1 Korintus 12
12
Kurnia rohani
1Aku tidak mahu kamu jahil, saudara-saudaraku, tentang kurnia-kurnia rohani: 2Kamu tahu bahawa dahulu, sebelum kamu menjadi umat Allah, kamu telah terperdaya dalam pelbagai cara untuk menjadi pengikut berhala-berhala yang bisu. 3Oleh itu, aku menyatakan kepadamu, tiada siapa pun yang bersuara di bawah pimpinan Roh Allah akan berkata: “Yesus terkutuk” dan tiada siapa pun dapat mengakui, “Yesus ialah Tuhan,” kecuali di bawah bimbingan Roh Kudus.
4 # Rm 12:6-8. Terdapat berbagai-bagai kurnia, tetapi semuanya berpunca daripada satu Roh. 5Ada berbagai-bagai pelayanan, tetapi hanya satu Tuhan. 6Ada berbagai-bagai kerja, tetapi Allah yang esa mengerjakan semuanya. 7Tetapi Roh Kudus memberi seseorang kurnia tertentu untuk kebaikan semua. 8Ada yang diberi kurnia oleh Roh Kudus untuk berbicara dengan penuh hikmah, dan ada pula yang dikurniai Roh Kudus untuk berbicara tentang pengetahuan. 9Ada juga yang dikurniai dengan keteguhan iman, ada yang diberi kurnia kebolehan untuk menyembuhkan orang sakit daripada Roh yang sama. 10Kepada yang lain diberi kurnia untuk mengerjakan mukjizat, ada yang diberi kebolehan bernubuat dan menyampaikan perkhabaran daripada Allah. Juga ada mereka yang dikurniai kebolehan untuk membezakan roh-roh. Ada juga mereka yang diberi kurnia untuk bertutur dalam pelbagai lidah, dan ada pula yang diberi kurnia untuk mentafsirkan lidah-lidah itu. 11Namun Roh yang satu dan sama mengerjakan semua ini, Roh Kuduslah yang mengagih-agihkan kurnia yang berlainan menurut kehendak-Nya.
Banyak anggota tetapi satu tubuh
12 # Rm 12:4,5. Sebagaimana tubuh yang satu mempunyai banyak anggota, tetapi semua anggota itu merupakan satu tubuh, demikian juga Kristus. 13Oleh satu Roh kita semua telah dibaptiskan ke dalam satu tubuh — baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, baik hamba mahupun orang merdeka — dan semua telah disuruh minum ke dalam satu Roh yang sama.
14Tubuh bukan hanya terdiri daripada satu anggota tetapi banyak anggota. 15Kalaulah kaki berkata, “Oleh sebab aku bukan tangan, aku bukanlah sebahagian tubuh,” maka benarkah kaki itu bukan sebahagian tubuh? 16Dan kalaulah telinga berkata, “Oleh sebab aku bukan mata, aku bukanlah sebahagian tubuh,” maka benarkah telinga itu bukan sebahagian tubuh? 17Andainya seluruh tubuh itu satu mata, di manakah pendengaran? Sekiranya seluruh tubuh itu pendengaran, di manakah pula penghiduan? 18Tetapi Allah telah meletakkan setiap anggota di tubuh menurut kehendak-Nya. 19Kalaulah semuanya hanya satu anggota, di manakah tubuh? 20Tetapi sekarang ada banyak anggota, namun kesemuanya dalam satu tubuh.
21Mata tidak boleh berkata kepada tangan, “Aku tidak memerlukanmu,” kepala tidak boleh berkata kepada kaki, “Aku tidak memerlukanmu.” 22Malah, anggota-anggota tubuh yang kelihatan lebih lemah itulah yang amat kita perlukan. 23Kepada anggota-anggota yang kita anggap kurang terhormat, kita berikan lebih banyak penghormatan; dan bahagian-bahagian tubuh kita yang tidak layak ditunjukkan mempunyai lebih banyak kesopanan. 24Sedangkan bahagian-bahagian yang layak ditunjukkan tidak memerlukannya. Dalam mencipta tubuh, Allah telah memberikan lebih banyak penghormatan kepada bahagian yang kurang memilikinya, 25supaya tidak ada perpecahan dalam tubuh, tetapi semua anggota sama-sama prihatin antara satu sama lain. 26Jika satu anggota menderita, semuanya turut menderita; sebaliknya jika satu diberi penghormatan, semua turut bersukacita.
27Kamu adalah tubuh Kristus, dan setiap daripadamu anggota tubuh itu. 28#Ef 4:11.Allah telah menentukan tempat masing-masing anggota jemaah: Pertama sebagai rasul-rasul, kedua nabi-nabi, ketiga guru-guru; seterusnya mereka yang diamanahkan untuk melakukan pelbagai mukjizat, mereka yang diberi kurnia untuk menyembuhkan, untuk memberi pertolongan, untuk memimpin dan untuk bertutur dalam aneka lidah. 29Adakah semua menjadi rasul? Adakah semua menjadi nabi? Adakah semua menjadi guru? Adakah semua melakukan mukjizat? 30Adakah semua diberi kurnia untuk menyembuhkan? Adakah semua dapat bertutur dalam pelbagai lidah? Adakah semua diberi kurnia untuk mentafsirkan bahasa-bahasa itu? 31Oleh itu, berusahalah kamu bersungguh-sungguh untuk mendapat kurnia-kurnia yang lebih besar. Aku akan menunjukkan kepadamu jalan yang lebih baik.
Terpilih Sekarang Ini:
1 Korintus 12: AVB
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Alkitab Versi Borneo
Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited