1 KORINTUS 12:18-30
1 KORINTUS 12:18-30 Alkitab Berita Baik (BM)
Tetapi seperti yang kita ketahui, Allah meletakkan tiap-tiap anggota tubuh yang berlainan itu di tempat yang dikehendaki-Nya. Tidak mungkin ada tubuh, jika semuanya hanya satu anggota. Oleh itu memang ada banyak anggota, tetapi hanya satu tubuh. Dengan demikian mata tidak boleh berkata kepada tangan, “Aku tidak memerlukan kamu!” Kepala pun tidak boleh berkata kepada kaki, “Aku tidak memerlukan kamu!” Sebaliknya kita amat memerlukan anggota-anggota tubuh yang dianggap lemah. Anggota tubuh yang kita anggap tidak begitu dihargai, kita berikan lebih banyak penghargaan. Anggota tubuh yang tidak selayaknya dipercakapkan, kita perlakukan dengan penuh kesopanan. Anggota-anggota tubuh yang sudah kelihatan cantik tidak memerlukan perhatian. Allah sudah mengatur tubuh kita sedemikian rupa sehingga anggota tubuh yang kita anggap kurang dihargai mendapat lebih banyak penghargaan. Dengan demikian tubuh itu tidak terbahagi-bahagi, dan setiap anggota saling memperhatikan. Jika satu anggota tubuh menanggung penderitaan, semua anggota lain menanggung penderitaan juga. Jika satu anggota tubuh dipuji, semua anggota lain turut bersukacita. Kamu semua tubuh Kristus, dan setiap orang sebahagian daripada tubuh itu. Di kalangan jemaah, Allah sudah memberi semua orang kedudukan masing-masing. Pertama rasul-rasul, kedua nabi-nabi, dan ketiga guru-guru, kemudian mereka yang melakukan mukjizat, lalu mereka yang diberikan kurnia untuk menyembuhkan orang sakit, atau untuk menolong orang lain, atau untuk menjadi pemimpin, ataupun untuk bertutur dalam pelbagai bahasa yang ajaib. Mereka bukan semuanya rasul, atau nabi, ataupun guru. Bukan semuanya mempunyai kuasa untuk melakukan mukjizat, atau untuk menyembuhkan orang, atau untuk bertutur dalam pelbagai bahasa yang ajaib, ataupun untuk menerangkan erti apa yang dikatakan dalam bahasa-bahasa itu.
1 KORINTUS 12:18-30 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Tŭtapi skarang Allah tŭlah mŭlŭtakkan sagala anggota itu masing masing dalam tuboh spŭrti yang dikahandakinya. Maka jikalau kiranya sŭmua itu mŭnjadi suatu anggota, mana pula tuboh? Adapun skarang ini adalah anggota itu banyak, tŭtapi tuboh itu suatu juga adanya. Maka mata itu tiada bulih bŭrkata kapada tangan, Bahwa tiada aku bŭrhajat akan dikau; atau kata kŭpala kapada kaki, Bahwa tiada aku bŭrhajat akan dikau. Bahkan, maka tŭrlebih pulah anggota anggota tuboh yang dikirakan tŭrlebih lŭmah adanya, maka iya itulah ada bŭrguna juga. Maka anggota anggota tuboh yang kita kirakan kurang mulia, maka pada dia itu juga kita mŭngadakan banyak kamuliaan; dan anggota kita yang korang mulia itu, maka iya itulah yang bŭrulih kamuliaan. Kŭrna sagala anggota kami yang mulia itu ta’usahlah dimuliakan; tŭtapi Allah tŭlah mŭmatutkan tuboh itu, sŭrta mŭmbri lebih mulia kapada anggota yang korang itu. Supaya jangan kŭlak bŭrchidra dalam tuboh itu, tŭtapi sagala anggota itu patut dipliharakan bŭrsama sama spŭrti yang lain. Maka jikalau suatu anggota itu mŭrasai sakit, maka sagala anggota pun mŭrasai sakit juga; dan jikalau suatu anggota dipŭrmuliakan, maka sagala anggota pun gŭmarlah juga adanya. Maka skarang kamulah dia tuboh Almasih adanya, dan anggota anggota juga bŭrmasing masing. Arkian maka Allah sudah mŭngangkat bŭbrapa orang dalam sidang jŭmaah, pŭrtama tama rasol rasol, kaduanya nabi nabi, katiganya guru guru, kumdian deripada itu bŭbrapa ajaib, kumdian pula bŭbrapa kwasa mŭnyŭmbohkan, bŭbrapa pŭnulongan, bŭbrapa prentah, dan bŭrjŭnis jŭnis bahsa. Sŭmua itu rasol rasolkah? sŭmua itu nabi nabikah? sŭmua itu guru gurukah? sŭmua itu mŭngadakan ajaibkah? Sŭmua tŭlah mŭndapat kwasa mŭnyŭmbohkankah? Sŭmua bŭrkata kata dŭngan bŭrbagie bagie bahsakah? Sŭmua mŭntŭrjŭmahkan bahsa bahsakah?
1 KORINTUS 12:18-30 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Tetapi Allah telah meletakkan setiap anggota di tubuh menurut kehendak-Nya. Kalaulah semuanya hanya satu anggota, di manakah tubuh? Tetapi sekarang ada banyak anggota, namun kesemuanya dalam satu tubuh. Mata tidak boleh berkata kepada tangan, “Aku tidak memerlukanmu,” kepala tidak boleh berkata kepada kaki, “Aku tidak memerlukanmu.” Malah, anggota-anggota tubuh yang kelihatan lebih lemah itulah yang amat kita perlukan. Kepada anggota-anggota yang kita anggap kurang terhormat, kita berikan lebih banyak penghormatan; dan bahagian-bahagian tubuh kita yang tidak layak ditunjukkan mempunyai lebih banyak kesopanan. Sedangkan bahagian-bahagian yang layak ditunjukkan tidak memerlukannya. Dalam mencipta tubuh, Allah telah memberikan lebih banyak penghormatan kepada bahagian yang kurang memilikinya, supaya tidak ada perpecahan dalam tubuh, tetapi semua anggota sama-sama prihatin antara satu sama lain. Jika satu anggota menderita, semuanya turut menderita; sebaliknya jika satu diberi penghormatan, semua turut bersukacita. Kamu adalah tubuh Kristus, dan setiap daripadamu anggota tubuh itu. Allah telah menentukan tempat masing-masing anggota jemaah: Pertama sebagai rasul-rasul, kedua nabi-nabi, ketiga guru-guru; seterusnya mereka yang diamanahkan untuk melakukan pelbagai mukjizat, mereka yang diberi kurnia untuk menyembuhkan, untuk memberi pertolongan, untuk memimpin dan untuk bertutur dalam aneka lidah. Adakah semua menjadi rasul? Adakah semua menjadi nabi? Adakah semua menjadi guru? Adakah semua melakukan mukjizat? Adakah semua diberi kurnia untuk menyembuhkan? Adakah semua dapat bertutur dalam pelbagai lidah? Adakah semua diberi kurnia untuk mentafsirkan bahasa-bahasa itu?