ROMA 15:14-33

ROMA 15:14-33 BM

Saudara-saudaraku! Aku yakin bahawa kamu sangat baik, dan kamu mengetahui segala sesuatu yang patut kamu lakukan. Kamu juga dapat saling menasihati. Tetapi dalam suratku ini aku menulis dengan terus terang untuk mengingatkan kamu tentang beberapa buah perkara. Aku menulis dengan tegas, kerana Allah sudah mengurniai aku tugas khas. Aku dijadikan hamba Kristus Yesus untuk menolong orang bukan Yahudi. Aku melakukan tugas seorang imam sewaktu aku mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah, supaya orang bukan Yahudi menjadi sebagai suatu persembahan yang menyenangkan hati Allah, dan yang ditahbiskan kepada-Nya oleh Roh Allah. Kerana aku bersatu dengan Kristus Yesus, aku berbangga dengan kerjaku untuk Allah. Aku akan berani berkata-kata dan hanya tentang apa yang sudah dilakukan oleh Kristus melalui aku, supaya orang bukan Yahudi taat kepada Allah. Hal itu dilakukan dengan kata-kata dan perbuatan, dengan keajaiban dan mukjizat, serta dengan kuasa Roh Allah. Aku sudah mengisytiharkan keseluruhan Berita Baik tentang Kristus, dalam perjalananku dari Yerusalem sampai ke Ilirikum. Aku berazam mengisytiharkan Berita Baik di tempat orang yang belum pernah mendengar tentang Kristus, supaya aku tidak membina kerja di atas asas yang diletakkan oleh orang lain. Di dalam Alkitab tertulis, “Mereka yang belum pernah menerima berita tentang Dia akan melihat, dan mereka yang belum pernah mendengar akan mengerti.” Itulah sebabnya banyak kali aku terhalang melawat kamu. Tetapi sekarang kerjaku di daerah-daerah ini sudah selesai. Sudah bertahun-tahun lamanya aku ingin berjumpa dengan kamu. Dalam perjalananku ke negeri Sepanyol, aku akan singgah di kota kamu. Selepas beberapa lama bergembira dengan kamu, aku berharap kamu dapat menolong aku meneruskan perjalanan ke Sepanyol. Tetapi sekarang ini aku akan pergi ke Yerusalem untuk membawa bantuan bagi umat Allah di situ. Jemaah di Makedonia dan Akhaya dengan sukacita membuat keputusan untuk memberikan derma kepada saudara-saudara yang miskin di kalangan umat Allah di Yerusalem. Mereka sendiri membuat keputusan itu. Memang sebenarnya mereka patut menolong saudara-saudara yang miskin itu, kerana orang bukan Yahudi sudah menerima berkat rohani daripada orang Yahudi. Dengan demikian orang bukan Yahudi patut menolong orang Yahudi dengan berkat kebendaan. Apabila aku menyelesaikan tugas itu, dan menyerahkan semua wang derma itu kepada mereka, aku akan berangkat ke negeri Sepanyol dan akan melawat kamu dalam perjalanan ke sana. Apabila aku datang kepada kamu, aku akan berkongsi berkat yang berlimpah-limpah daripada Kristus dengan kamu. Demi Tuhan kita Yesus Kristus, dan demi kasih yang dikurniakan oleh Roh Allah, aku menggesa kamu supaya berdoa dengan tekun kepada Allah bersama-sama aku untukku. Berdoalah supaya orang di Yudea yang tidak percaya kepada Yesus Kristus tidak mencederakan aku, dan supaya umat Allah di Yerusalem senang hati dengan apa yang aku lakukan untuk menolong mereka. Kemudian jika diperkenankan Allah, aku akan datang kepada kamu dengan penuh kegembiraan, dan lawatan itu akan menggembirakan dan menyegarkan aku. Semoga Allah, sumber kedamaian kita, menyertai kamu semua. Amin.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami