WAHYU 17:1-7

WAHYU 17:1-7 BM

Kemudian salah satu daripada tujuh malaikat yang memegang tujuh buah mangkuk itu datang kepadaku dan berkata, “Marilah, kepadamu akan aku tunjukkan bagaimana pelacur yang termasyhur itu dihukum. Pelacur itu kota besar yang dibina dekat sungai-sungai. Raja-raja dunia melakukan perbuatan cabul dengan pelacur itu, dan penduduk dunia menjadi seperti orang mabuk ketika pelacur itu melakukan perbuatan cabul dengan mereka.” Lalu Roh Allah menguasai aku dan malaikat itu membawa aku ke padang gurun. Di situ aku melihat seorang wanita duduk di atas seekor binatang berwarna merah, yang seluruh badannya ditulisi dengan nama-nama yang mengkufuri Allah. Binatang itu mempunyai tujuh kepala dan sepuluh tanduk. Wanita itu berpakaian ungu dan merah tua, serta memakai perhiasan emas, permata, dan mutiara. Tangannya memegang sebuah cawan emas yang penuh dengan perkara-perkara cabul dan keji, hasil daripada perbuatannya yang cabul. Pada dahinya tertulis suatu nama yang mempunyai makna rahsia. Nama itu “Babel yang besar, ibu kepada semua pelacur dan orang yang melakukan perbuatan cabul di dunia ini.” Lalu aku nampak wanita itu mabuk kerana minum darah umat Allah dan darah orang yang dibunuh kerana setia kepada Yesus. Aku sangat hairan ketika nampak wanita itu. Tetapi malaikat itu berkata kepadaku, “Mengapakah engkau hairan? Aku akan memberitahu engkau rahsia tentang wanita itu dan binatang yang ditungganginya, iaitu binatang yang mempunyai tujuh kepala dan sepuluh tanduk.