1 TAWARIKH 21:1-14

1 TAWARIKH 21:1-14 Alkitab Berita Baik (BM)

Iblis hendak menyusahkan orang Israel; oleh itu dia membujuk Raja Daud supaya membanci penduduk Israel. Raja Daud memerintah Yoab dan pegawai-pegawainya yang lain, “Bancilah penduduk di seluruh pelosok Israel, kerana beta ingin tahu jumlah rakyat Israel.” Yoab menjawab, “Semoga TUHAN melipatgandakan bilangan rakyat Israel sampai seratus kali ganda daripada bilangan yang ada sekarang ini. Tuanku, tidakkah jelas bahawa mereka takluk kepada tuanku? Mengapa harus mengadakan pembancian? Nanti, kerana kesalahan itu, segenap bangsa akan menanggung akibatnya!” Namun raja tetap berpegang pada perintahnya, maka Yoab pergi ke seluruh pelosok Israel, kemudian kembali ke Yerusalem. Yoab melaporkan hasil pembancian itu kepada Raja Daud. Jumlah lelaki yang memenuhi syarat untuk masuk tentera adalah 1,100,000 orang di Israel dan 470,000 orang di Yehuda. Tetapi suku Lewi dan suku Benyamin tidak termasuk jumlah itu. Yoab tidak membanci mereka kerana dia tidak bersetuju dengan perintah raja itu. Allah murka kerana apa yang telah berlaku, maka Dia menghukum orang Israel. Kemudian Raja Daud berdoa kepada Allah, “Ya Allah, aku sudah melakukan dosa besar! Ampunilah aku, kerana tindakanku itu sangat bodoh.” Kemudian TUHAN berfirman kepada Gad, nabi yang berkhidmat kepada Raja Daud, “Pergilah beritahu Raja Daud bahawa Aku memberi dia tiga pilihan. Apa sahaja yang dipilihnya akan Kulakukan.” Gad menghadap Raja Daud dan menyampaikan firman TUHAN itu, katanya, “Yang mana satu pilihan tuanku? Negeri ini ditimpa bencana kebuluran selama tiga tahun, atau tuanku lari dikejar musuh selama tiga bulan, atau selama tiga hari seluruh negeri ini diserang oleh TUHAN dengan pedang-Nya yang berupa wabak dan malaikat-Nya membawa maut ke serata tempat. Jawapan apakah yang harus hamba sampaikan kepada TUHAN?” Raja Daud bertitah kepada Gad, “Keadaan beta sungguh terdesak! Janganlah manusia menghukum beta. Lebih baik TUHAN sendiri yang menghukum beta, kerana rahmat-Nya besar.” Oleh itu TUHAN mendatangkan wabak kepada orang Israel sehingga 70,000 orang antara mereka mati.

1 TAWARIKH 21:1-14 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Iblis bangkit melawan orang Israel dan menghasut Daud untuk mengadakan bancian jumlah orang Israel. Lalu Daud berkata kepada Yoab dan kepada para panglima pasukan, “Pergilah, hitunglah orang Israel dari Bersyeba sampai Dan, lalu bawalah hasilnya kepadaku supaya aku tahu akan jumlah mereka.” Kata Yoab, “Semoga TUHAN menambah umat-Nya seratus kali lipat ganda daripada yang ada sekarang. Ya Tuanku Raja, bukankah mereka semua hamba tuanku? Mengapakah tuanku menghendaki hal ini? Mengapakah orang Israel harus menanggung kesalahan kerana hal itu?” Meskipun begitu, titah raja terpaksa dituruti oleh Yoab. Maka pergilah Yoab menjelajahi seluruh Israel, kemudian kembali ke Yerusalem. Hasil bancian rakyat itu pun diserahkan Yoab kepada Daud. Antara seluruh umat Israel ada sejuta seratus ribu orang pemegang pedang manakala antara orang Yehuda ada empat ratus tujuh puluh ribu orang pemegang pedang. Bani Lewi dan Benyamin tidak dimasukkannya dalam penghitungan, kerana perintah raja itu dipandang keji oleh Yoab. Akan tetapi, hal itu jahat di mata TUHAN sehingga Dia mengazab Israel. Kata Daud kepada Allah, “Aku sangat berdosa kerana melakukan hal ini. Sekarang, semoga jauhkanlah kesalahan hamba-Mu ini, kerana tindakan aku ini sangat bodoh.” Lalu TUHAN berfirman kepada Gad, pelihat Daud, “Pergi dan katakanlah kepada Daud, ‘Beginilah firman TUHAN: Aku mengajukan kepadamu tiga perkara. Pilihlah salah satu antaranya untuk Kulaksanakan.’ ” Maka Gad datang menghadap Daud dan berkata kepadanya, “Beginilah firman TUHAN: Buatlah pilihan, tiga tahun bencana kebuluran, atau tiga bulan dihancurkan di hadapan lawanmu sementara pedang musuh mengejar kamu, atau tiga hari pedang TUHAN, iaitu wabak penyakit, menimpa negeri ini dan malaikat TUHAN mendatangkan kemusnahan terhadap seluruh daerah Israel. Sekarang pertimbangkanlah, jawapan apa yang harus kusampaikan kepada Dia yang mengutus aku?” Jawab Daud kepada Gad, “Hal ini sangat menyesakkan bagiku. Biarlah aku jatuh ke dalam tangan TUHAN, kerana rahmat-Nya sangat besar; tetapi janganlah aku jatuh ke dalam tangan manusia.” Jadi, TUHAN mendatangkan wabak penyakit kepada Israel, lalu matilah tujuh puluh ribu orang Israel.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami