ROMA 9:14-24

ROMA 9:14-24 BM

Jika demikian, bolehkah kita katakan bahawa Allah tidak adil? Tentu tidak boleh! Allah berfirman kepada Musa, “Aku akan merahmati orang yang hendak Aku rahmati, dan Aku akan mengasihani orang yang hendak Aku kasihani.” Oleh itu, keputusan Allah tidak bergantung kepada kehendak atau perbuatan manusia, tetapi hanya kepada belas kasihan Allah. Hal itu demikian, kerana di dalam Alkitab tertulis, “Allah berfirman kepada raja Mesir, ‘Untuk maksud ini Aku melantik engkau menjadi raja, supaya melalui engkau, Aku menyatakan kekuasaan-Ku dan memasyhurkan nama-Ku di seluruh dunia.’ ” Oleh itu, Allah berbelas kasihan kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah menjadikan orang berkeras kepala jika Dia berkehendak demikian. Lalu kamu akan bertanya kepadaku, “Jika demikian mengapa Allah mahu menyalahkan manusia? Siapa dapat melawan kehendak Allah?” Tetapi saudaraku, siapakah kamu sehingga berani menyoal Allah? Bolehkah periuk tanah bertanya kepada yang membuatnya, “Mengapa aku dibuat begini?” Bukankah orang yang membuat periuk berhak menggunakan tanah liat itu sekehendak hatinya? Dengan segumpal tanah liat, dia boleh membuat dua buah periuk: yang satu untuk kegunaan khas dan yang satu lagi untuk kegunaan sehari-hari. Begitu juga halnya dengan apa yang dilakukan oleh Allah. Dia ingin menunjukkan kemurkaan-Nya dan menyatakan kekuasaan-Nya. Tetapi Allah sangat sabar terhadap mereka yang menjadi sasaran kemurkaan-Nya, iaitu mereka yang akan dimusnahkan. Allah juga ingin menyatakan kebahagiaan berlimpah-limpah, yang dicurahkan-Nya kepada kita yang menjadi tumpuan belas kasihan-Nya. Kita sudah disiapkan oleh-Nya untuk menerima kebahagiaan itu. Kita ini orang yang sudah dipanggil-Nya, dan kita terdiri daripada orang Yahudi dan bukan Yahudi.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami