1 Tawarikh 21:1-14

1 Tawarikh 21:1-14 AVB

Iblis bangkit melawan orang Israel dan menghasut Daud untuk mengadakan bancian jumlah orang Israel. Lalu Daud berkata kepada Yoab dan kepada para panglima pasukan, “Pergilah, hitunglah orang Israel dari Bersyeba sampai Dan, lalu bawalah hasilnya kepadaku supaya aku tahu akan jumlah mereka.” Kata Yoab, “Semoga TUHAN menambah umat-Nya seratus kali lipat ganda daripada yang ada sekarang. Ya Tuanku Raja, bukankah mereka semua hamba tuanku? Mengapakah tuanku menghendaki hal ini? Mengapakah orang Israel harus menanggung kesalahan kerana hal itu?” Meskipun begitu, titah raja terpaksa dituruti oleh Yoab. Maka pergilah Yoab menjelajahi seluruh Israel, kemudian kembali ke Yerusalem. Hasil bancian rakyat itu pun diserahkan Yoab kepada Daud. Antara seluruh umat Israel ada sejuta seratus ribu orang pemegang pedang manakala antara orang Yehuda ada empat ratus tujuh puluh ribu orang pemegang pedang. Bani Lewi dan Benyamin tidak dimasukkannya dalam penghitungan, kerana perintah raja itu dipandang keji oleh Yoab. Akan tetapi, hal itu jahat di mata TUHAN sehingga Dia mengazab Israel. Kata Daud kepada Allah, “Aku sangat berdosa kerana melakukan hal ini. Sekarang, semoga jauhkanlah kesalahan hamba-Mu ini, kerana tindakan aku ini sangat bodoh.” Lalu TUHAN berfirman kepada Gad, pelihat Daud, “Pergi dan katakanlah kepada Daud, ‘Beginilah firman TUHAN: Aku mengajukan kepadamu tiga perkara. Pilihlah salah satu antaranya untuk Kulaksanakan.’ ” Maka Gad datang menghadap Daud dan berkata kepadanya, “Beginilah firman TUHAN: Buatlah pilihan, tiga tahun bencana kebuluran, atau tiga bulan dihancurkan di hadapan lawanmu sementara pedang musuh mengejar kamu, atau tiga hari pedang TUHAN, iaitu wabak penyakit, menimpa negeri ini dan malaikat TUHAN mendatangkan kemusnahan terhadap seluruh daerah Israel. Sekarang pertimbangkanlah, jawapan apa yang harus kusampaikan kepada Dia yang mengutus aku?” Jawab Daud kepada Gad, “Hal ini sangat menyesakkan bagiku. Biarlah aku jatuh ke dalam tangan TUHAN, kerana rahmat-Nya sangat besar; tetapi janganlah aku jatuh ke dalam tangan manusia.” Jadi, TUHAN mendatangkan wabak penyakit kepada Israel, lalu matilah tujuh puluh ribu orang Israel.