WAHYU 4:4-11

WAHYU 4:4-11 Alkitab Berita Baik (BM)

Di lingkaran yang mengelilingi takhta itu terdapat dua puluh empat buah takhta lain. Di situ duduk dua puluh empat orang pemimpin yang berpakaian putih dan memakai mahkota emas. Takhta ini memancarkan pancaran kilat dan aku mendengar gemuruh bunyi guruh. Di hadapan takhta itu terdapat tujuh buah suluh yang bernyala; itulah ketujuh-tujuh Roh Allah. Di hadapan takhta itu terdapat sesuatu yang kelihatan seperti lautan kaca, hening seperti kristal. Di sekeliling takhta itu terdapat empat makhluk, satu makhluk pada setiap sisi takhta. Makhluk itu diliputi mata pada bahagian depan dan belakang. Makhluk yang pertama rupanya seperti singa, yang kedua rupanya seperti lembu jantan, yang ketiga mempunyai muka seperti muka manusia, dan yang keempat rupanya seperti burung helang yang sedang terbang. Setiap makhluk itu mempunyai enam buah sayap. Keempat-empat makhluk itu diliputi mata, bahkan bahagian bawah sayap. Siang malam makhluk-makhluk itu tidak henti-hentinya menyanyi, “Suci, suci, sucilah Tuhan, Allah Maha Kuasa, yang ada, yang sudah ada, dan yang akan datang.” Keempat-empat makhluk itu menyanyikan lagu-lagu kemuliaan, penghormatan, dan kesyukuran kepada Dia yang duduk di atas takhta itu, iaitu Dia yang hidup selama-lamanya. Ketika makhluk-makhluk ini menyanyi, dua puluh empat orang pemimpin itu bersujud di hadapan Dia yang duduk di atas takhta itu dan menyembah Dia yang hidup selama-lamanya. Mereka meletakkan mahkota mereka di hadapan takhta itu dan berkata, “Ya Tuhan dan Allah kami! Engkau sahaja yang layak menerima kemuliaan, penghormatan, dan kekuasaan, kerana Engkaulah yang menciptakan segala sesuatu, dan dengan kehendak-Mu juga segala sesuatu itu wujud dan hidup.”

WAHYU 4:4-11 Kitab Alkudus: Injil Isa Almasih 1866 (Keasberry) (KEAS)

Dan dikliling arash itu ada dua puloh ampat buah krosi, maka diatas krosi krosi itu aku tŭlah mŭlihat dudok dua puloh ampat orang tua tua, dŭngan mŭmakie pakiean putih, dan dikŭpalanya adalah mahkota mahkota yang kaamasan. Maka kluarlah kilat, dan halalintar, dan bŭbrapa swara deri dalam arash itu: dan tujoh buah plita deripada api ada bŭrnyala dihadapan arash itu, maka iya itulah tujoh Arwah Allah. Maka dihadapan arash itu, suatu laut kacha spŭrti hablor: dan ditŭngah arash itu, dan diklilingnya arash itu, adalah ampat binatang pŭnoh dŭngan mata dihadapan dan diblakangnya. Maka adapun binatang yang pŭrtama rupanya bagie singa, dan binatang yang kadua itu rupanya bagie anak lŭmbu, dan binatang yang katiga itu ada bŭrmuka spŭrti manusia, dan binatang yang kaampat itu spŭrti rupa burong nazar yang tŭrbang. Maka ampat ampat binatang itu adalah masing masing dŭngan anam sayap kapadanya; dan pŭnoh mata dalamnya: maka tiadalah iya bŭrhŭnti pada siang dan malam deripada bŭrkata, Kudus, kudus, kudus, Tuhan Allah yang maha kwasa, yang ada, dan yang tŭlah ada, dan yang akan datang. Maka apabila binatang binatang itu mŭmbri kamuliaan, dan hormat, dan shukor kapada yang dudok diatas arash itu, yang hidop slama lamanya, Maka kadua puloh ampat orang tua tua itupun sujudlah dihadapan orang yang dudok diatas arash itu, sŭrta mŭnyŭmbah akan yang hidop slama lamanya, sŭrta mŭmbuangkan mahkotanya dihadapan arash itu, katanya, Angkaulah yang layak mŭnŭrima, ya Tuhan, kamuliaan, dan hormat, dan kwasa; tŭgal angkaulah yang tŭlah mŭnjadikan sagala sŭsuatu, maka deri kŭrna kagŭmaranmulah juga skaliannya itu ada, dan tŭlah dijadikan.

WAHYU 4:4-11 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Di sekeliling takhta itu kelihatan dua puluh empat buah takhta lain. Di atasnya duduk dua puluh empat tua-tua yang berpakaian putih dan bermahkota emas. Dari takhta itu kulihat kilat memancar dan kudengar guruh berbunyi. Di hadapan takhta itu terdapat tujuh pelita yang menyala, iaitu tujuh Roh Allah. Di hadapan takhta itu juga kelihatan sesuatu yang seperti lautan kaca, jernih seperti hablur. Di sekeliling takhta itu terdapat empat makhluk, satu di setiap sisi. Bahagian depan dan belakang makhluk itu penuh dengan mata. Makhluk yang pertama rupanya seperti singa; yang kedua seperti anak lembu; yang ketiga mukanya seperti muka manusia; dan yang keempat rupanya seperti burung helang sedang terbang. Setiap makhluk itu bersayap enam. Di bawah sayapnya pun penuh dengan mata. Siang malam mereka tidak henti-henti menyanyi: “Suci, suci, sucilah Tuhan Allah Yang Maha Kuasa, yang ada dahulu, yang ada sekarang dan yang akan datang.” Keempat-empat makhluk itu menyanyikan pelbagai nyanyian yang memuliakan, menyanjung dan menyatakan syukur kepada Dia yang sedang bersemayam di atas takhta, Dia yang hidup selama-lamanya. Sambil itu, dua puluh empat tua-tua sujud kepada Dia yang bersemayam di atas takhta, menyembah Dia yang hidup selama-lamanya. Mereka mencampakkan mahkota mereka di hadapan takhta itu lalu berkata, “Ya Tuhan, ya Allah kami! Hanya Engkau yang layak menerima kemuliaan, kehormatan dan kuasa, kerana Engkaulah yang mencipta segala-galanya, dan dengan kehendak-Mu segala-galanya wujud dan dicipta.”