MAZMUR 59:1-17

MAZMUR 59:1-17 BM

Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Daud, setelah Raja Saul mengirim orang mengawasi rumah Daud untuk membunuh dia. Selamatkanlah aku daripada musuh, ya Allahku; lindungilah aku daripada mereka yang menyerang aku! Selamatkanlah aku daripada orang jahat itu; lepaskanlah aku daripada pembunuh-pembunuh itu! Lihatlah! Mereka menanti-nanti hendak membunuh aku; orang kejam berkumpul mengadang aku. Bukan kerana aku telah berdosa atau melakukan kesalahan, bukan kerana aku telah bersalah, ya TUHAN, mereka tergesa-gesa bersiap untuk membuat serangan. Bangkitlah, ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa, dan tolonglah aku; lihatlah sendiri, ya Allah Israel! Bangunlah dan hukumlah bangsa-bangsa; jangan kasihani pengkhianat-pengkhianat kejam. Pada waktu senja mereka pulang, melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota. Dengarlah hinaan dan ancaman mereka. Kata-kata mereka tajam seperti pedang; mereka menyangka tiada orang yang mendengar. Tetapi Engkau, ya TUHAN, mentertawakan mereka; Engkau mengolok-olokkan semua bangsa. Aku yakin akan kekuatan-Mu; ya Allah, Engkaulah pernaunganku. Allahku yang mengasihi aku akan datang kepadaku; Dia akan membolehkan aku melihat kekalahan musuhku. Jangan bunuh mereka, ya Allah, supaya bangsaku tidak lupa. Serakkan musuh dengan kuasa-Mu dan kalahkan mereka, ya Tuhan, pelindung kami. Kerana mereka berdosa dengan kata-kata mereka, biarlah mereka terperangkap dalam kesombongan mereka. Kerana mereka menyumpah dan berdusta, binasakanlah mereka semasa Engkau murka; binasakanlah mereka semuanya. Maka semua orang akan tahu bahawa Allah memerintah Israel, dan Dia memerintah semua orang di dunia. Pada waktu senja musuh-musuhku pulang, melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota. Mereka berkeliaran mencari makanan, dan menggeram jika tidak kenyang. Tetapi aku akan menyanyi tentang kekuatan-Mu; setiap pagi aku akan bernyanyi dengan nyaring tentang kasih-Mu. Engkau telah menjadi pernaungan bagiku, perlindungan pada masa kesusahanku.