MAZMUR 78:21-37

MAZMUR 78:21-37 BM

Itulah sebabnya, TUHAN murka ketika mendengar permintaan mereka; Dia menyerang umat-Nya dengan api, dan menjadi semakin murka terhadap mereka, kerana mereka tidak mempunyai keyakinan terhadap-Nya, dan tidak percaya bahawa Dia dapat menyelamatkan mereka. Tetapi Allah berfirman kepada langit di atas, dan memberikan perintah supaya pintunya dibuka. Dia memberi mereka biji-bijian dari syurga, dengan menurunkan manna untuk makanan mereka. Demikianlah mereka makan makanan malaikat. Allah memberi mereka makanan berlimpah-limpah. Dia menyebabkan angin timur bertiup, dan dengan kuasa-Nya angin selatan berhembus. Untuk umat-Nya, Dia menurunkan burung, burung sebanyak pasir di pantai; burung jatuh di tempat perkhemahan mereka, di sekeliling tempat kediaman mereka. Lalu mereka makan hingga kenyang; Allah memberikan apa yang dikehendaki mereka. Tetapi nafsu mereka belum dipuaskan, dan sementara mereka makan, Allah naik murka terhadap mereka, dan membunuh orang Israel yang muda dan perkasa. Meskipun begitu, mereka masih terus berdosa, meskipun Allah melakukan mukjizat, mereka tidak percaya kepada-Nya. Oleh itu Allah mencabut nyawa mereka, dan memutuskan nafas mereka dengan tiba-tiba. Setiap kali Allah membunuh sebilangan daripada mereka, yang lain kembali kepada-Nya; mereka bertaubat dan berdoa bersungguh-sungguh kepada-Nya. Mereka ingat bahawa Allah pelindung mereka, bahawa Yang Maha Kuasa penyelamat mereka. Tetapi segala perkataan mereka itu dusta belaka, dan segala ucapan mereka bohong semata-mata. Mereka tidak setia kepada-Nya; mereka tidak berpegang kepada perjanjian dengan Allah.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami