MAZMUR 86:1-17

MAZMUR 86:1-17 BM

Doa Daud. Dengarlah seruanku, ya TUHAN, dan kabulkanlah doaku, kerana aku lemah dan tidak berdaya. Selamatkanlah aku daripada maut, kerana aku setia kepada-Mu; selamatkanlah aku, hamba-Mu yang percaya kepada-Mu. Engkaulah Allahku; kasihanilah aku; sepanjang hari aku berdoa kepada-Mu. Ya Tuhan, gembirakanlah hati hamba-Mu, kerana aku menaikkan doa kepada-Mu. Ya Tuhan, Engkau baik dan suka mengampuni orang, Engkau mengasihi mereka yang berdoa kepada-Mu. Dengarlah doaku, ya TUHAN, dengarlah aku minta pertolongan. Ketika aku dalam kesusahan, aku berseru kepada-Mu kerana Engkau mengabulkan doaku. Tiada tuhan yang seperti Engkau, ya Tuhan, tiada yang dapat melakukan apa yang Engkau lakukan. Semua bangsa yang telah Engkau cipta akan datang, ya Tuhan, untuk menyembah-Mu dan memuji kebesaran-Mu. Engkau berkuasa dan melakukan perkara yang ajaib; hanya Engkaulah Allah. Ajarlah aku kehendak-Mu, ya TUHAN, dan aku akan menurutnya dengan setia; ajarlah aku menghormati Engkau dengan sungguh-sungguh. Aku akan memuji Engkau dengan sepenuh hati, ya Tuhan, Allahku; aku akan mengisytiharkan kebesaran-Mu selama-lamanya. Betapa besarnya kasih-Mu untukku; Engkau telah menyelamatkan aku dari kubur. Ya Allah, orang sombong datang melawan aku; sekumpulan orang kejam berusaha untuk membunuh aku; mereka tidak mempedulikan Engkau. Tetapi Engkau, ya Tuhan, Allah pengasih dan penyayang, sentiasa sabar, baik, dan setia. Pandanglah aku dan kasihanilah aku; kuatkanlah aku dan selamatkanlah aku, kerana aku mengabdi kepada-Mu seperti ibuku dahulu. Ya TUHAN, buktikanlah kebaikan-Mu kepadaku, maka mereka yang membenci aku akan tersipu-sipu, ketika melihat Engkau menghiburkan dan menolong aku.