WAHYU 4:4-11

WAHYU 4:4-11 BM

Di lingkaran yang mengelilingi takhta itu terdapat dua puluh empat buah takhta lain. Di situ duduk dua puluh empat orang pemimpin yang berpakaian putih dan memakai mahkota emas. Takhta ini memancarkan pancaran kilat dan aku mendengar gemuruh bunyi guruh. Di hadapan takhta itu terdapat tujuh buah suluh yang bernyala; itulah ketujuh-tujuh Roh Allah. Di hadapan takhta itu terdapat sesuatu yang kelihatan seperti lautan kaca, hening seperti kristal. Di sekeliling takhta itu terdapat empat makhluk, satu makhluk pada setiap sisi takhta. Makhluk itu diliputi mata pada bahagian depan dan belakang. Makhluk yang pertama rupanya seperti singa, yang kedua rupanya seperti lembu jantan, yang ketiga mempunyai muka seperti muka manusia, dan yang keempat rupanya seperti burung helang yang sedang terbang. Setiap makhluk itu mempunyai enam buah sayap. Keempat-empat makhluk itu diliputi mata, bahkan bahagian bawah sayap. Siang malam makhluk-makhluk itu tidak henti-hentinya menyanyi, “Suci, suci, sucilah Tuhan, Allah Maha Kuasa, yang ada, yang sudah ada, dan yang akan datang.” Keempat-empat makhluk itu menyanyikan lagu-lagu kemuliaan, penghormatan, dan kesyukuran kepada Dia yang duduk di atas takhta itu, iaitu Dia yang hidup selama-lamanya. Ketika makhluk-makhluk ini menyanyi, dua puluh empat orang pemimpin itu bersujud di hadapan Dia yang duduk di atas takhta itu dan menyembah Dia yang hidup selama-lamanya. Mereka meletakkan mahkota mereka di hadapan takhta itu dan berkata, “Ya Tuhan dan Allah kami! Engkau sahaja yang layak menerima kemuliaan, penghormatan, dan kekuasaan, kerana Engkaulah yang menciptakan segala sesuatu, dan dengan kehendak-Mu juga segala sesuatu itu wujud dan hidup.”