MAZMUR 22:1-31

MAZMUR 22:1-31 BM

Untuk pemimpin koir. Menurut lagu: Rusa di Kala Fajar. Mazmur Daud. Allahku, ya Allahku, mengapakah Engkau meninggalkan aku? Aku berseru tetapi Engkau tetap jauh, dan tidak menolong aku. Pada siang hari aku berseru kepada-Mu, ya Allah, tetapi Engkau tidak menyahut; aku berseru pada waktu malam, namun tidak juga mendapat ketenteraman. Tetapi Engkau Raja Yang Maha Suci, yang dipuji oleh Israel. Kepada-Mu nenek moyang kami percaya; mereka percaya kepada-Mu dan Engkau menyelamatkan mereka. Mereka berseru kepada-Mu dan Engkau menjauhkan mereka daripada bahaya; mereka percaya kepada-Mu dan tidak dikecewakan. Tetapi aku ini ulat, bukan manusia, yang dihina dan dicaci semua orang. Semua orang yang melihat aku mempermainkan aku; mereka menjelirkan lidah dan menggelengkan kepala. Mereka berkata, “Kamu percaya kepada TUHAN, tetapi mengapakah Dia tidak menyelamatkan kamu? Jika TUHAN mengasihi kamu, mengapakah Dia tidak menolong kamu?” Engkaulah, ya TUHAN, yang mengeluarkan aku dari kandungan ibuku, dan ketika aku masih bayi, Engkaulah yang memelihara aku. Sejak lahir, aku bergantung kepada-Mu; sejak dalam kandungan, Engkaulah Allahku. Janganlah jauhkan diri daripadaku. Kesusahan sudah dekat, dan tiada sesiapa pun yang membantu. Banyak musuh yang mengepung aku; mereka semua mengelilingi aku, seperti kerbau hutan dari negeri Basan. Mereka mengangakan mulut seperti singa, hendak mengaum dan menerkam aku. Tenagaku hilang, hilang seperti air yang tumpah. Semua tulangku terkehel; hatiku meleleh seperti lilin. Kerongkongku kering seperti debu, dan lidahku melekat di lelangit. Engkau tinggalkan aku di atas debu, seperti orang yang sudah mati. Sekumpulan orang jahat mengelilingi aku; seperti sekumpulan anjing, mereka mengepung aku; mereka menyiat tangan serta kakiku. Semua tulangku kelihatan. Musuh memandang aku sebagai tontonan; mereka membahagi-bahagikan pakaianku dan membuang undi untuk jubahku. Ya TUHAN, janganlah jauhkan diri daripadaku, cepatlah datang untuk menolong aku. Selamatkanlah aku daripada pedang; selamatkanlah aku daripada cengkaman anjing. Aku tidak berdaya, lepaskanlah aku dari tanduk kerbau dan dari mulut singa. Aku akan memberitahu rakyatku tentang perbuatan-Mu; dalam perhimpunan mereka aku akan memuji-Mu. Pujilah Dia, hai hamba-hamba TUHAN! Hormatilah Dia, hai keturunan Yakub; sembahlah Dia, hai umat Israel! Dia tidak memandang hina kepada orang tertindas ataupun mengabaikan penderitaan mereka; Dia tidak menjauhkan diri-Nya daripada mereka, tetapi mendengar apabila mereka meminta pertolongan-Nya. Dalam perhimpunan besar umat-Mu, aku akan memuji Engkau kerana segala yang telah Engkau lakukan; di hadapan semua orang yang menyembah Engkau aku akan mempersembahkan korban yang aku janjikan. Orang miskin akan makan dengan puas hati; mereka yang datang kepada TUHAN akan memuji Dia. Semoga mereka makmur selama-lamanya! Semua bangsa akan mengingat TUHAN dan kembali kepada-Nya; semua suku bangsa akan menyembah Dia. TUHAN itulah raja dan Dia memerintah semua bangsa. Semua orang yang sombong akan sujud kepada-Nya; semua insan akan berlutut di hadapan-Nya. Keturunan yang akan datang juga akan berbakti kepada-Nya; manusia akan menceritakan Tuhan kepada keturunan mereka.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan MAZMUR 22:1-31

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami