ROMA 3:9-26

ROMA 3:9-26 BM

Baiklah, adakah kedudukan kita sebagai orang Yahudi lebih baik daripada kedudukan orang bukan Yahudi? Sekali-kali tidak! Sudah aku jelaskan bahawa semua orang dikuasai dosa, baik orang Yahudi mahupun orang bukan Yahudi. Seperti yang tertulis di dalam Alkitab, “Tidak seorang pun yang benar di sisi Allah, tidak seorang pun yang memahami apa yang benar, dan tidak seorang pun menyembah Allah. Semua orang sudah menjauhkan diri daripada Allah; semuanya sudah sesat. Tidak seorang pun berbuat benar; seorang pun tidak! Kata-kata dari mulut mereka menyebabkan kematian, tipu muslihat mengalir dari lidah mereka, dan fitnah seperti bisa ular tersembur dari bibir mereka; mulut mereka penuh dengan kutuk dan cerca. Mereka cepat mencederakan dan membunuh orang; mereka menyebabkan kebinasaan dan kehancuran di mana-mana. Mereka tidak mengikut jalan kedamaian, dan mereka pun tidak menghormati Allah.” Sekarang kita tahu bahawa semua yang tertulis di dalam Taurat adalah bagi mereka yang hidup di bawah Taurat. Dengan demikian tidak seorang pun dapat berdalih, dan semua orang di dunia akan diadili oleh Allah. Jika seseorang melakukan apa yang diwajibkan oleh Taurat, hal itu tidak bererti dia berbaik semula dengan Allah. Sebaliknya Taurat hanya menunjukkan manusia bahawa mereka berdosa. Tetapi sekarang Allah sudah menunjukkan jalan bagaimana manusia dapat berbaik semula dengan-Nya. Hal itu tidak ada kaitannya dengan hukum, walaupun Taurat dan Kitab Nabi-Nabi menyatakan hal itu. Allah memungkinkan orang berbaik semula dengan Dia, hanya melalui kepercayaan mereka kepada Yesus Kristus. Allah melakukan hal itu untuk semua orang yang percaya kepada Kristus, kerana tidak ada perbezaan antara orang Yahudi dengan orang bukan Yahudi: Semua orang sudah berdosa dan jauh daripada Allah yang menyelamatkan mereka. Tetapi oleh rahmat Allah yang dikurniakan dengan percuma, hubungan manusia dengan Allah menjadi baik semula, melalui Yesus Kristus yang membebaskan mereka. Allah mempersembahkan Yesus Kristus sebagai korban supaya dengan kematian Yesus, dosa orang diampunkan apabila mereka percaya kepada-Nya. Allah berbuat demikian untuk menunjukkan keadilan-Nya. Pada masa lampau, Allah bersabar terhadap dosa manusia, sehingga tidak menghukum orang. Tetapi sekarang Dia bertindak terhadap dosa untuk menyatakan keadilan-Nya. Dengan cara itu Allah menunjukkan bahawa Dia adil, dan bahawa Dia menyatakan semua orang yang percaya kepada Yesus sebagai orang yang sudah berbaik semula dengan Allah.