak Nebat masih berada di Mesir kerana sebelumnya dia melarikan diri dari Raja Salomo. Setelah Yerobeam mendengar khabar itu, kembalilah dia dari Mesir. 3Maka beberapa orang diutus untuk memanggil dia. Lalu Yerobeam dengan seluruh jemaah Israel menemui Rehabeam dan berkata demikian, 4“Ayah tuanku telah memberatkan tanggungan kami. Sekarang, mohon sudilah tuanku meringankan perhambaan yang keras daripada ayah tuanku itu serta tanggungan berat yang dipikulkannya atas kami, maka kami akan menjadi hamba tuanku.”
5Jawabnya kepada mereka, “Pulanglah dahulu sampai selang tiga hari, kemudian kembalilah menghadap aku.” Lalu pulanglah rakyat itu.
6Raja Rehabeam pun berunding dengan tua-tua yang dahulunya berkhidmat kepada Salomo, ayahnya, sewaktu Salomo masih hidup. Tanyanya, “Apakah nasihatmu untuk menjawab rakyat ini?”
7Jawab mereka kepadanya, “Jika pada hari ini tuanku mahu menjadi hamba bagi rakyat, mengabdi kepada mereka, dan menjawab mereka dengan kata-kata yang baik, maka mereka akan menjadi hamba tuanku sepanjang waktu.”
8Akan tetapi, dia mengabaikan nasihat yang diberikan kepadanya oleh tua-tua itu, lalu berunding dengan orang muda yang membesar bersama-samanya dan yang melayani dia. 9Tanyanya kepada mereka, “Apakah nasihatmu supaya kita dapat menjawab rakyat yang berkata kepadaku, ‘Ringankanlah tanggungan yang dipikulkan ayah tuanku atas kami’?”
10Orang muda yang membesar bersama-samanya itu menjawab, “Beginilah harus tuanku katakan kepada rakyat yang berkata kepada tuanku, ‘Ayah tuanku telah memberatkan tanggungan kami, tetapi mohon sudilah tuanku meringankannya bagi kami.’ Beginilah harus tuanku katakan kepada mereka, ‘Jari kelengkengku lebih besar daripada pinggang ayahku. 11Ayahku telah membebankan tanggungan yang berat kepadamu, tetapi aku akan menambah tanggunganmu. Ayahku telah mengajar kamu dengan cemeti, tetapi aku akan mengajar kamu dengan kala jengking.’ ”
12Kemudian datanglah Yerobeam dan seluruh rakyat menghadap Rehabeam pada hari ketiga, sebagaimana kata-kata raja, “Kembalilah menghadap aku dalam tiga hari.” 13Raja menjawab rakyat dengan kasar. Dia mengabaikan nasihat yang diberikan kepadanya oleh para tua-tua. 14Dia menjawab mereka menurut nasihat pemuda-pemuda itu, katanya, “Ayahku telah memberatkan tanggunganmu, tetapi aku akan menambah tanggunganmu. Ayahku telah mengajar kamu dengan cemeti, tetapi aku akan mengajar kamu dengan kala jengking.” 15Dengan demikian raja tidak mendengar permintaan rakyat. Perkara itu memang ditetapkan TUHAN, kerana Dia hendak melaksanakan firman yang disampaikan-Nya kepada Yerobeam anak Nebat dengan perantaraan Ahia, orang Silo itu.
16 # 2Sam 20:1. Setelah semua orang Israel melihat bahawa raja tidak mahu mendengar permintaan mereka, maka rakyat menjawab raja demikian,
“Bahagian apakah yang kita peroleh daripada Daud?
Kita tidak memperoleh harta pusaka daripada anak Isai itu!
Pulanglah ke khemahmu, wahai Israel!
Sekarang uruslah rumah tanggamu sendiri, wahai Daud!”
Maka pergilah orang Israel ke khemah mereka. 17Namun begitu, Rehabeam masih bertakhta atas orang Israel yang tinggal di kota-kota Yehuda.
18Kemudian Raja Rehabeam mengutus Adoram, yang mengetuai buruh paksa. Tetapi semua orang Israel melemparinya dengan batu hingga dia mati. Raja Rehabeam pun segera menaiki ratanya untuk melarikan diri ke Yerusalem. 19Demikianlah orang Israel memberontak terhadap keluarga Daud sampai hari ini.
20Ketika seluruh orang Israel mendengar bahawa Yerobeam sudah pulang, mereka mengutus orang untuk memanggil dia ke pertemuan umat, lalu mereka menobatkan dia sebagai raja atas semua orang Israel. Tidak ada yang mengikuti keluarga Daud selain suku Yehuda sahaja.
21Setelah Rehabeam sampai di Yerusalem, dia mengumpulkan kesemua keturunan kaum Yehuda dan suku Benyamin, seratus lapan puluh ribu orang pilihan yang siap tempur, untuk berperang melawan keturunan kaum Israel dan untuk mengembalikan kerajaan itu kepada Rehabeam anak Salomo. 22Tetapi datanglah firman Allah demikian kepada hamba Allah, Semaya: 23“Katakanlah kepada Rehabeam anak Salomo, raja Yehuda, serta kepada seluruh keturunan kaum Yehuda dan Benyamin, juga kepada rakyat yang selebihnya itu, 24‘Beginilah firman TUHAN: Jangan maju dan jangan berperang melawan saudara-saudaramu, orang Israel. Pulanglah masing-masing ke rumahnya, kerana hal ini berasal daripada-Ku.’ ” Mereka mendengar firman TUHAN lalu berangkat pulang, selaras dengan firman TUHAN.
Raja Yerobeam memulai ibadat baru
25Yerobeam membina Kota Sikhem di Pergunungan Efraim dan tinggal di sana. Setelah itu, dia bergerak dari sana, lalu membina Penuel. 26Kata Yerobeam dalam hatinya, “Sekarang, boleh jadi kerajaan ini akan kembali kepada keluarga Daud. 27Jika rakyat pergi mempersembahkan korban sembelihan di Bait TUHAN di Yerusalem, tentu hati rakyat akan berbalik kepada tuan mereka, iaitu Rehabeam, raja Yehuda. Mereka akan membunuh aku dan kembali kepada Rehabeam, raja Yehuda.”
28 # Kel 32:4. Oleh sebab itu berundinglah raja, lalu dibuatnya dua ekor anak lembu daripada emas. Katanya kepada orang ramai, “Terlalu menyusahkan kamu untuk pergi ke Yerusalem. Inilah tuhan-tuhanmu,#12:28 Atau: Dewa-dewamu. wahai Israel, yang telah menuntun kamu keluar dari Tanah Mesir.” 29Kemudian ditempatkannya yang satu di Betel, sedangkan yang lain di Dan. 30Maka hal ini menyebabkan rakyat berdosa, kerana mereka pergi sampai ke Dan untuk menyembah patung yang satu itu. 31Dia juga membuat kuil di bukit-bukit pemujaan dan mengangkat imam daripada kalangan rakyat yang bukan daripada bani Lewi.
32 # Im 23:33,34. Yerobeam menetapkan suatu hari raya, iaitu pada hari kelima belas dalam bulan kelapan, sama seperti hari raya di Yehuda, dan dia sendiri naik ke mazbah. Demikianlah yang dilakukannya di Betel. Dia mempersembahkan korban kepada anak-anak lembu yang dibuatnya itu. Di Betel dia juga menugaskan para imam di bukit-bukit pemujaan yang dibuatnya. 33Dia naik ke mazbah yang dibuatnya di Betel itu pada hari kelima belas dalam bulan kelapan, iaitu bulan yang telah direka-rekanya sendiri. Demikianlah dia menetapkan suatu hari perayaan bagi umat Israel dan naik ke mazbah untuk membakar dupa.

Terpilih Sekarang Ini:

1 Raja-Raja 12: AVB

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk