1 KORINTUS 12:1-8
1 KORINTUS 12:1-8 Alkitab Berita Baik (BM)
Sekarang aku hendak membincangkan kurnia-kurnia yang diberikan oleh Roh Allah. Aku mahu kamu mengetahui yang sebenarnya tentang hal itu. Pada waktu kamu belum mengenal Tuhan, kamu disesatkan untuk menyembah berhala yang tidak bernyawa. Kamu harus tahu bahawa orang yang dipimpin oleh Roh Allah tidak dapat berkata, “Terkutuklah Yesus!” Begitu juga tidak seorang pun dapat mengatakan, “Yesuslah Tuhan!” kecuali orang itu dipimpin oleh Roh Allah. Ada berbagai-bagai kurnia daripada Roh Allah, tetapi semuanya diberikan oleh Roh yang sama. Begitu juga ada berbagai-bagai cara untuk mengabdikan diri kepada Tuhan, tetapi kita mengabdi kepada Tuhan yang sama. Ada berbagai-bagai cara untuk melakukan kerja bagi Tuhan, tetapi Allah yang sama memberikan kebolehan kepada setiap orang untuk melakukan kerja masing-masing. Bagi kebaikan kita semua, Allah memberikan bukti bahawa Roh-Nya ada pada setiap orang. Ada orang yang dapat menyampaikan perkhabaran yang penuh dengan kebijaksanaan. Ada orang lain yang dapat menyampaikan pengetahuan tentang Allah. Tetapi kebolehan-kebolehan itu diberikan oleh Roh yang sama.
1 KORINTUS 12:1-8 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
HIE saudara saudaraku, adapun derihal sagala anugrah Roh Alkudos itu, maka bukannya aku handak kamu jadi bodoh. Maka kamu tahu, dahulu kamu orang orang sŭsat yang dihelakan kapada bŭrhala yang bisu itu, sa’olah olah kamu tŭlah tŭrpimpin. Maka sŭbab itu aku mŭmbri tahu kapada kamu, bahwa tiada sa’orang pun yang bŭrkata kata dŭngan elham Roh Allah itu, bulih iya mŭngatakan Isa itu tŭrla’nat; dan lagi sa’orang pun tiada bulih mŭngatakan Isa itu Tuhan, mŭlainkan dŭngan grak Roh Alkudos. Maka skarang pun adalah bŭrjŭnis jŭnis anugrah, tŭtapi deripada suatu Roh juga. Dan adalah bŭrjŭnis jŭnis jawatan, tŭtapi satu Tuhan juga adanya. Dan adalah bŭrjŭnis jŭnis pŭkŭrjaan, tŭtapi Allah suatu juga yang mŭnjalankan sagala pŭrkara itu dalam sŭmŭsta skalian. Tŭtapi kŭnyataannya Roh itu dikurniakan kapada masing masing orang, supaya mŭndatangkan fiedah kapada skalian. Kŭrna pada sa’orang dikurniakan ulih Roh pŭrkataan hikmat, dan pada yang lain pŭrkataan pŭngŭtahuan, ulih Roh itu juga.
1 KORINTUS 12:1-8 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Aku tidak mahu kamu jahil, saudara-saudaraku, tentang kurnia-kurnia rohani: Kamu tahu bahawa dahulu, sebelum kamu menjadi umat Allah, kamu telah terperdaya dalam pelbagai cara untuk menjadi pengikut berhala-berhala yang bisu. Oleh itu, aku menyatakan kepadamu, tiada siapa pun yang bersuara di bawah pimpinan Roh Allah akan berkata: “Yesus terkutuk” dan tiada siapa pun dapat mengakui, “Yesus ialah Tuhan,” kecuali di bawah bimbingan Roh Kudus. Terdapat berbagai-bagai kurnia, tetapi semuanya berpunca daripada satu Roh. Ada berbagai-bagai pelayanan, tetapi hanya satu Tuhan. Ada berbagai-bagai kerja, tetapi Allah yang esa mengerjakan semuanya. Tetapi Roh Kudus memberi seseorang kurnia tertentu untuk kebaikan semua. Ada yang diberi kurnia oleh Roh Kudus untuk berbicara dengan penuh hikmah, dan ada pula yang dikurniai Roh Kudus untuk berbicara tentang pengetahuan.