MAZMUR 77

77
Penghiburan pada Masa Kesusahan
1Untuk pemimpin koir. Menurut: Yedutun. Mazmur Asaf.
2Aku berseru dengan nyaring kepada Allah;
dengan nyaring aku berseru supaya Dia mendengar.
3Pada masa kesusahan aku berdoa kepada Tuhan;
sepanjang malam aku menadahkan tangan sambil berdoa,
tetapi aku tidak terhibur.
4Ketika aku teringat kepada Allah, aku mengeluh;
apabila aku bermenung, hilanglah semangatku.
5Allah membuat aku tidak dapat tidur;
aku begitu khuatir sehingga tidak dapat bertutur.
6Aku teringat akan masa dahulu,
hari dan tahun yang sudah lalu.
7Sepanjang malam aku berfikir dalam-dalam;
bermenung dan bertanya dalam hati,
8“Adakah Allah menolak kita selama-lamanya?
Tidakkah Dia berkenan lagi kepada kita?
9Tidakkah Dia mengasihi kita lagi?
Tidakkah Dia memenuhi janji-Nya lagi?
10Adakah Allah telah lupa mengasihani kita?
Murkakah Dia, sehingga tidak berbelas kasihan lagi?”
11Kemudian aku berkata, “Inilah yang paling menyakiti hatiku,
bahawa Allah tidak berkuasa lagi.”
12Aku akan mengingat perbuatan-Mu yang besar, ya TUHAN.
Aku akan mengenang keajaiban yang Engkau lakukan pada zaman dahulu.
13Aku akan memikirkan segala yang Engkau lakukan,
aku akan merenungkan segala perbuatan-Mu.
14Ya Allah, segala yang Engkau lakukan itu suci.
Siapakah sebesar Allah kami?
15Engkaulah Allah yang melakukan mukjizat;
Engkau menunjukkan kuasa-Mu antara bangsa-bangsa.
16Dengan kuasa-Mu, Engkau menyelamatkan umat-Mu,
keturunan Yakub dan Yusuf.
17Ya Allah, laut gentar apabila melihat Engkau,
bahkan dasar laut pun gementar.
18Awan mencurahkan hujan;
guruh mengguntur di langit,
dan kilat memancar ke segala jurusan.
19Guruh menggelegar, kilat memancar,
bumi bergoncang dan gementar.
20Engkau berjalan melalui ombak;
Engkau menyeberangi lautan yang dalam,
namun jejak kaki-Mu tidak kelihatan.
21Engkau memimpin umat-Mu seperti seorang gembala,
bersama-sama Musa dan Harun yang mengetuai mereka.

Terpilih Sekarang Ini:

MAZMUR 77: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk