WAHYU 9:1-12

WAHYU 9:1-12 BM

Kemudian malaikat kelima meniup trompetnya, dan aku nampak sebuah bintang jatuh dari langit ke atas bumi. Bintang itu diberikan kunci jurang maut. Bintang itu membuka jurang maut, lalu asap keluar dari dalamnya seperti asap dari relau yang besar. Matahari dan angkasa menjadi gelap kerana asap dari jurang itu. Lalu dari dalam asap keluarlah belalang-belalang yang turun ke atas bumi. Belalang-belalang itu diberikan kekuatan yang dimiliki kala jengking. Belalang-belalang itu dilarang merosak rumput, atau pokok, ataupun tanaman lain. Hanya orang yang tidak bertandakan meterai Allah pada dahi mereka boleh diserang. Belalang-belalang itu tidak dibenarkan membunuh mereka, tetapi hanya menyeksa mereka selama lima bulan. Kesakitan yang disebabkan seksaan belalang-belalang itu seperti kesakitan yang disebabkan sengat kala jengking. Selama lima bulan itu mereka berusaha untuk mati, tetapi tidak dapat; mereka ingin mati, tetapi maut menjauhkan diri daripada mereka. Belalang-belalang itu kelihatan seperti kuda yang siap untuk berperang. Pada kepala belalang ada sesuatu yang nampaknya seperti mahkota emas, dan muka belalang seperti muka manusia. Rambut belalang seperti rambut wanita dan gigi belalang seperti gigi singa. Dada belalang ditutupi dengan sesuatu yang seperti perisai dada. Bunyi sayap kawanan belalang itu seperti bunyi kereta-kereta kuda yang sedang mara ke medan peperangan. Belalang-belalang itu mempunyai ekor dan sengat seperti kala jengking. Dengan ekor itulah belalang berkuasa menyakiti manusia selama lima bulan. Kawanan belalang diperintah oleh raja, iaitu malaikat yang bertanggungjawab atas jurang maut. Dalam bahasa Ibrani namanya Abadon, dan dalam bahasa Yunani namanya Apolion (yang bermakna “Perosak”). Bencana pertama sudah lalu. Setelah itu dua lagi bencana akan datang.