ROMA 4:1-12

ROMA 4:1-12 BM

Jika demikian apakah yang dapat kita katakan tentang Abraham, nenek moyang bangsa kita? Bagaimanakah pengalamannya? Jika Abraham diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya kerana hal-hal yang dilakukan oleh Abraham, maka Abraham boleh berbangga. Tetapi dia tidak dapat berbangga di sisi Allah. Di dalam Alkitab tertulis, “Abraham percaya kepada Allah, dan kerana kepercayaannya dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah.” Seorang yang bekerja, biasanya menerima gaji, dan gajinya itu tidak dianggap sebagai suatu pemberian, kerana gaji itu haknya. Tetapi seseorang yang percaya kepada Allah tidak bergantung kepada usahanya sendiri. Orang itu percaya kepada Allah yang menyatakan orang berdosa bebas daripada dosa. Kepercayaan orang itu menyebabkan dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya. Itulah yang dimaksudkan oleh Daud apabila dia berkata tentang kebahagiaan orang yang diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah, walaupun mereka tidak melakukan apa-apa supaya diterima oleh Allah. Daud berkata, “Berbahagialah orang yang kesalahan mereka diampuni oleh Allah, dan dosa mereka dihapuskan oleh Allah! Berbahagialah dia yang dosanya tidak diperhitungkan oleh Allah!” Adakah kebahagiaan yang dimaksudkan Daud itu hanya dikhaskan untuk orang yang bersunat? Tentu tidak. Kebahagiaan itu juga untuk orang yang tidak bersunat. Hal ini demikian, kerana sudah kami katakan sebelumnya bahawa, “Abraham percaya kepada Allah, dan kerana kepercayaannya dia diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah.” Bilakah perkara itu berlaku? Sebelum atau sesudah Abraham bersunat? Sebelum Abraham bersunat. Abraham bersunat kemudian, dan sunatnya itu satu tanda untuk membuktikan bahawa Allah sudah menerima dia sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah, kerana Abraham percaya kepada-Nya. Demikianlah Abraham menjadi seperti bapa kepada semua orang yang percaya kepada Allah dan yang diterima oleh Allah sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan-Nya, walaupun mereka tidak bersunat. Abraham juga menjadi seperti bapa kepada orang yang bersunat dan yang hidup dengan kepercayaan kepada Allah, seperti bapa kita Abraham sebelum dia bersunat.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami