KIDUNG AGUNG 8:1-12

KIDUNG AGUNG 8:1-12 BM

Alangkah baiknya jika engkau saudaraku, yang disusui oleh ibuku sendiri, supaya apabila aku menemui engkau di tengah jalan, aku boleh mencium engkau, dan tidak sesiapa pun menghina aku. Aku akan membawa engkau ke rumah ibuku, dan engkau akan mengajar aku bercinta. Aku akan memberi engkau minum wain campur dan air buah delimaku. Tangan kirimu menopang kepalaku, dan tangan kananmu membelai aku. Berjanjilah, hai puteri-puteri Yerusalem, bahawa kamu tidak akan mengganggu cinta kami. Siapakah dia yang datang dari padang gurun, bersandar pada kekasihnya? Aku membangunkan engkau di bawah pokok epal, di tempat engkau dilahirkan. Jadikanlah aku buah hatimu; jangan peluk sesiapa pun selain aku, kerana cinta itu sekuat maut, dan nafsu berkuasa seperti kematian. Nyalanya seperti nyala api, yang berkobar dengan dahsyat. Air yang banyak tidak dapat memadamkan cinta, air bah tidak dapat menenggelamkannya. Jika seorang memberikan segala hartanya untuk membeli cinta, pasti hanya hinaan yang didapatinya. Kami mempunyai seorang adik perempuan, yang masih kecil buah dadanya. Apakah yang harus kami buat apabila pemuda datang meminangnya? Andaikata adik kami itu tembok, kami akan membina sebuah menara perak di atasnya. Tetapi jika dia itu pintu, kami akan memasang palang kayu sedar padanya. Aku ini tembok, dan buah dadaku menaranya. Kekasihku tahu bahawa bersama-sama dia, aku bahagia dan sejahtera. Raja Salomo mempunyai ladang anggur di Baal-Hamon. Pekebun menyewa ladang itu daripadanya; masing-masing membayar seribu mata wang perak untuk hasilnya. Raja Salomo menerima seribu mata wang perak, dan pekebun mendapat dua ratus sebagai bahagian mereka; tetapi aku mempunyai ladang anggurku sendiri!

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami