WAHYU 9:1-12

WAHYU 9:1-12 Alkitab Berita Baik (BM)

Kemudian malaikat kelima meniup trompetnya, dan aku nampak sebuah bintang jatuh dari langit ke atas bumi. Bintang itu diberikan kunci jurang maut. Bintang itu membuka jurang maut, lalu asap keluar dari dalamnya seperti asap dari relau yang besar. Matahari dan angkasa menjadi gelap kerana asap dari jurang itu. Lalu dari dalam asap keluarlah belalang-belalang yang turun ke atas bumi. Belalang-belalang itu diberikan kekuatan yang dimiliki kala jengking. Belalang-belalang itu dilarang merosak rumput, atau pokok, ataupun tanaman lain. Hanya orang yang tidak bertandakan meterai Allah pada dahi mereka boleh diserang. Belalang-belalang itu tidak dibenarkan membunuh mereka, tetapi hanya menyeksa mereka selama lima bulan. Kesakitan yang disebabkan seksaan belalang-belalang itu seperti kesakitan yang disebabkan sengat kala jengking. Selama lima bulan itu mereka berusaha untuk mati, tetapi tidak dapat; mereka ingin mati, tetapi maut menjauhkan diri daripada mereka. Belalang-belalang itu kelihatan seperti kuda yang siap untuk berperang. Pada kepala belalang ada sesuatu yang nampaknya seperti mahkota emas, dan muka belalang seperti muka manusia. Rambut belalang seperti rambut wanita dan gigi belalang seperti gigi singa. Dada belalang ditutupi dengan sesuatu yang seperti perisai dada. Bunyi sayap kawanan belalang itu seperti bunyi kereta-kereta kuda yang sedang mara ke medan peperangan. Belalang-belalang itu mempunyai ekor dan sengat seperti kala jengking. Dengan ekor itulah belalang berkuasa menyakiti manusia selama lima bulan. Kawanan belalang diperintah oleh raja, iaitu malaikat yang bertanggungjawab atas jurang maut. Dalam bahasa Ibrani namanya Abadon, dan dalam bahasa Yunani namanya Apolion (yang bermakna “Perosak”). Bencana pertama sudah lalu. Setelah itu dua lagi bencana akan datang.

WAHYU 9:1-12 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

SHAHADAN maka mŭliekat yang kalima itupun mŭniuplah nafirinya, maka kulihatlah sa’buah bintang gugor deri langit ka’atas bumi, maka kapadanyalah tŭlah dikurniakan anak kunchi kluboran yang tiada dapat tŭrduga itu. Maka dibukakannyalah kluboran yang tiada dapat tŭrduga itu, lalu bŭrbangkitlah asap deri dalamnya spŭrti asap kanhor yang bŭsar; sahingga glaplah matahari dan udara, deri kŭrna asap kluboran itu. Arkian kluarlah deri dalam asap itu bŭbrapa bŭlalang kunyit ka’atas bumi; maka kapadanya itulah tŭlah dikurniakan kwasa spŭrti kalajŭngking bŭrkwasa diatas bumi. Sŭrta dipŭsan pula padanya skalian supaya jangan dibinchanakannya rumpot rumpotan, atau barang tumboh tumbohan yang hijau, atau barang pohon kayu; mŭlainkan orang orang yang tiada bŭrmutrie Allah didahinya. Maka tŭlah dibri kwasa pula akan dia, supaya jangan dibunohnya marika itu, mŭlainkan supaya marika itu diseksakannya lima bulan lamanya: adapun seksanya itu adalah spŭrti seksa kalajŭngking, tŭtkala disŭngatnya manusia. Maka pada masa itulah bahru manusia mŭnuntut mati, tŭtapi tiada didapatinya akan dia; dan dikahandakinya akan mati, tŭtapi maut itu larilah deripadanya. Adapun rupa bŭlalang kunyit itu adalah spŭrti kuda kuda yang langkap akan prang; maka diatas kŭpalanya adalah spŭrti mahkota srupa mas, dan mukanya bagie muka manusia. Maka adalah iya bŭrambut spŭrti rambut pŭrampuan, dan giginya pun spŭrti gigi singa. Maka adalah iya itu bŭrbarut dada spŭrti barut dada deripada bŭsi, dan bunyi sayapnya bagie bunyi rata yang ditarek ulih bŭbrapa kuda dalam prang. Maka ada pula bagienya ekor spŭrti ekor kalajŭngking, dan adalah bŭrsŭngat diekornya itu, iya itu kwasanya akan mŭnyakiti manusia lima bulan lamanya. Maka adalah suatu raja pula atasnya, iya itu mŭliekat kluboran yang tiada dapat tŭrduga itu, maka namanya dalam bahsa Ibrani Abaddon, dan dalam bahsa Grika namanya Apollion. Adapun suatu bala tŭlah lalulah; maka sŭsungguhnya, akan datang pula dua bala lagi kumdian.

WAHYU 9:1-12 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Kemudian malaikat kelima meniup sangkakalanya. Kulihat sebuah bintang gugur dari langit ke bumi. Bintang itu diberi kunci jurang yang tidak terduga dalamnya. Bintang itu membuka jurang itu lalu asap keluar seperti dari relau yang amat besar. Matahari dan seluruh angkasa gelap diselubungi asap itu. Dari dalam asap itu keluarlah sekawan belalang lantas turun ke bumi. Belalang itu diberi kuasa seperti kala jengking di bumi. Belalang itu ditegah merosakkan rumput di bumi, pokok-pokok dan tumbuh-tumbuhan lain; tugasnya menyerang manusia yang tidak mempunyai tanda materai Allah di dahinya. Belalang itu tidak dibenarkan membunuh mereka tetapi hanya menyeksa mereka selama lima bulan. Sakitnya diseksa belalang itu samalah seperti disengat kala jengking. Pada masa itu manusia yang diseksa itu mencari maut tetapi tidak menemukannya. Mereka ingin mati, namun kematian terlepas daripada mereka. Belalang itu kelihatan seperti kuda yang siap sedia untuk berperang. Di kepalanya ada sesuatu seperti mahkota emas dan mukanya mirip muka manusia. Rambutnya seperti rambut wanita dan giginya serupa gigi singa. Dadanya kelihatan seperti berperisai. Bunyi sayapnya seperti bunyi rata-rata kuda mara ke medan perang. Ekor dan sengatnya seperti kala jengking. Dengan ekornya yang bersengat, belalang itu mempunyai kuasa untuk menyeksa manusia selama lima bulan. Raja kepada belalang itu ialah malaikat yang menjaga jurang yang tidak terduga dalamnya. Namanya Abadon dalam bahasa Ibrani dan Apolion (bermakna “Pemusnah”) dalam bahasa Yunani. Bencana pertama telah berlalu. Dua bencana lagi akan menyusul.