1 KORINTUS 15:35-53
1 KORINTUS 15:35-53 Alkitab Berita Baik (BM)
Mungkin orang bertanya, “Bagaimanakah orang mati dihidupkan semula? Tubuh apakah yang akan dimiliki mereka?” Kamu sungguh bodoh! Apabila kamu menanam benih di tanah, benih itu tidak akan tumbuh kecuali benih itu mati dahulu. Yang kamu tanam di tanah itu benih semata-mata - mungkin benih gandum ataupun benih lain - bukan seluruh pokok yang akan tumbuh kelak. Allah memberikan benih itu bentuk seperti yang dikehendaki-Nya sendiri. Setiap benih diberikan bentuk yang sendiri-sendiri. Tubuh makhluk hidup tidak semuanya sama; tubuh manusia, haiwan, burung, dan ikan semuanya berbeza. Demikian juga dengan benda-benda yang di langit dan benda-benda yang di bumi. Keindahan benda-benda yang di langit berbeza dengan keindahan benda-benda yang di bumi. Keindahan matahari lain daripada keindahan bulan. Bintang-bintang pun mempunyai keindahannya sendiri. Sebenarnya bintang-bintang pun mempunyai keindahan yang berlainan. Demikianlah halnya kelak dengan orang mati yang dihidupkan semula. Pada masa tubuh itu dikuburkan, tubuh itu fana; pada masa tubuh itu dibangkitkan, tubuh itu hidup selama-lamanya. Pada masa tubuh itu dikuburkan, keadaannya buruk dan lemah; pada waktu tubuh itu dibangkitkan, tubuh itu cantik dan kuat. Pada masa dikuburkan, tubuh itu tubuh jasmani; pada masa dibangkitkan, tubuh itu tubuh rohani. Jika ada tubuh jasmani, maka ada tubuh rohani juga. Di dalam Alkitab tertulis, “Adam, manusia pertama itu diciptakan sebagai makhluk hidup,” tetapi Adam yang terakhir itu Roh yang memberikan hidup. Yang jasmani datang lebih dahulu, kemudian datanglah yang rohani. Adam yang pertama dijadikan daripada tanah di bumi, tetapi Adam yang kedua berasal dari syurga. Orang yang tergolong orang dunia adalah seperti Adam yang dijadikan daripada tanah. Tetapi orang yang tergolong orang syurga adalah seperti Dia yang datang dari syurga. Sebagaimana kita sekarang seperti orang yang dijadikan daripada tanah, maka kelak kita akan menjadi seperti Dia yang dari syurga itu. Saudara-saudaraku, inilah maksudku: Tubuh yang dijadikan daripada daging dan darah, tidak dapat masuk ke Dunia Baru Allah; tubuh yang fana tidak dapat menjadi abadi. Ketahuilah rahsia ini: Tidak semua daripada kita akan mati. Tetapi ketika trompet dibunyikan untuk kali terakhir, dengan tiba-tiba dan dalam sekejap mata kita semua akan diubah. Hal itu berlaku, kerana ketika trompet dibunyikan, orang mati akan dibangkitkan dengan tubuh yang abadi, dan kita semua akan diubah. Tubuh yang fana harus diganti dengan tubuh yang abadi. Tubuh yang akan mati harus diganti dengan tubuh yang tidak dapat mati.
1 KORINTUS 15:35-53 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Tŭtapi ada juga orang yang kŭlak bŭrkata, Bagimanakah halnya orang mati itu akan dibangkitkan, dan dŭngan tuboh yang manakah marika itu akan kluar? Hie orang yang bodoh, barang pŭrkara yang angkau tanam itu tiada akan dihidopkan, mŭlainkan sŭbŭlom iya mati. Maka yang angkau tanam itu, bukannya angkau mŭnanam ka’adaan yang akan bŭrbangkit itu, mŭlainkan sŭmata mata biji bijian juga, spŭrti kiranya biji gandam atau biji yang lain lain. Tŭtapi dibri Allah padanya satu ka’adaan spŭrti yang dikahandakinya, dan masing masing biji bijian itu dŭngan ka’adaannya sŭndiri. Maka sŭmua daging itu tiada bŭrsamaan adanya; tŭtapi lain daging manusia, dan lain daging binatang, dan lain daging ikan, dan lain daging burong burong. Dan ada bŭbrapa ka’adaan langit, dan bŭbrapa ka’adaan bumi, tŭtapi kamuliaan ka’adaan langit itu satu, dan kamuliaan ka’adaan bumi itu satu adanya. Maka adalah iya itu suatu kamuliaan matahari, dan suatu kamuliaan yang lain, iya itu bulan, dan lain kamuliaan bintang bintang, kŭrna kamulian sa’buah bintang itu bŭrlainan deripada bintang yang lain. Maka dŭmkianlah juga adanya deri hal kŭbangkitan orang mati itu; adapun iya itu ditanamkan dŭngan kabusokkan, maka dibangkitkan itu dŭngan tiada busok. Ditanam dŭngan kahinaan, dan dibangkitkan dŭngan kamuliaan; ditanamkan dŭngan kalŭmahan, dan dibangkitkan dŭngan kwasa. Ditanam dŭngan ka’adaan bŭrnafas, dan dibangkitkan dŭngan ka’adaan rohani; maka adalah yang ka’adaan bŭrnafas, dan ada yang ka’adaan rohani. Kŭrna dŭmkianlah tŭlah tŭrsurat, Adapun manusia yang pŭrtama Adam itu tŭlah dijadikan dŭngan nyawa yang hidop, maka Adam yang akhir itu tŭlah jadi dŭngan roh yang mŭnghidopkan. Tŭtapi yang pŭrtama itu bukannya rohani, mŭlainkan bŭrnafas; dan kumdian deri pada itu, iya itulah rohani adanya. Adapun manusia yang pŭrtama itu deripada tanah, maka tanahlah adanya; tŭtapi manusia yang kadua itu Tuhan deri shorga. Maka spŭrti yang deri pada tanah itu, dŭmkian pula sagala yang deripada tanah itu; maka spŭrti yang deri pada shorga itu, dŭmkian pula sagala yang deripada shorga adanya. Maka spŭrti kami sudah dijadikan srupa dŭngan yang deripada tanah itu, dŭmkian pula kami akan dijadikan srupa dŭngan yang deripada shorga itu. Maka skarang inilah pŭrkataanku saudara saudara, adapun daging dan darah itu tiada kŭlak mŭmpusakai krajaan Allah, atau kabusokkan itu pun kŭlak tiada mŭmpusakai yang tiada busok. Tengoklah, aku mŭnunjokkan pada kamu suatu rahsia, maka tiada kamu skalian ini kŭlak akan bŭradu, mŭlainkan kami skalian akan diubahkan adanya. Dŭngan sŭsaat juga, dŭngan sŭkŭjap mata juga, pada sangkakala yang akhir, kŭrna sangkakala itu akan bŭrbunyi, maka orang mati akan dibangkitkan dŭngan tiada kabusokkan, dan kami pun akan diubahkan. Kŭrna kabusokkan ini dapat tiada akan mŭmakie kŭlak yang tiada busok itu, dan kŭmatian ini akan mŭmakie kŭlak yang tiada mati.
1 KORINTUS 15:35-53 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Mungkin ada yang menyoal, “Bagaimana caranya orang mati dibangkitkan? Dengan tubuh yang bagaimanakah mereka akan hidup?” Hai orang yang tidak berakal, sesuatu yang kamu semaikan tidak mungkin tumbuh jika tidak mati terlebih dahulu. Tambahan pula, yang kamu semaikan bukanlah seluruh tubuh tanaman, tetapi bijinya sahaja, contohnya biji gandum atau biji-bijiran lain. Tetapi kemudian Allah memberikan biji itu suatu tubuh, menurut kehendak-Nya. Setiap biji mempunyai tubuhnya yang tersendiri. Semua yang bernyawa tidak serupa. Rupa manusia berbeza dengan rupa binatang, rupa burung berlainan dengan rupa ikan. Ada benda di langit dan ada benda di bumi. Kemuliaan benda di langit berbeza dengan kemuliaan benda di bumi. Kemuliaan matahari berbeza dengan kemuliaan bulan, dan berlainan pula dengan kemuliaan bintang-bintang; manakala kemuliaan bintang-bintang berbeza antara satu sama lain. Demikianlah dengan kebangkitan orang mati: Tubuh disemaikan dalam kebinasaan, dan dibangkitkan dalam ketidakbinasaan; disemaikan dalam kehinaan, dibangkitkan dalam kemuliaan; disemaikan dalam kelemahan, dibangkitkan dalam kekuatan; disemaikan dalam tubuh jasmani, dibangkitkan dalam tubuh rohani. Jika ada tubuh jasmani, maka adalah juga tubuh rohani. Sebagaimana telah tersurat, “Adam, manusia yang pertama, menjadi makhluk yang hidup,” manakala Adam yang terakhir menjadi roh yang menghidupkan. Yang pertama bukan rohani tetapi jasmani, dan yang kemudian adalah yang rohani; kerana manusia yang pertama berasal daripada debu bumi, tetapi manusia yang kedua berasal daripada syurga. Seperti manusia yang berasal daripada debu bumi itu, begitulah semua orang yang berasal daripada debu bumi. Dan seperti manusia daripada syurga itu, begitulah semua orang yang syurgawi. Sebagaimana kita telah memakai rupa yang berasal daripada debu bumi itu, kita akan memakai rupa manusia yang berasal daripada syurga. Saudara-saudaraku, aku ingin mengatakan kepadamu, daging dan darah tidak akan mendapat tempat dalam kerajaan Allah, dan sesuatu yang boleh binasa tidak akan mendapat tempat dalam ketidakbinasaan. Dengarlah, aku memberitahumu suatu rahsia: Tidak kita semua akan mati, tetapi semua akan diubah serta-merta, dalam sekelip mata, ketika berbunyinya sangkakala yang terakhir. Pada saat itu orang mati akan dibangkitkan dalam ketidakbinasaan, dan kita yang masih hidup akan diubah, kerana yang boleh binasa ini mesti mengenakan bentuk yang tidak boleh binasa, dan yang boleh mati ini mesti mengenakan bentuk yang tidak boleh mati.