KIDUNG AGUNG 8:1-12

KIDUNG AGUNG 8:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Alangkah baiknya jika engkau saudaraku, yang disusui oleh ibuku sendiri, supaya apabila aku menemui engkau di tengah jalan, aku boleh mencium engkau, dan tidak sesiapa pun menghina aku. Aku akan membawa engkau ke rumah ibuku, dan engkau akan mengajar aku bercinta. Aku akan memberi engkau minum wain campur dan air buah delimaku. Tangan kirimu menopang kepalaku, dan tangan kananmu membelai aku. Berjanjilah, hai puteri-puteri Yerusalem, bahawa kamu tidak akan mengganggu cinta kami. Siapakah dia yang datang dari padang gurun, bersandar pada kekasihnya? Aku membangunkan engkau di bawah pokok epal, di tempat engkau dilahirkan. Jadikanlah aku buah hatimu; jangan peluk sesiapa pun selain aku, kerana cinta itu sekuat maut, dan nafsu berkuasa seperti kematian. Nyalanya seperti nyala api, yang berkobar dengan dahsyat. Air yang banyak tidak dapat memadamkan cinta, air bah tidak dapat menenggelamkannya. Jika seorang memberikan segala hartanya untuk membeli cinta, pasti hanya hinaan yang didapatinya. Kami mempunyai seorang adik perempuan, yang masih kecil buah dadanya. Apakah yang harus kami buat apabila pemuda datang meminangnya? Andaikata adik kami itu tembok, kami akan membina sebuah menara perak di atasnya. Tetapi jika dia itu pintu, kami akan memasang palang kayu sedar padanya. Aku ini tembok, dan buah dadaku menaranya. Kekasihku tahu bahawa bersama-sama dia, aku bahagia dan sejahtera. Raja Salomo mempunyai ladang anggur di Baal-Hamon. Pekebun menyewa ladang itu daripadanya; masing-masing membayar seribu mata wang perak untuk hasilnya. Raja Salomo menerima seribu mata wang perak, dan pekebun mendapat dua ratus sebagai bahagian mereka; tetapi aku mempunyai ladang anggurku sendiri!

KIDUNG AGUNG 8:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Ah, seandainya engkau saudara laki-lakiku, yang pernah menyusui payudara ibuku! Jika kutemui engkau di luar, akan kucium engkau, dan tiada seorang pun akan menghina aku. Aku akan menuntun engkau dan membawa engkau ke rumah ibuku — orang yang telah mendidik aku. Aku akan memberimu minum air anggur bercampur rempah-ratus, sari buah delimaku. Tangan kirinya di bawah kepalaku, dan tangan kanannya memeluk aku. Dengan sungguh-sungguh aku minta kepadamu, wahai para puteri Yerusalem, jangan bangkitkan dan jangan gerakkan cinta sebelum dikehendakinya. Siapakah itu, yang muncul dari gurun, yang bersandar pada kekasihnya? Di bawah pokok epal kubangunkan engkau. Di sanalah ibumu sakit bersalin kerana engkau, di sanalah ia sakit bersalin dan melahirkan engkau. Simpanlah aku sebagai materai dalam hatimu, bagai materai pada lenganmu. Kerana cinta itu sekuat kematian, dan cemburu itu sebengis alam barzakh. Keghairahannya bagai api ternyala, nyala api TUHAN. Air yang meluap pun tidak mampu memadamkan cinta, banjir juga tidak berdaya menenggelamkannya. Seseorang yang memberikan segala harta benda rumahnya demi cinta tawarannya juga akan hanya dihina. Kami mempunyai seorang adik perempuan yang belum tampak payudaranya. Apakah yang harus kami lakukan untuk adik kami itu pada hari ia dipinang? Jika dia tembok, akan kami bina menara perak di atasnya. Jika dia pintu, akan kami pagarnya dengan papan kayu araz. Dulu aku ini tembok, dan payudaraku bak menara berkubu. Lalu di matanya aku bagaikan orang yang menemukan kedamaian. Salomo ada kebun anggur di Baal-Hamon. Diserahkannya kebun anggur itu kepada para penjaga. Masing-masing harus membawa seribu keping perak sebagai hasilnya. Kebun anggurku, milikku sendiri, ada di hadapanku. Seribu keping itu bagimu, wahai Salomo, dan dua ratus keping bagi para penjaga hasilnya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami