1 YOHANES 3:11-24

1 YOHANES 3:11-24 Alkitab Berita Baik (BM)

Inilah perkhabaran yang kamu dengar sejak permulaan: Kita harus saling mengasihi. Janganlah kita seperti Kain. Dia menjadi anak Iblis dan membunuh adiknya sendiri. Mengapakah Kain membunuh adiknya? Kerana perbuatan yang dilakukannya salah, tetapi perbuatan yang dilakukan adiknya benar. Oleh itu, saudara-saudaraku, janganlah hairan jika orang di dunia ini membenci kamu. Kita tahu bahawa kita hidup dan sudah meninggalkan kematian, kerana kita mengasihi saudara-saudara kita. Sesiapa yang tidak mengasihi saudaranya, masih dikuasai kematian. Sesiapa membenci saudaranya, dia pembunuh. Kamu tahu bahawa seorang pembunuh tidak mempunyai hidup sejati dan kekal. Dengan jalan ini kita mengetahui cara mengasihi orang lain: Kristus sudah menyerahkan hidup-Nya untuk kita. Oleh itu kita harus menyerahkan hidup kita untuk saudara-saudara kita! Jika seorang kaya melihat saudaranya yang miskin memerlukan pertolongan, tetapi tidak mahu menolong saudaranya itu, bagaimanakah dia dapat berkata bahawa dia mengasihi Allah? Anak-anakku! Janganlah kita mengasihi hanya dengan kata-kata belaka. Kita harus saling mengasihi dengan kasih yang sejati, yang dibuktikan dengan perbuatan. Demikianlah caranya kita tahu bahawa kita tergolong sebagai anak-anak Allah yang benar, dan hati kita tenang di hadapan Allah. Jika hati nurani kita menyalahkan kita, maka kita tahu bahawa Allah lebih besar daripada hati nurani kita, dan bahawa Dia mengetahui semuanya. Oleh itu, sahabat-sahabat yang aku kasihi, jika hati nurani kita tidak menyalahkan kita, kita dapat menghadap Allah dengan penuh keberanian. Kita menerima apa yang kita minta daripada-Nya, kerana kita taat kepada perintah-Nya dan kita melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya. Inilah perintah-Nya: Kita harus percaya kepada Anak-Nya, Yesus Kristus, dan kita harus saling mengasihi, seperti yang diperintahkan Kristus kepada kita. Sesiapa yang taat kepada perintah Allah, hidup bersatu dengan Allah, dan Allah hidup bersatu dengan dia. Kita tahu bahawa Allah hidup bersatu dengan kita, kerana Dia telah mengurniai kita Roh-Nya.

1 YOHANES 3:11-24 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Kŭrna inilah utusan yang tŭlah kamu dŭngar deripada mulanya, supaya kami patut bŭrkasih kasihan sa’orang dŭngan sa’orang. Bukannya spŭrti Kain, yang deripada sijahat itu, yang dibunohnya akan saudaranya. Mŭngapakah dibunohnya akan dia? sŭbab pŭrbuatannya sŭndiri jahat, dan pŭrbuatan saudaranya itu bŭnar adanya. Janganlah kamu hieran, saudara saudara, jikalau dibŭnchikan ulih dunia ini akan dikau. Bahwa kami tŭlah mŭngatahui kami sudah mŭlalui mati datang kapada hidop, sŭbab kami mŭngasihi akan saudara saudara. Adapun orang yang tiada mŭngasihi akan saudaranya itu, iyalah tinggal dalam maut. Maka barang siapa yang mŭmbŭnchi akan saudaranya, iya itulah sa’orang pŭmbunoh adanya: maka kamu tŭlah mŭngatahui adapun sa’orang pŭmbunoh itu tiada dalamnya slamat kŭkal itu. Maka dalam hal inilah tampaknya pada kami akan kasih itu, sŭbab iyalah tŭlah mŭnyŭrahkan nyawanya kŭrna kami: maka kami pun patutlah pula mŭnyŭrahkan jiwa kami kŭrna saudara saudara. Adapun barang siapa yang mŭmpunyai harta dunia ini, dilihatnya saudaranya itu kŭkorangan, dan ditutopkannya kasih hatinya akan dia, maka bagimanakah grangan kasih Allah itu bulih tinggal dalamnya? Anakku yang kŭchil kŭchil, janganlah kami mŭngasihi dŭngan pŭrkataan, mŭskipun dŭngan lidah, mŭlainkan dŭngan pŭrbuatan dan dŭngan sŭbŭnarnya. Maka dalam halnya inilah kami kŭtahui, bahwa kamilah deripada yang bŭnar adanya, sŭrta bulihlah tŭntukan hati kami dihadapannya. Maka jikalau hati kami mŭnyalahkan kami, bahwa Allah tŭrlebih bŭsar deripada hati hami, dan dikŭtahuinya sagala pŭrkara. Kŭkasih, jikalau hati kami tiada mŭnyalahkan kami, maka bahrulah ada pada kami brani hati bagie Allah. Maka barang yang kami pinta kapadanya, iya itu kami mŭndapat, sŭbab kami mŭmliharakan hukumnya, dan mŭmbuat barang yang disukainya bagie pŭmandangannya. Maka inilah hukumnya, supaya kami pŭrchaya akan nama anaknya, iya itu Isa Almasih, sŭrta bŭrkasih kasihan sa’orang dŭngan sa’orang, spŭrti yang dibrinya hukum pada kami. Maka barang siapa yang mŭmliharakan hukum hukumnya itu, iya itulah tinggal dalamnya, dan iya itupun dalamnya; maka dalam hal inilah kami kŭtahui, iya tinggal dalam kami, iya itu ulih Roh yang tŭlah dikurniakannya pada kami.

1 YOHANES 3:11-24 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kamu telah mendengar perkhabaran ini dari mulanya: Kita harus kasih-mengasihi. Janganlah kita bertindak seperti Kain yang asalnya daripada Iblis dan membunuh adiknya sendiri. Mengapakah dia membunuh adiknya? Semata-mata kerana perbuatannya salah sedangkan perbuatan adiknya benar. Oleh itu, saudara-saudaraku, janganlah hairan jika kamu dibenci oleh orang di dunia ini. Kita tahu bahawa kita terus hidup dan tidak akan binasa kerana kita mengasihi saudara-saudara kita. Sesiapa yang tidak mengasihi saudaranya akan tetap dikuasai oleh maut. Sesiapa yang benci akan saudaranya ialah pembunuh. Kamu tahu bahawa seorang pembunuh tidak mempunyai hidup yang kekal dalam dirinya. Dengan demikian kita tahu bagaimana cara mengasihi seseorang: Yesus Kristus telah menyerahkan nyawa-Nya untuk kita. Oleh itu kita harus menyerahkan nyawa kita untuk saudara-saudara kita. Jika seorang yang berharta melihat saudaranya yang miskin memerlukan bantuan tetapi tidak mahu menolongnya, bagaimanakah kasih Allah dapat hidup dalam dirinya? Anak-anakku, janganlah kasih kita di mulut sahaja. Kita hendaklah kasih-mengasihi melalui perbuatan dan kebenaran yang sejati. Dengan demikian kita tahu bahawa kita anak-anak Allah yang benar dan hati kita tetap damai di hadirat Allah sekiranya hati nurani kita menyalahkan kita. Sebabnya kita tahu bahawa Allah lebih besar daripada hati kita dan Allah Maha Mengetahui. Oleh yang demikian, saudara-saudara yang kukasihi, jika hati nurani kita tidak menyalahkan kita, kita dapat menghadap Allah dengan tetap hati. Kita menerima apa yang kita minta daripada-Nya kerana kita taat akan perintah-Nya dan melakukan apa yang diredai-Nya. Perintah-Nya adalah: kita harus percaya akan nama Anak-Nya, Yesus Kristus, dan kasih-mengasihi seperti suruhan Kristus. Sesiapa yang taat akan perintah-Nya tetap ada di dalam Allah dan Allah ada di dalamnya. Kita tahu bahawa Allah tetap ada di dalam kita kerana Dia telah mengurniakan Roh-Nya kepada kita.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami