1 KORINTUS 2:6-16
1 KORINTUS 2:6-16 Alkitab Berita Baik (BM)
Walaupun demikian, aku juga berkata-kata tentang kebijaksanaan kepada mereka yang mempunyai kehidupan rohani yang matang. Tetapi kebijaksanaan itu bukanlah kebijaksanaan dunia ini, ataupun kebijaksanaan roh-roh yang berkuasa dan yang memerintah dunia ini. Kekuasaan roh-roh itu akan lenyap. Kebijaksanaan yang aku sampaikan itu kebijaksanaan daripada Allah. Kebijaksanaan itu tidak diketahui oleh umat manusia, tetapi Allah sudah menyediakannya untuk kebahagiaan kita, sebelum Dia menjadikan dunia ini. Semua roh yang berkuasa dan yang memerintah dunia ini tidak mengetahui kebijaksanaan itu. Seandainya roh-roh itu mengetahuinya, tentu roh-roh itu tidak akan menyalibkan Tuhan yang mulia. Tetapi seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Apa yang belum pernah dilihat atau didengar, atau terlintas dalam fikiran manusia, itulah yang disediakan oleh Allah untuk orang yang mengasihi Dia.” Tetapi melalui Roh-Nya, Allah menyatakan rancangan-Nya kepada kita. Roh Allah menyelidiki segala sesuatu, bahkan rancangan Allah yang paling tersembunyi sekalipun. Sebagaimana roh seseorang mengetahui isi hati orang itu, begitu juga hanya Roh Allah mengetahui segala sesuatu tentang Allah. Kita tidak menerima roh dunia ini, tetapi kita menerima Roh Allah, supaya kita mengetahui semua yang telah dikurniakan Allah kepada kita. Oleh itu, ketika kami menjelaskan hal-hal tentang Allah kepada orang yang mempunyai Roh Allah, kami tidak berkata-kata menurut kebijaksanaan manusia, tetapi menurut ajaran Roh Allah. Sesiapa yang tidak mempunyai Roh Allah, tidak dapat menerima kurnia daripada Roh Allah, kerana orang seperti itu tidak dapat memahaminya dan menganggapnya suatu kebodohan sahaja. Kurnia daripada Roh Allah hanya dapat dinilai secara rohani. Sesiapa yang mempunyai Roh Allah dapat menilai segala sesuatu, tetapi tiada seorang pun dapat menilai orang itu. Di dalam Alkitab tertulis, “Siapakah yang mengetahui fikiran Tuhan? Siapakah yang dapat menasihati Dia?” Tetapi kita mempunyai fikiran Kristus!
1 KORINTUS 2:6-16 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Akan tŭtapi kita mŭngatakan hikmat diantara orang yang samporna: tŭtapi bukannya hikmat dunia ini, dan bukannya spŭrti hikmat pŭmrentah dunia ini, yang akan binasa. Tŭtapi kita mŭngatakan hikmat Allah yang dalam rahsia, mŭskipun hikmat yang tŭrsŭmbunyi, yang tŭlah ditŭntukan Allah tŭrdahulu deripada kajadian dunia, akan mŭnjadi kamulian bagie kami. Iya itu yang tiada dikŭtahui ulih barang pŭmrentah dunia ini: kŭrna jikalau kiranya dikŭtahui ulih marika itu akan dia, nŭschaya tiadalah jadi marika itu mŭnsalibkan Tuhan pohon kamulian itu. Tŭtapi adalah spŭrti yang tŭlah tŭrsurat, Bahwa bŭlom ada mata yang mŭlihat, atau tŭlinga yang mŭnŭngar, atau masok kŭdalam hati barang manusia, akan pŭrkara yang tŭlah disŭdiakan Allah bagie sagala orang yang mŭngasihi akan dia. Tŭtapi pŭrkara itu tŭlah dinyatakan Allah kapada kami dŭngan Rohnya: kŭrna Roh itu ada sŭlidekkan akan sagala sŭsuatu, bahkan, sagala pŭrkara Allah yang dalam dalam pun. Kŭrna siapakah bulih mŭngatahui sagala hal manusia, mŭlainkan arwah manusia yang didalamnya juga? dŭmkian lagi tiada bulih dikŭtahui ulih barang manusia akan sagala hal Allah, mŭlainkan Roh Allah juga. Maka skarang pun tiada kita mŭnŭrima arwah isi dunia ini, mŭlainkan roh yang deripada Allah; supaya kita bulih mŭngatahui sagala pŭrkara yang dikurniakan Allah kapada kita dŭngan kamurahannya. Maka pŭrkara pŭrkara itulah juga kita chŭrtrakan, bukannya dŭngan pŭrkataan yang diajar ulih hikmat manusia, mŭlainkan dŭngan pŭrkataan yang diajar ulih Roh Alkudus; bandingkan pŭrkara rohani itu dŭngan pŭrkara rohani. Tŭtapi tabiat manusia tiada mŭnŭrima sagala pŭrkara Roh Allah: kŭrna iya itu kabodohan padanya: atau tiada iya dapat mŭngarti akan dia, sŭbab iya itu pŭrtunjokkan Roh Alkudos. Tŭtapi orang yang digrakkan Roh Alkudos, iya itu mŭngirakan sagala pŭrkara, tŭtapi iya sŭndiri tiada dikirakan ulih manusia itu. Kŭrna siapatah yang tŭlah mŭngatahui akan fikiran Tuhan itu, supaya iyi mŭngajarkan dia? Tŭtapi kita ada mŭmpunyai fikiran Almasih.
1 KORINTUS 2:6-16 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Namun begitu, aku berkata juga tentang kebijaksanaan kepada mereka yang sudah matang kehidupan rohani. Kebijaksanaan itu bukanlah kebijaksanaan dunia, atau kebijaksanaan para pemerintah dunia ini, kerana kuasa mereka akan punah. Kebijaksanaan yang kusampaikan itu kebijaksanaan daripada Allah, di luar pengetahuan manusia, yang telah diwujudkan-Nya untuk kemuliaan kita sebelum Dia mencipta dunia ini. Para pemerintah dunia ini tidak mengetahui kebijaksanaan itu. Kalaulah mereka tahu, mereka tidak akan menyalib Tuhan Yang Mulia. Sebagaimana telah tersurat: “Apa yang belum pernah dilihat oleh mata, atau didengar oleh telinga, atau timbul dalam hati manusia, itulah yang disediakan Allah untuk mereka yang mengasihi-Nya.” Akan tetapi kepada kita, Allah menyatakannya melalui Roh-Nya, kerana Roh itu yang menyoroti segala-galanya, termasuk rahsia Allah yang paling dalam. Siapakah antara kita yang mengetahui apa yang terdapat dalam diri seseorang selain roh orang itu sendiri yang berada dalam dirinya? Begitulah juga tidak ada seorang pun yang mengetahui apa yang terdapat dalam diri Allah selain Roh Allah. Kita tidak menerima roh dunia ini. Kita menerima Roh daripada Allah agar mengetahui segala kurnia Allah kepada kita. Jadi, segala perkara ini kami sampaikan bukan dengan kata-kata daripada kebijaksanaan manusia tetapi daripada ajaran Roh yang menggabungkan fikiran rohani dengan kata-kata rohani. Orang jasmani yang tidak mempunyai Roh tidak dapat menerima hal-hal daripada Roh Allah, kerana dia menganggap hal-hal itu kebodohan semata-mata, dan dia tidak dapat memahaminya, disebabkan hal-hal itu hanya dapat dinilai secara rohani. Orang rohani menilai segala-galanya tetapi tiada siapa dapat menilai orang itu. Sebabnya: “Siapakah yang mengetahui fikiran Tuhan? Siapakah yang berupaya menasihati-Nya?” Namun demikian, kita mempunyai fikiran Kristus!