1 Korintus 1:21-31

1 Korintus 1:21-31 AVB

Oleh sebab kebijaksanaan Allah, Dia telah menetapkan bahawa dunia tidak mungkin mengenal-Nya dengan kebijaksanaan sendiri. Allah berkenan menyelamatkan orang yang beriman kepada-Nya melalui berita yang kami khabarkan, yang dianggap sebagai kebodohan. Orang Yahudi menuntut tanda berbentuk mukjizat, manakala orang Yunani menuntut kebijaksanaan. Sebaliknya kami memberitakan Kristus yang disalib. Hal ini menjadi batu sandungan kepada orang Yahudi dan dipandang bodoh oleh bangsa-bangsa lain. Namun demikian, bagi mereka yang dipanggil Allah, baik orang Yahudi mahupun orang Yunani, Kristus kuasa Allah dan kebijaksanaan Allah. Kebodohan Allah lebih bijak daripada kebijaksanaan manusia. Kelemahan Allah lebih kuat daripada kekuatan manusia. Saudara-saudara! Fikirkan keadaanmu ketika Allah memanggilmu. Di mata manusia, tidak ramai daripadamu yang bijak, atau berkuasa, atau bangsawan. Sememangnya Allah memilih yang bodoh di dunia untuk memalukan yang bijak. Allah memilih yang lemah di dunia untuk memalukan yang kuat. Allah memilih yang rendah dan dihina di dunia bahkan yang tidak ada untuk meniadakan yang ada. Oleh itu, tiada siapa pun dapat bermegah di hadirat Allah. Oleh sebab Allah, kamu berada dalam Kristus Yesus. Allah telah membuat Dia menjadi kebijaksanaan bagi kita, dan melalui Dia, Allah memperbenar, menyucikan, serta menebus kita. Dengan demikian, sebagaimana telah tersurat, “Jika sesiapa yang bermegah, maka hendaklah dia bermegah dalam Tuhan.”