1 KORINTUS 12:4-14
1 KORINTUS 12:4-14 Alkitab Berita Baik (BM)
Ada berbagai-bagai kurnia daripada Roh Allah, tetapi semuanya diberikan oleh Roh yang sama. Begitu juga ada berbagai-bagai cara untuk mengabdikan diri kepada Tuhan, tetapi kita mengabdi kepada Tuhan yang sama. Ada berbagai-bagai cara untuk melakukan kerja bagi Tuhan, tetapi Allah yang sama memberikan kebolehan kepada setiap orang untuk melakukan kerja masing-masing. Bagi kebaikan kita semua, Allah memberikan bukti bahawa Roh-Nya ada pada setiap orang. Ada orang yang dapat menyampaikan perkhabaran yang penuh dengan kebijaksanaan. Ada orang lain yang dapat menyampaikan pengetahuan tentang Allah. Tetapi kebolehan-kebolehan itu diberikan oleh Roh yang sama. Kepada yang lain, Roh yang sama mengurniakan kepercayaan yang luar biasa kepada Kristus, sedangkan kepada yang lain pula Roh Allah mengurniakan kuasa untuk menyembuhkan orang sakit. Kepada yang lain, Roh Allah mengurniakan kuasa untuk melakukan mukjizat, dan kepada yang lain pula, Roh itu memberikan kurnia untuk menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Kepada yang lain pula, Roh Allah mengurniakan kebolehan untuk membeza-bezakan kurnia yang daripada Roh Allah dan yang bukan daripada Roh Allah. Ada pula yang dapat bertutur dalam pelbagai bahasa yang ajaib, dan ada juga yang dapat menerangkan erti bahasa-bahasa itu. Tetapi semuanya dilakukan oleh Roh yang sama juga. Dia memberi setiap orang kurnia yang berlainan menurut kehendak-Nya sendiri. Kristus bagaikan tubuh manusia, yang mempunyai banyak anggota. Tubuh itu satu tetapi terdiri daripada banyak anggota. Demikian juga kita semua, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi, baik hamba mahupun orang bebas; kita semua sudah dibaptis oleh Roh yang sama, supaya kita menjadi satu tubuh. Allah sudah mencurahkan Roh yang sama itu kepada kita. Aku berkata demikian kerana tubuh tidak terdiri daripada satu anggota sahaja, melainkan banyak anggotanya.
1 KORINTUS 12:4-14 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Maka skarang pun adalah bŭrjŭnis jŭnis anugrah, tŭtapi deripada suatu Roh juga. Dan adalah bŭrjŭnis jŭnis jawatan, tŭtapi satu Tuhan juga adanya. Dan adalah bŭrjŭnis jŭnis pŭkŭrjaan, tŭtapi Allah suatu juga yang mŭnjalankan sagala pŭrkara itu dalam sŭmŭsta skalian. Tŭtapi kŭnyataannya Roh itu dikurniakan kapada masing masing orang, supaya mŭndatangkan fiedah kapada skalian. Kŭrna pada sa’orang dikurniakan ulih Roh pŭrkataan hikmat, dan pada yang lain pŭrkataan pŭngŭtahuan, ulih Roh itu juga. Dan pada sa’orang iman, ulih Roh itu juga; dan pada yang lain bŭbrapa kwasa mŭnyŭmbohkan, ulih Roh itu juga: Dan pada sa’orang bŭbrapa pŭkŭrjaan ajaib, dan pada yang lain nabuat; dan pada sa’orang pŭrtunjokkan rahsia roh; dan pada yang lain bŭrjŭnis jŭnis bahsa; pada sa’orang mŭntŭrjŭmahkan bahsa bahsa Tŭtapi sŭmua pŭrkara ini diadakan ulih suatu Roh itu juga, mŭmbahgikan pada masing masing sŭkŭdar kahandaknya. Kŭrna spŭrti tuboh itu suatu, dan anggotanya ada banyak, maka skalian anggota tuboh yang suatu itu sungguh pun banyak adanya, suatu juga tubohnya; maka dŭmkianlah juga Almasih. Kŭrna kami skalian sudah dibaptisakan ulih suatu Roh juga dijadikannya suatu tuboh; baik orang Yahudi, baik orang Grika, baik abdi, baik mŭrdehka, dan skalian sudah dibri minum suatu roh juga. Kŭrna tuboh itu bukannya satu anggota sahja, mŭlainkan banyak.
1 KORINTUS 12:4-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Terdapat berbagai-bagai kurnia, tetapi semuanya berpunca daripada satu Roh. Ada berbagai-bagai pelayanan, tetapi hanya satu Tuhan. Ada berbagai-bagai kerja, tetapi Allah yang esa mengerjakan semuanya. Tetapi Roh Kudus memberi seseorang kurnia tertentu untuk kebaikan semua. Ada yang diberi kurnia oleh Roh Kudus untuk berbicara dengan penuh hikmah, dan ada pula yang dikurniai Roh Kudus untuk berbicara tentang pengetahuan. Ada juga yang dikurniai dengan keteguhan iman, ada yang diberi kurnia kebolehan untuk menyembuhkan orang sakit daripada Roh yang sama. Kepada yang lain diberi kurnia untuk mengerjakan mukjizat, ada yang diberi kebolehan bernubuat dan menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Juga ada mereka yang dikurniai kebolehan untuk membezakan roh-roh. Ada juga mereka yang diberi kurnia untuk bertutur dalam pelbagai lidah, dan ada pula yang diberi kurnia untuk mentafsirkan lidah-lidah itu. Namun Roh yang satu dan sama mengerjakan semua ini, Roh Kuduslah yang mengagih-agihkan kurnia yang berlainan menurut kehendak-Nya. Sebagaimana tubuh yang satu mempunyai banyak anggota, tetapi semua anggota itu merupakan satu tubuh, demikian juga Kristus. Oleh satu Roh kita semua telah dibaptiskan ke dalam satu tubuh — baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, baik hamba mahupun orang merdeka — dan semua telah disuruh minum ke dalam satu Roh yang sama. Tubuh bukan hanya terdiri daripada satu anggota tetapi banyak anggota.