WAHYU 1:10-20

WAHYU 1:10-20 BM

Pada hari Tuhan, Roh Allah menguasai aku, lalu aku mendengar suara yang kuat dan jelas, seperti bunyi trompet, berkata-kata di belakangku. Suara itu berkata, “Tuliskanlah apa yang engkau lihat dan kirimlah kitab ini kepada jemaah di tujuh buah kota berikut: Efesus, Smirna, Pergamus, Tiatira, Sardis, Filadelfia, dan Laodikia.” Aku menoleh ke belakang untuk melihat siapa yang berkata-kata kepadaku. Lalu aku nampak tujuh buah kaki pelita daripada emas. Di tengah-tengah kaki pelita itu ada sesusuk tubuh yang kelihatan seperti manusia. Dia memakai jubah yang panjangnya sampai ke kaki dan dada-Nya dililiti seutas pengikat daripada emas. Rambut-Nya sangat putih, seputih kapas, dan mata-Nya bernyala-nyala seperti api. Kaki-Nya bersinar seperti gangsa yang sudah dibersihkan dan digosok, dan suara-Nya seperti deruman air terjun yang besar. Tangan kanan-Nya memegang tujuh buah bintang, dan dari mulut-Nya keluar sebilah pedang tajam yang bermata dua. Muka-Nya terang seperti matahari pada waktu tengah hari. Ketika aku melihat-Nya, aku meniarapkan diri di hadapan-Nya seperti orang mati. Dia meletakkan tangan kanan-Nya padaku lalu berfirman, “Janganlah takut! Akulah yang awal dan yang penghujung. Akulah Dia yang hidup! Aku sudah mati, tetapi lihatlah, Aku hidup selama-lamanya. Aku berkuasa atas kematian dan atas dunia orang mati. Oleh itu, tulislah perkara-perkara yang engkau lihat, iaitu perkara-perkara yang ada sekarang ini, dan perkara-perkara yang akan berlaku kelak. Inilah makna yang dilambangkan oleh tujuh buah bintang yang engkau lihat di tangan kanan-Ku dan oleh tujuh buah kaki pelita daripada emas itu. Tujuh buah bintang itu melambangkan para malaikat daripada jemaah di tujuh buah tempat itu, dan tujuh buah kaki pelita itu melambangkan jemaah di tujuh buah tempat itu.”

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan WAHYU 1:10-20

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami