MAZMUR 80:1-19

MAZMUR 80:1-19 Alkitab Berita Baik (BM)

Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Bunga Bakung. Mazmur kesaksian Asaf. Dengarlah kami, hai Gembala umat Israel; Engkau yang mengetuai umat-Mu. Engkau yang bertakhta di atas kerub, tunjukkanlah diri-Mu kepada suku Efraim, Benyamin, dan Manasye! Nyatakanlah kuasa-Mu; datanglah dan selamatkanlah kami! Pulihkanlah kami, ya Allah! Kasihanilah kami supaya kami selamat! Ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa, sampai bilakah Engkau murka dan tidak mendengar doa umat-Mu? Engkau memberi kami kesengsaraan sebagai makanan, dan air mata yang banyak sebagai minuman. Engkau membiarkan bangsa-bangsa di sekeliling berperang kerana hendak merampas negeri kami; musuh-musuh mengejek kami. Pulihkanlah kami, ya Allah Yang Maha Kuasa. Kasihanilah kami supaya kami selamat. Engkau membawa umat-Mu yang seperti pokok anggur keluar dari Mesir; Engkau mengusir bangsa-bangsa lain, lalu menanam pokok itu di negeri mereka. Engkau menyediakan tanah baginya; akarnya mendalam dan menjalar ke seluruh negeri itu. Bayangnya meneduhkan bukit-bukit, dan dahan-dahannya menutupi pokok sedar yang besar. Cabang-cabangnya menjalar ke Laut Tengah, pucuk-pucuknya sampai ke Sungai Efrat. Mengapakah Engkau merobohkan pagar di sekelilingnya? Kini sesiapa yang lalu di situ dapat mencuri buah anggurnya. Babi hutan memijak-mijaknya, dan binatang liar pun memakannya. Berpalinglah kepada kami, ya Allah Yang Maha Kuasa. Pandanglah kami dari syurga; datanglah dan selamatkanlah umat-Mu! Selamatkanlah umat-Mu yang seperti pokok anggur yang Engkau tanam, pokok muda yang telah Engkau jadikan begitu kuat. Musuh kami telah membakar dan memotong pokok itu; biarlah mereka dibinasakan oleh kemurkaan-Mu! Lindungilah dan peliharalah umat yang telah Engkau pilih, bangsa yang telah Engkau jadikan begitu kuat. Tidak sekali-kali kami akan meninggalkan Engkau lagi; biarlah kami hidup, lalu Engkau akan kami puji.

MAZMUR 80:1-19 Alkitab Versi Borneo (AVB)

Dengarlah, wahai Gembala Israel, Engkau yang telah memandu Yusuf seperti sekawan domba; Engkau yang tinggal di antara malaikat-malaikat kerubin, limpahkanlah sinar-Mu di hadapan suku Efraim, Benyamin, dan Manasye. Bangkitkanlah kekuatan-Mu; dan datang menyelamatkan kami. Pulihkanlah kami, ya Allah; pancarkanlah sinar wajah-Mu, maka kami akan selamat! Ya TUHAN, Allah alam semesta, berapa lama Engkau akan murka dan tidak mendengar doa umat-Mu? Engkau telah memberi mereka makan roti kesedihan; dan minum beberapa banyak air mata. Engkau telah membiarkan bangsa-bangsa di sekeliling memerangi kami, dan musuh kami tertawa sesama sendiri. Pulihkan kami, ya Allah alam semesta; pancarkanlah sinar wajah-Mu, maka kami akan selamat. Engkau telah membawa pokok anggur keluar dari Mesir; Engkau telah mengusir bangsa-bangsa dan menanam pokok anggur itu. Engkau menyediakan ruang untuknya, dan membuatnya berakar umbi memenuhi tanah ini. Bukit-bukau diliputi oleh bayang-bayangnya, dan pokok-pokok araz yang gagah dengan dahan-dahannya. Ia telah menghulurkan dahan-dahannya ke Laut, dan cabang-cabangnya ke Sungai. Mengapakah Engkau memecahkan pagar-pagarnya sehingga semua yang lalu-lalang memetik buahnya? Babi hutan dari belukar mencabutnya dan binatang liar dari padang memakannya. Kembalilah, kami merayu-Mu, ya Allah alam semesta! Pandanglah ke bawah dari syurga dan lihatlah! Lalu lawatlah pokok anggur ini, dan ladang anggur yang telah ditanami tangan kanan-Mu, dan cabang yang Kaujadikan kuat untuk-Mu. Telah dibakar api, telah dipotong; telah binasa akibat kemarahan wajah-Mu. Letakkanlah tangan-Mu di atas orang yang menjadi tangan kanan-Mu, di atas anak manusia yang Kaujadikan kuat untuk-Mu. Maka kami tidak berpaling daripada-Mu; pulihkanlah kami, maka kami akan menyeru nama-Mu. Pulihkan kami, ya TUHAN, Allah alam semesta; pancarkanlah sinar wajah-Mu, maka kami akan selamat.