1 YOHANES 2:3-11
1 YOHANES 2:3-11 Alkitab Berita Baik (BM)
Jika kita taat kepada perintah Allah, itulah tandanya kita mengenal Dia. Jika seseorang berkata, “Aku mengenal Allah,” tetapi tidak taat kepada perintah-Nya, orang seperti itu pendusta. Allah tidak ada di dalam hatinya. Tetapi sesiapa taat kepada firman-Nya, orang itu mengasihi Allah dengan sempurna. Itulah tandanya kita hidup bersatu dengan Allah. Sesiapa berkata bahawa dia hidup bersatu dengan Allah, orang itu harus hidup mengikut jejak Kristus. Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Perintah yang aku tulis ini bukanlah suatu perintah yang baru. Perintah ini perintah lama, yang telah kamu terima sejak kamu percaya kepada Kristus. Perintah lama ini berita daripada Allah yang sudah kamu dengar. Walaupun demikian, perintah yang aku tulis ini baru juga, kerana kebenarannya nyata pada diri Kristus dan juga pada diri kamu. Hal ini demikian kerana kegelapan hampir berlalu, dan cahaya yang sejati mula bersinar. Sesiapa berkata bahawa dia hidup dalam cahaya tetapi membenci saudaranya, orang itu masih hidup dalam kegelapan sehingga saat ini. Sesiapa yang mengasihi saudaranya, hidup dalam cahaya sehingga tiada suatu pun pada dirinya yang akan menyebabkan orang lain berdosa. Tetapi sesiapa membenci saudaranya, orang itu hidup dalam kegelapan. Dia berjalan dalam kegelapan, dan tidak tahu ke mana dia pergi, kerana kegelapan itu sudah membutakan dia.
1 YOHANES 2:3-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka dŭngan hal inilah kami mŭngatahui, bahwa kami mŭngŭnal akan dia, jikalau kami mŭmliharakan sagala hukumannya. Adapun orang yang bŭrkata, Bahwa aku mŭngŭnal akan dia, tŭtapi tiada dipliharakannya akan sagala hukumannya, maka iya itulah sa’orang pŭmbohong adanya, dan bŭnar itu tiada dalamnya. Tŭtapi barang siapa yang mŭmliharakan pŭrkataannya itu, maka dalamnya itulah sŭsungguhnya kasih Allah tŭlah disampornakan; maka dŭngan hal inilah kita mŭngatahui, bahwa kami ada dalamnya. Maka orang yang bŭrkata iya tinggal dalamnya, patutlah iya sŭndiripun mŭlakukan dŭmkian, spŭrti yang dilakukannya itu. Saudara saudara, bahwa bukannya aku mŭnyurat hukuman yang bahru bagiemu, mŭlainkan suatu hukuman lama yang tŭlah ada kapada kamu deripada pŭrmulaan. Adapun hukuman lama itu iya itulah juga pŭrkataan yang tŭlah kamu mŭnŭngar deri pada pŭrmulaan Dan lagi pula, aku mŭnyurat suatu hukuman bahru bagiemu, iya itu pŭrkara bŭnar dalam Almasih, dan dalam kamu pun; kŭrna glap itu tŭlah lalu, dan trang yang bŭnar itu bŭrchayalah skarang Maka orang yang bŭrkata iya ada dalam trang, sŭrta dibŭnchikannya akan saudaranya, maka iya itu ada dalam glap mŭskipun sampie skarang. Maka orang yang mŭngasihi akan saudaranya itu, iya itu ada tinggal dalam trang, dan barang sŭntoh pun tiada dalamnya. Akan tŭtapi orang yang mŭmbŭnchi akan saudaranya, maka iya itu dalam glap adanya, dan bŭrjalan dalam glap, dan tiada dikŭtahuinya kamanakah pŭrginya, kŭrna glap itu tŭlah mŭmbutakan matanya.
1 YOHANES 2:3-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Jika kita taat akan perintah Allah, benarlah kita mengenal-Nya. Sekiranya seseorang berkata, “Aku mengenal Allah,” tetapi tidak taat akan perintah-Nya, maka dia seorang pendusta dan kebenaran tidak ada dalam dirinya. Tetapi jika sesiapa taat akan firman Allah, maka sempurnalah kasih Allah di dalam orang itu. Dengan demikian kita ketahui kita ada di dalam Dia: Sesiapa berkata bahawa dia tetap di dalam Allah, hendaklah dia menurut jejak langkah Kristus. Sahabat-sahabat yang kukasihi, perintah yang kutulis ini bukanlah perintah baru. Perintah ini perintah lama, yang telah kamu terima dari mulanya. Perintah lama ini firman Allah yang telah kamu dengar. Namun demikian, perintah yang kutulis ini tetap baru: Kebenarannya ternyata pada diri Kristus dan dirimu. Ini disebabkan kegelapan hampir berlalu dan cahaya yang benar telah pun bersinar. Sesiapa yang berkata bahawa dia hidup dalam cahaya tetapi dia benci akan saudaranya, maka dia tetap berada dalam kegelapan hingga sekarang. Sesiapa yang kasih akan saudaranya hidup dalam cahaya dan dalam dirinya tidak ada sesuatu pun yang dapat membuatnya kecundang. Tetapi sesiapa yang benci akan saudaranya hidup dalam kegelapan. Dia melangkah dalam kegelapan dan tidak tahu ke mana hala tujunya, kerana kegelapan telah membutakannya.