MAZMUR 80:1-19

MAZMUR 80:1-19 BM

Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Bunga Bakung. Mazmur kesaksian Asaf. Dengarlah kami, hai Gembala umat Israel; Engkau yang mengetuai umat-Mu. Engkau yang bertakhta di atas kerub, tunjukkanlah diri-Mu kepada suku Efraim, Benyamin, dan Manasye! Nyatakanlah kuasa-Mu; datanglah dan selamatkanlah kami! Pulihkanlah kami, ya Allah! Kasihanilah kami supaya kami selamat! Ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa, sampai bilakah Engkau murka dan tidak mendengar doa umat-Mu? Engkau memberi kami kesengsaraan sebagai makanan, dan air mata yang banyak sebagai minuman. Engkau membiarkan bangsa-bangsa di sekeliling berperang kerana hendak merampas negeri kami; musuh-musuh mengejek kami. Pulihkanlah kami, ya Allah Yang Maha Kuasa. Kasihanilah kami supaya kami selamat. Engkau membawa umat-Mu yang seperti pokok anggur keluar dari Mesir; Engkau mengusir bangsa-bangsa lain, lalu menanam pokok itu di negeri mereka. Engkau menyediakan tanah baginya; akarnya mendalam dan menjalar ke seluruh negeri itu. Bayangnya meneduhkan bukit-bukit, dan dahan-dahannya menutupi pokok sedar yang besar. Cabang-cabangnya menjalar ke Laut Tengah, pucuk-pucuknya sampai ke Sungai Efrat. Mengapakah Engkau merobohkan pagar di sekelilingnya? Kini sesiapa yang lalu di situ dapat mencuri buah anggurnya. Babi hutan memijak-mijaknya, dan binatang liar pun memakannya. Berpalinglah kepada kami, ya Allah Yang Maha Kuasa. Pandanglah kami dari syurga; datanglah dan selamatkanlah umat-Mu! Selamatkanlah umat-Mu yang seperti pokok anggur yang Engkau tanam, pokok muda yang telah Engkau jadikan begitu kuat. Musuh kami telah membakar dan memotong pokok itu; biarlah mereka dibinasakan oleh kemurkaan-Mu! Lindungilah dan peliharalah umat yang telah Engkau pilih, bangsa yang telah Engkau jadikan begitu kuat. Tidak sekali-kali kami akan meninggalkan Engkau lagi; biarlah kami hidup, lalu Engkau akan kami puji.