1 KORINTUS 14:1-25

1 KORINTUS 14:1-25 Alkitab Berita Baik (BM)

Oleh itu, kamu harus berusaha untuk mengasihi orang lain. Berusahalah juga untuk menerima kurnia-kurnia daripada Roh Allah, terutama sekali kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Orang yang bercakap dalam bahasa yang ajaib, tidak bercakap dengan manusia, tetapi mereka bercakap dengan Allah. Tidak seorang pun dapat memahami apa yang dikatakan oleh mereka, kerana Roh Allah menyebabkan mereka berkata-kata tentang hal-hal yang hanya diketahui oleh Allah. Tetapi orang yang menyampaikan perkhabaran daripada Allah, berkata-kata kepada manusia. Dengan demikian mereka menguatkan, menggalakkan dan menghibur orang lain. Orang yang bercakap dalam bahasa yang ajaib hanya menguatkan diri sendiri, sedangkan orang yang menyampaikan perkhabaran daripada Allah meneguhkan jemaah. Alangkah baiknya jika kamu semua dapat bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib. Tetapi lebih baik lagi jika kamu semua dapat menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Orang yang dapat mengkhabarkan berita daripada Allah, lebih berguna daripada orang yang bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib, kecuali ada antara jemaah yang dapat menjelaskannya supaya jemaah dapat dikuatkan. Saudara-saudaraku, seandainya aku datang kepada kamu dan berkata-kata dalam bahasa-bahasa yang ajaib, apakah faedahnya bagi kamu? Tentu tidak ada faedahnya sama sekali! Lain halnya jika aku menyampaikan suatu kenyataan daripada Allah, atau menjelaskan sesuatu tentang Allah, atau menyampaikan berita daripada Allah, ataupun mengajar. Marilah kita ambil contoh alat-alat muzik yang tidak bernyawa, seperti seruling dan kecapi. Jika not-notnya tidak dimainkan dengan jelas, bagaimanakah orang dapat mengetahui lagu yang dimainkan? Jika trompet ditiup dengan tidak menentu, siapakah yang akan bersiap untuk berperang? Demikian juga, siapakah yang akan memahami apa yang kamu katakan, jika perkhabaran yang kamu sampaikan dalam bahasa yang ajaib itu tidak jelas? Kata-kata kamu itu sia-sia. Banyak bahasa di dunia ini, tetapi semuanya bermakna. Jika aku tidak memahami bahasa yang digunakan seseorang, maka orang itu menjadi seperti orang asing kepadaku; begitu juga aku kepada dia. Aku tahu bahawa kamu ingin sekali menerima kurnia-kurnia daripada Roh Allah. Tetapi yang terutama, kamu harus berusaha untuk menggunakan kurnia-kurnia yang dapat meneguhkan jemaah. Seseorang yang bercakap dalam bahasa yang ajaib, harus berdoa supaya Allah juga menganugerahi dia kurnia untuk menerangkan apa yang dikatakannya itu. Jika aku berdoa dalam bahasa yang ajaib, rohku memang berdoa, tetapi fikiranku tidak terlibat. Jika demikian, apakah yang harus aku lakukan? Aku akan berdoa dengan rohku, tetapi aku akan berdoa dengan fikiranku juga. Aku akan menyanyi dengan rohku, tetapi aku akan menyanyi dengan fikiranku juga. Jika kamu mengucap syukur kepada Allah dengan rohmu sahaja, orang lain dalam pertemuan itu tidak dapat berkata ‘Amin’ atau ‘Aku bersetuju’, apabila kamu selesai berdoa. Dia tidak memahami apa yang kamu katakan. Meskipun doa kesyukuranmu itu baik, tetapi kamu tidak meneguhkan orang lain. Aku bersyukur kepada Allah kerana aku lebih sering bercakap dalam pelbagai bahasa yang ajaib daripada kamu semua. Tetapi ketika jemaah berkumpul untuk beribadat, aku lebih suka menggunakan lima patah kata yang dapat difahami orang daripada menggunakan beribu-ribu patah kata dalam bahasa yang ajaib. Dengan demikian aku dapat mengajar orang lain dengan jelas. Saudara-saudaraku, janganlah berfikir seperti kanak-kanak. Kamu haruslah seperti kanak-kanak yang tidak mengetahui apa-apa tentang kejahatan, tetapi kamu harus matang dalam pemikiran kamu. Di dalam Alkitab tertulis, “Tuhan berfirman, ‘Melalui orang yang berkata-kata dalam bahasa yang ajaib, Aku akan berfirman kepada umat-Ku. Bahkan melalui orang asing, Aku akan berfirman kepada umat-Ku, namun demikian umat-Ku tidak mahu mendengar firman-Ku.’ ” Oleh itu, kurnia untuk bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib adalah tanda untuk orang yang tidak percaya kepada Kristus, dan bukan untuk orang yang percaya kepada Kristus. Tetapi kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah adalah tanda untuk orang yang percaya kepada Kristus, bukan untuk orang yang tidak percaya kepada-Nya. Andaikata jemaah berkumpul lalu semua orang mula bercakap dalam bahasa-bahasa yang ajaib, dan andaikata beberapa orang luar atau orang bukan Kristian datang, tentu mereka akan menyangka kamu semua gila. Tetapi jika kamu semua menyampaikan perkhabaran daripada Allah, lalu datanglah orang bukan Kristian atau orang luar, orang itu akan mendengar apa yang kamu katakan dan menyedari dosa-dosanya. Dia akan disalahkan oleh apa yang didengarnya. Semua hal yang tersembunyi di dalam hatinya akan terdedah. Lalu dia akan merendahkan diri dan menyembah Allah serta mengaku, “Allah benar-benar hadir di kalangan kamu!”

1 KORINTUS 14:1-25 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

TUNTUTLAH akan pŭngasihan itu, dan inginkanlah akan sagala anugrah Roh Alkudus itu, tŭtapi lebih baik kamu bulih dapat mŭngajarkan. Kŭrna barang sa’orang yang bŭrtutor dŭngan bahsa yang tiada dikŭtahui itu, maka iya bŭrtutor bukannya kapada manusia, mŭlainkan kapada Allah: kŭrna sa’orang pun tiada mŭngarti akan dia; tŭtapi dŭngan ilham roh adalah iya mŭnutor sagala rahsia. Tŭtapi orang yang mŭngajar itu, iya itu bŭrtutor kapada manusia, akan mŭnjadikan fiedah, dan pŭnŭgoran, dan pŭnghiburan. Adapun orang yang bŭrtutor dŭngan bahsa yang tiada dikŭtahui, maka iya itu mŭndatangkan fiedah bagie dirinya sahja; tŭtapi orang yang mŭngajar itu, maka iya itu mŭndatangkan fiedah kapada sidang jŭmaah. Maka kukahandaki skalian kamu bŭrtutor dŭngan bŭrbagie bagie bahsa, akan tŭtapi lebih baik kamu mŭngajar: kŭrna tŭrlebihlah bŭsar orang yang mŭngajar itu deripada orang yang bŭrtutor dŭngan bŭrbagie bagie bahsa, mŭlainkan jikalau ditŭrjŭmahkannya itu, supaya sidang jŭmaah itu bŭrulih fiedah. Maka skarang pun saudara saudaraku, jikalau kiranya aku datang kapada kamu dŭngan mŭnutor bŭrbagie bagie bahsa, maka apakah fiedahnya yang kamu bŭrulih deripada aku, mŭlainkan kalau aku bŭrtutor kŭlak padamu dŭngan kanyataan, atau dŭngan pŭngatahuan, atau dŭngan ibarat, atau dŭngan pŭngajaran? Maka maski pun bŭndah bŭndah yang tiada bŭrnyawa itu bŭrbunyi, baik bangsi atau kŭchapi, kŭchuali iya bŭrbunyi dŭngan tŭntunya, bagimanakah garangan dapat dikŭtahui yang mana ragam bangsi, dan yang mana ragam kŭchapi? Kŭrna jikalau srunie itu bŭrbunyi tiada kŭtahuan, siapakah akan bŭrsiapkan dirinya kapada prang? Maka dŭmkianlah adanya kamu ini pun, kŭchuali jikalau kamu tiada bŭrbunyi pŭrkataan yang sŭnang bulih mŭngarti, bagimanakah bulih dapat dikatahui barang yang dikatakan? kŭrna adalah kamu ini spŭrti orang yang bŭrtutor kapada angin juga. Maka adalah barang kali juga kabanyakkan jŭnis bunyi suara dalam dunia, tŭtapi barang suatu jua pun tiada yang korang bŭrarti. Maka sŭbab itu jikalau kiranya tiada aku mŭngatahui artinya bahsa itu, nŭschaya adalah aku sa’orang dagang bagie orang yang bŭrtutor itu, dan lagi orang yang bŭrtutor itupun sa’orang dagang juga bagieku. Maka dŭmkian lagi kamu pun, tŭtkala kamu mŭngusahakan dirimu handak bŭrulih anugrah Roh Alkudus, maka handaklah kamu mŭnchari supaya kamu mŭnambah nambahi akan mŭndatangkan kŭbajikan kapada sidang jŭmaah. Maka sŭbab itu biarlah orang yang bŭrtutor dŭngan bahsa yang tiada dikŭtahui itu, minta doa supaya bulih iya mŭntŭrjŭmahkan bahsa itu. Kŭrna jikalau aku minta doa dŭngan bahsa yang tiada dikŭtahui itu, maka iya itu rohkulah bŭrdoa, tŭtapi pŭngatahuanku tiadalah bŭrguna. Maka apatah kŭlak jadinya? Bahwa aku handak mŭminta doa dŭngan rohku, dan lagi aku handak mŭminta doa dŭngan pŭngatahuanku pun: maka aku handak mŭnyanyi dŭngan rohku, dan lagi aku handak mŭnyanyi dŭngan pŭngatahuanku pun Maka jikalau ta’bŭgitu, apabila angkau mŭnguchap shukor dŭngan roh, maka orang yang dudok ditŭmpat orang jahil, bagimanakah iya bulih mŭngatakan Amin atas shukormu itu, tampaknya iya tiada mŭngarti apa pŭrkataanmu itu? Kŭrna angkau sŭsungguhnya mŭnguchap shukor dŭngan spatutnya, tŭtapi tiada didapati ulih orang lain akan fiedahnya. Adapun aku mŭnguchap shukorlah kapada Allahku, sŭbab aku tahu bŭrtutor dŭngan bŭrbagie bagie bahsa lebih deripada kamu skalian. Akan tŭtapi tŭrlebih baik aku bŭrtutor dalam sidang jŭmaah itu lima patah pŭrkataan dŭngan pŭngartianku, supaya dapat kuajarkan orang lain lain pun, deripada sa’laksa pŭrkataan dŭngan bahsa yang tiada dikŭtahui. Saudara saudaraku, dalam akal janganlah mŭnjadi kanak kanak: tŭtapi dalam dŭngki jadilah kamu kanak kanak, tŭtapi dalam akal jadilah orang. Maka dalam kitab Allah ada tŭrsurat fŭrman Tuhan, Bahwa dŭngan bŭrbagie bagie bahsa yang lain, dan dŭngan biber mulot yang lain aku akan bŭrtutor kapada kamu ini; akan tŭtapi dalam hal skalian itu tiada marika itu akan mŭnŭngar pŭrkataanku. Maka sŭbab itu bŭrbagie bagie bahsa itulah mŭnjadi tanda, bukannya bagie orang yang pŭrchaya, mŭlainkan bagie orang yang tiada pŭrchaya: tŭtapi pŭngajaran itu bukannya bagie orang yang tiada pŭrchaya, mŭlainkan bagie orang yang pŭrchaya. Maka jikalau kiranya sagala sidang jŭmaah itu bŭrhimpon dalam suatu tŭmpat, lalu skaliannya bŭrtutor dŭngan bŭrbagie bagie bahsa, maka orang yang tiada pŭlajaran, atau yang tiada pŭrchaya itu masok, bahwa bukankah marika itu kŭlak bŭrkata kamu ini gila? Tŭtapi jikalau sŭmuanya mŭngajar, dan sa’orang yang tiada pŭrchaya, atau orang yang tiada pŭlajaran masok, maka iya akan ditŭmplak ulih skaliannya, dan dihŭrdekkan ulih skaliannya: Dŭmkian itu sagala rahsia hatinya jadi nyata: kumdian iya jatoh tŭrsungkor sujud kapada Allah, sambil mŭnchŭrtrakan bahwa Allah itu ada dalammu dŭngan sŭbŭnarnya.

1 KORINTUS 14:1-25 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Usahakanlah memperoleh kasih dan cubalah sungguh-sungguh untuk mendapatkan kurnia-kurnia rohani, terutamanya kurnia untuk bernubuat. Apabila seseorang bertutur dalam lidah, dia bukanlah bercakap kepada sesama manusia tetapi kepada Allah; dia bertutur tentang hal-hal rahsia dengan Roh. Sebaliknya, apabila seseorang bernubuat, dia bercakap kepada sesama manusia dengan kata-kata yang membina, menasihati dan menghibur. Orang yang bertutur dalam lidah membina diri sendiri, manakala orang yang bernubuat membina jemaah. Aku suka jika kamu bertutur dalam lidah, tetapi aku lebih suka jika kamu bernubuat; kerana orang yang bernubuat lebih membawa manfaat daripada orang yang bertutur dalam lidah, kecuali jika dia mentafsirkan apa yang dituturkannya itu untuk membina jemaah. Saudara-saudaraku, bermanfaatkah bagimu sekiranya aku datang bertutur kepadamu dalam lidah? Tidakkah lebih bermanfaat jika aku bertutur dalam bahasa yang kamu fahami, baik dalam penyampaian wahyu, ilmu pengetahuan, nubuat mahupun pengajaran? Samalah dengan benda-benda tidak bernyawa yang mengeluarkan bunyi; seperti seruling atau kecapi, jika bunyinya tidak terang, bagaimana orang dapat mengetahui lagu apa yang dimainkan? Sekiranya nafiri mengeluarkan bunyi yang tidak menentu, siapa yang akan bersiap untuk berperang? Demikianlah juga, jika kamu tidak bertutur dengan bahasa yang jelas, bagaimanakah orang dapat mengetahui apa yang kamu katakan? Kamu seolah-olah bercakap kepada angin. Bahasa dunia entah berapa banyaknya, tetapi tiada satu pun yang tidak bererti. Namun demikian, jika aku tidak mengetahui erti sesuatu bahasa, maka aku menjadi orang asing bagi penuturnya dan penutur itu orang asing bagiku. Begitu jugalah kamu. Dalam berusaha untuk mendapat kurnia-kurnia rohani, berusahalah untuk memperoleh yang utama, iaitu yang dapat membina jemaah. Oleh itu, seseorang yang bertutur dalam lidah harus berdoa agar dia dapat mentafsirkannya juga. Kalaulah aku berdoa dalam lidah, maka hanya rohku yang berdoa, sedangkan akalku tidak menghasilkan apa-apa. Oleh itu, apa yang harus kulakukan? Aku akan berdoa dengan rohku dan akalku juga. Aku akan menyanyi dengan rohku dan akalku juga. Sekiranya kamu mengucap syukur hanya dengan rohmu, bagaimana orang yang tidak memahami dapat mengaminkan ucap syukurmu? Mereka tidak tahu apa yang kamu ucapkan! Oleh itu, walaupun ucap syukurmu itu baik, orang lain tidak dapat dibina. Aku mengucap syukur kepada Allah kerana aku dapat bertutur dalam lidah, lebih daripada kamu semua. Tetapi dalam perhimpunan jemaah, aku lebih suka mengucapkan lima patah kata dari akalku daripada sepuluh ribu patah dalam lidah; dengan demikian aku dapat menyampaikan pengajaran kepada orang lain. Saudara-saudaraku! Janganlah kamu menjadi kanak-kanak dalam akal fikiranmu. Berhubungan hal kejahatan, memang kamu harus menjadi kanak-kanak, tetapi akal fikiranmu hendaklah matang. Dalam Kitab Taurat telah tersurat: “Dengan bahasa-bahasa asing dan dari mulut orang asing Aku akan bersuara kepada bangsa ini; Namun demikian, mereka tidak akan mendengar-Ku,” Tuhan berfirman. Oleh itu, bertutur dalam lidah adalah tanda, bukan bagi orang yang percaya, tetapi bagi orang yang tidak percaya; manakala nubuat adalah tanda, bukan bagi orang yang tidak percaya, tetapi bagi orang yang percaya. Sekiranya seluruh jemaah berhimpun di suatu tempat dan semuanya bertutur dalam lidah, lantas masuk orang yang tidak tahu atau orang yang tidak percaya, tidakkah mereka menyangka kamu semua gila? Tetapi jika semuanya bernubuat, lalu masuk seorang yang tidak tahu atau yang tidak percaya, dia akan berasa diyakinkan dan dihakimi oleh segala yang didengarinya. Dengan demikian, segala rahsia hatinya akan ternyata, lalu dia sujud menyembah Allah serta mengakui bahawa Allah sesungguhnya ada bersamamu.