MAZMUR 59:1-17
MAZMUR 59:1-17 Alkitab Berita Baik (BM)
Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Jangan Musnahkan. Mazmur Daud, setelah Raja Saul mengirim orang mengawasi rumah Daud untuk membunuh dia. Selamatkanlah aku daripada musuh, ya Allahku; lindungilah aku daripada mereka yang menyerang aku! Selamatkanlah aku daripada orang jahat itu; lepaskanlah aku daripada pembunuh-pembunuh itu! Lihatlah! Mereka menanti-nanti hendak membunuh aku; orang kejam berkumpul mengadang aku. Bukan kerana aku telah berdosa atau melakukan kesalahan, bukan kerana aku telah bersalah, ya TUHAN, mereka tergesa-gesa bersiap untuk membuat serangan. Bangkitlah, ya TUHAN Allah Yang Maha Kuasa, dan tolonglah aku; lihatlah sendiri, ya Allah Israel! Bangunlah dan hukumlah bangsa-bangsa; jangan kasihani pengkhianat-pengkhianat kejam. Pada waktu senja mereka pulang, melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota. Dengarlah hinaan dan ancaman mereka. Kata-kata mereka tajam seperti pedang; mereka menyangka tiada orang yang mendengar. Tetapi Engkau, ya TUHAN, mentertawakan mereka; Engkau mengolok-olokkan semua bangsa. Aku yakin akan kekuatan-Mu; ya Allah, Engkaulah pernaunganku. Allahku yang mengasihi aku akan datang kepadaku; Dia akan membolehkan aku melihat kekalahan musuhku. Jangan bunuh mereka, ya Allah, supaya bangsaku tidak lupa. Serakkan musuh dengan kuasa-Mu dan kalahkan mereka, ya Tuhan, pelindung kami. Kerana mereka berdosa dengan kata-kata mereka, biarlah mereka terperangkap dalam kesombongan mereka. Kerana mereka menyumpah dan berdusta, binasakanlah mereka semasa Engkau murka; binasakanlah mereka semuanya. Maka semua orang akan tahu bahawa Allah memerintah Israel, dan Dia memerintah semua orang di dunia. Pada waktu senja musuh-musuhku pulang, melolong seperti anjing ketika mengelilingi kota. Mereka berkeliaran mencari makanan, dan menggeram jika tidak kenyang. Tetapi aku akan menyanyi tentang kekuatan-Mu; setiap pagi aku akan bernyanyi dengan nyaring tentang kasih-Mu. Engkau telah menjadi pernaungan bagiku, perlindungan pada masa kesusahanku.
MAZMUR 59:1-17 Alkitab Versi Borneo (AVB)
Selamatkan aku daripada musuhku, ya Allah; pertahankan aku daripada mereka yang bangkit menyerangku. Selamatkan aku daripada orang yang melakukan kejahatan dan lindungi aku daripada manusia yang dahagakan darah. Lihatlah, mereka mengendap menanti untuk meragut nyawaku! Orang yang berkuasa berpakat menentangku bukan kerana apa-apa kesalahan atau dosaku, ya TUHAN. Mereka bersiap-siap menyerangku, sedangkan aku tidak bersalah. Bangunlah untuk menolongku; lihatlah! Ya TUHAN, Allah alam semesta ialah Allah Israel, bangunlah dan hukumlah segala bangsa itu; jangan kasihani mereka yang zalim dan berdosa. Sela Pada waktu senja mereka datang lagi, menderam seperti anjing, dan mengelilingi kota. Mulut mereka meluahkan kata-kata — yang tajam seperti pedang, mereka menyangka tiada siapa yang mendengar. Tetapi Engkau, ya TUHAN, akan mentertawakan mereka; Engkau akan menjadikan segala bangsa itu bahan ejekan. Ya, Kekuatanku, aku akan menanti-Mu dengan penuh keyakinan; ya Allah Yang Maha Kuasa, Allah Pelindungku. Allah yang mengasihiku akan datang kepadaku. Allah akan menunaikan permohonanku tentang musuhku. Jangan terus matikan mereka, takut nanti kaumku lupa. Pecah belahkan mereka dengan kekuasaan-Mu, dan jatuhkan mereka, ya Tuhan, perisai pelindung kami. Kerana kelancangan mulut mereka, melemparkan kata-kata berdosa, biarlah mereka disambar di tengah-tengah keangkuhan mereka. Dan kerana mereka menyumpah dan berdusta, musnahkan mereka dalam kemurkaan-Mu, musnahkan mereka, supaya mereka tidak wujud lagi. Dan tunjukkan bahawa Allah memerintah dalam Yakub, dan setiap pelosok bumi. Sela Pada waktu senja mereka datang lagi, mereka menderam seperti anjing, dan mengelilingi kota. Mereka merayau-rayau mencari makanan dan melolong jika tidak kenyang. Tetapi aku akan menyanyi tentang kekuasaan-Mu, ya, aku akan menyanyi setiap pagi dengan nyaring tentang kasih-Mu; kerana Engkau pelindungku, dan penaungku pada waktu kesusahan. Untuk-Mu, ya Allah, kekuatanku, aku akan menyanyikan puji-pujian; kerana Allah Pelindungku, Allah yang mengasihiku.