1 KORINTUS 1:21-31
1 KORINTUS 1:21-31 Alkitab Berita Baik (BM)
Kerana Allah bijaksana, Dia menentukan supaya manusia tidak dapat mengenal-Nya melalui kebijaksanaan mereka sendiri. Sebaliknya Allah menetapkan bahawa Dia menyelamatkan orang yang percaya kepada-Nya melalui perkhabaran kami yang dianggap suatu kebodohan. Orang Yahudi menuntut mukjizat sebagai bukti dan orang Yunani mementingkan kebijaksanaan. Tetapi kami mengisytiharkan Kristus yang disalibkan. Berita itu menyinggung perasaan orang Yahudi, dan dianggap suatu kebodohan oleh orang bukan Yahudi. Tetapi bagi mereka yang sudah dipanggil oleh Allah, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi, berita itu Kristus, yang menunjukkan kekuasaan dan kebijaksanaan Allah. Hal itu demikian kerana apa yang nampaknya seperti kebodohan Allah, sebenarnya lebih bijak daripada kebijaksanaan manusia; apa yang nampaknya seperti kelemahan Allah, sebenarnya lebih kuat daripada kekuatan manusia. Saudara-saudaraku! Ingatlah akan keadaan kamu semasa Allah memanggil kamu. Menurut pandangan manusia hanya sedikit antara kamu yang bijak, atau berkuasa ataupun berkedudukan tinggi. Allah sengaja memilih orang yang dianggap bodoh oleh dunia ini, untuk mempermalukan orang yang bijak. Allah juga memilih orang yang dianggap lemah oleh dunia ini untuk mempermalukan orang yang berkuasa. Allah memilih orang yang dianggap rendah, hina dan tidak berguna oleh dunia ini, untuk menghancurkan orang yang dianggap penting oleh dunia ini. Hal ini bererti tidak seorang pun dapat memegahkan diri di hadapan Allah. Tetapi Allah sudah menjadikan kamu hidup bersatu dengan Kristus Yesus. Melalui Kristus, Allah menjadikan kita bijak. Melalui Kristus juga Allah memungkinkan kita berbaik semula dengan Allah, menjadikan kita umat-Nya yang khas dan membebaskan kita. Oleh itu, seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Sesiapa mahu berbangga, dia harus berbangga dengan apa yang sudah dilakukan oleh Tuhan.”
1 KORINTUS 1:21-31 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)
Kŭrna kumdian deripada itu, maka dŭngan hikmat Allah itulah juga orang isi dunia ini tiada mŭngatahui Allah sŭbab hikmatnya itu, maka dipŭrkŭnankan Allah dŭngan kabodohan pŭngajaran itu akan mŭmbri slamat kapada orang yang pŭrchaya itu. Kŭrna orang Yahudi itu ada mŭnuntut akan suatu tandah, dan orang Grika pula ada mŭnuntut hikmat: Tŭtapi kita ini mŭmashorkan Almasih yang disalibkan itu, kapada orang orang Yahudi mŭnjadi batu tŭrantok, dan kapada orang orang Grika kabodohan adanya; Akan tŭtapi kapada sagala orang yang tŭrpileh itu, baik kapada orang Yahudi, dan baik kapada orang Grika, bahwa Almasih itu mŭnjadi kwasa Allah, dan hikmat Allah adanya. Sŭbab kabodohan Allah itu tŭrlebih bijaksananya deripada manusia; dan kalŭmahan Allah itu tŭrlebih kwasanya deripada manusia. Hie saudara saudaraku, kŭrna kamu ada mŭlihat diantara kamu yang tŭrpileh itu, bukannya banyak orang pandie mŭnurot nafsu itu, bukannya banyak orang bŭrkwasa, bukannya banyak orang bangsawan, yang tŭlah dipileh itu: Tŭtapi Allah tŭlah mŭmileh sagala pŭrkara yang bodoh deri dunia itu supaya mŭmbingungkan orang yang pandie; dan Allah tŭlah mŭmilih pula sagala pŭrkara yang lŭmah deri dunia itu supaya mŭmbingungkan sagala pŭrkara yang bŭrkwasa adanya; Dan lagi pŭrkara yang hina deri dunia, dan pŭrkara yang kŭji itu, tŭlah dipileh Allah, dan pŭrkara yang bukan bukan pun, supaya mŭnidakkan pŭrkara yang ada: Supaya jangan sa’orang manusia pun mŭmŭgahkan dirinya dihadapan Allah. Tŭtapi deripadanyalah juga kamu ada dalam bŭrkat Isa Almasih, yang tŭlah dijadikan Allah bagie kami hikmat, dan kabŭnaran, dan kasuchian, dan tŭbusan: Supaya gŭnaplah spŭrti yang tŭlah tŭrsurat, Bahwa barang sa’orang yang handak mŭmŭgahkan, biarlah iya mŭmŭgahkan pada Tuhan
1 KORINTUS 1:21-31 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Oleh sebab kebijaksanaan Allah, Dia telah menetapkan bahawa dunia tidak mungkin mengenal-Nya dengan kebijaksanaan sendiri. Allah berkenan menyelamatkan orang yang beriman kepada-Nya melalui berita yang kami khabarkan, yang dianggap sebagai kebodohan. Orang Yahudi menuntut tanda berbentuk mukjizat, manakala orang Yunani menuntut kebijaksanaan. Sebaliknya kami memberitakan Kristus yang disalib. Hal ini menjadi batu sandungan kepada orang Yahudi dan dipandang bodoh oleh bangsa-bangsa lain. Namun demikian, bagi mereka yang dipanggil Allah, baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, Kristus kuasa Allah dan kebijaksanaan Allah. Kebodohan Allah lebih bijak daripada kebijaksanaan manusia. Kelemahan Allah lebih kuat daripada kekuatan manusia. Saudara-saudara! Fikirkan keadaanmu ketika Allah memanggilmu. Di mata manusia, tidak ramai daripadamu yang bijak, atau berkuasa, atau bangsawan. Sememangnya Allah memilih yang bodoh di dunia untuk memalukan yang bijak. Allah memilih yang lemah di dunia untuk memalukan yang kuat. Allah memilih yang rendah dan dihina di dunia bahkan yang tidak ada untuk meniadakan yang ada. Oleh itu, tiada siapa pun dapat bermegah di hadirat Allah. Oleh sebab Allah, kamu berada dalam Kristus Yesus. Allah telah membuat Dia menjadi kebijaksanaan bagi kita, dan melalui Dia, Allah memperbenar, menyucikan, serta menebus kita. Dengan demikian, sebagaimana telah tersurat, “Jika sesiapa yang bermegah, maka hendaklah dia bermegah dalam Tuhan.”